Pages

Thursday, February 24, 2011

Optimis terhadap kemenangan Islam


Baru-baru ini saya ditanya sebuah persoalan yang agak menarik tetapi merunsingkan apabila memikirkannya.

“ akhi, boleh ana tanya satu soalan?”

“boleh, tanyalah”

“ ana bukan tak percaya dengan kemampuan Islam jauh sekali ragu dengannya”

Saya mendengar dengan penuh minat.

“Cuma… ana kurang pasti, boleh ke Islam menang? Dan kalau menang sekalipun, boleh ke Islam memerintah dengan sistematik seperti yang telah ditunjukkan oleh golongan sekular?”

Saya tersenyum dengan persoalan itu. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya diajukan dengan persoalan sebegini. Ada diantaranya begitu prejudis terhadap perjuangan dankemenangan Islam. Bukankah sudah begitu banyak firman Allah yang telah menjanjikan bantuan dan kemenangan Islam satu hari nanti. Cuma mungkin rasanya kerana perjalan ini terlalu jauh dan terlihat mustahil dimata mereka menyebabkan persoalan ini timbul. Ingatlah kepada firman Allah:

Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).(At-Taubah:42)

PENGAJARAN SIRAH

Peristiwa di Gua Thur

Marilah kita melihat betapa optimisnya seorang manusia yang bernama Muhammad bin Abdullah terhadap pertolongan Allah, dalam keadaan yang mendesak dan tertekan yang dilancarkan oleh kaum kafir di Quraish.

Ketika berhenti rehat dan menyusun stratergi di dalam gua thur, baginda melihat Abu Bakar begitu pucat dan takut kerana tekanan yang memuncak, lalu baginda menenangkan beliau dengan janji Allah, baginda berkata “jangan bimbang sesungguhnya Allah bersama dengan kita” dan peristiwa ini di rakam oleh Allah untuk pengajaran didalam Al-Quran. Firman Allah:

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah:40)

Suraqah bin Malik

Sekali lagi baginda mempamerkan sifat optimis terhadap kemenangan apabila mnawarkan dua gelang maharaja parsi sekiranya suraqah tidak memburu baginda lagi. Walaupun pada ketika itu, Islam masih belum memiliki kerajaan dan masih lemah. Tambahan pula untuk mendapatkan gelang maharaja parsi itu, baginda perlulah menumpaskan maharaja kisra dan kerajaan parsi yang memegang kuasa dunia ketika itu.

Tawaran itu jelas menunjukkan betapa optimisnya baginda terhadap masa depan Islam. Akhirnya tawaran itu menjadi kenyataan pada zaman saidina Umar apabila Berjaya menawan parsi dan gelang itu menjadi milik suraqah bin malik yang telah memeluk Islam ketika itu.

JANJI-JANJI ALLAH

Allah pasti mengurniakan kemenangan dan bantuan kepada perjuangan Islam, kerana Allah lah sebaik-baik penjaga untuk agama ini.

Firman Allah:

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.
(Ar-Ruum:47)

Firman Allah:

Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).(At-Taubah:32)

Firman Allah:

Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.(Al-Anfal:30)

Islam yang dibawa oleh kita pada hari ini, tidak ada perbezaan dengan Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah, jesteru seharusnya kita semua lebih yakin dan optimis dalam perjuang ini.

Nabi Ibrahim berjaya menumpaskan rejim Namrud laknatullah, Nabi Musa dan Nabi Harun berjaya menumpaskan kerajaan tuhan palsu firaun laknatullah, sementara Nabi Muhammad berjaya menumpaskan kuffar dan yahudi laknatullah. Sejarah telah membuktikan bahawa tidak ada yang akan kekal melainkan cahaya Islam yang dilindungi oleh Allah.

Maka mengapalah kita sering bertanyakan persoalan demi persoalan tentang keraguan itu tanpa mengambil peluang yang telah diberikan untuk memastikan Islam berada pada tempatnya yang sebenar.

Rugilah sekiranya kita hanya mampu memikirkan persoalan tersebut, tetapi dari segi persiapannya tidak berada pada tahap mereka yang inginkan kemenangan. Ingatlah, kemenangan untuk Islam itu pasti, tetapi sejauh mana kita bersedia untuk mengisi kemenangan itu dengan sebaiknya…

Wallahualam.

Sunday, February 20, 2011

Bolehkah Pilihanraya?

Bismillahirrahmanirrahim…

Dalam menongkah arus jahiliyyah yang semakin melanda umat pada ketika ini, usaha demi usaha telah diambil dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Tetapi, yang menimbulkan seribu tanda Tanya adalah mengapa gejala perlakuan jahiliyyah ini semakin tebal malahan sentiasa segar dengan perkara perkara yang baru untuk merosakkan ummah.

Jesteru,ada ulama’ yang menyatakan bahawa peripentingnya untuk Islam kembali menjadi pemerintah kerana hanya dengan sistem yang diredhai oleh Allah sahaja yang dapat menjadikan virus jahiliyyah ini mengalah dan akhirnya terpadam.

Disana akhirnya majoriti ulama’ bersetuju bahawa dalam merencana kemenangan Islam, perlulah adanya sebuah kumpulan yang menjadi ajen perubahan dalam merealisasikan tuntutan tersebut untuk memasuki pilihanraya. Persoalan ini akhirnya menjadi polemik ummat yang mempersoalkan tentang pilihanraya didalam syara’. Dan lebih dibimbangi ababila ada segelintir ahli tarbiyyah yang masih tidak dapat memahami tuntutan ini. Jesteru ana terpanggil untuk menulis tentang perkara ini, mudah mudahan kita mendapat manfaat bersama.

Definisi

Pilihanraya merupakan satu proses memilih calon yang bertanding untuk menjadi pemimpin yang mewakili rakyat yang memilih.

Beberapa pelepasan syara’

1) Kaedah usuliah: hukum asal bagi sesuatu adalah harus. Memandangkan disana tiada nas yang betul-betul qat’ie sama ada didalam Al-Q uran atau as-Sunnah yang mengharamkan penyertaan dalam pilihanraya, maka hukum asalnya tetap tidak berubah daripada harus untuk menyertainya.

2) Kaedah fiqhiyyah: mengambil mudharat yang lebih kecil berbanding mudharat yang lebih besar. Memang tidak dinafikan bahawa demokrasi dan pilihanraya ini ada mudharatnya. Tetapi tidak memilih jalan pilihanraya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar iaitu memberi peluang kepada musuh Allah untuk memegang tampuk pemerintahan dan melaksanakan pemerintahan yang bersifat maksiat kepada Allah. Jadi, memilih mudharat pilihanraya ini lebih kecil dari tidak menyertainya.


3) Pilihanraya membantu merealisasikan beberapa tuntutan dalam maslahah muktabarah.

• Meletakkan agenda amar makruf nahi munkar sebagai diantara asas untuk menyertai pilihanraya. Dakwah perlulah menjadi agenda pembawakan setiap kali berada dalam kancah pilihanraya dengan memberi kefahaman tentang Islam dan mengajak ummah kembali kepada Islam.

• Pilihanraya sebagai Muwajahah silmiyyah . Muwajahah silmiyyah membawa maksud kita boleh mengambil ruang-ruang kebebasan yang ada dalam sistem bukan Islam samada demokrasi atau lain-lain untuk menyampai dan menerangkan perjuangan Islam.

• Tarbiyyah jihadiyah kepada anggota harakah Islamiyyah. Mengajar dan mendidik pejuang islam supaya memberikan sepenuh jiwa dan raga mereka dalam perjuangan untuk memenangi pilihanraya.

4) Boleh menggunakan idea atau sistem bukan Islam selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip yang ada dalam Islam malah tidak memudaratkan sebaliknya memberi keuntungan kepada perjuangan Islam

• Rasulullah menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqat sebagai penunjuk jalan ke Madinah dalam peristiwa hijrah.

• Sistem himayah . Rasulullah meminta pertolongan kaum lain untuk melindungi baginda dalam dakwah

• Tuntutan semasa (waqi’) yang praktikal dan realistik untuk dilaksanakan.

Beberapa persoalan dan jawapan

1) Asalnya Islam tidak meletakkan suara majoriti sebagi pemutus dalam semua pekara. Ia tidak tepakai dalam perkara-perkara thawabit . Perkara thawabit juga tidak boleh berubah menurut zaman dan masa, ia adalah perkara yang mesti dilakukan serta tiada ruang ihtimal. Manakala perkara mutaghayyirat adalah perkara dari Nusus Zanniyyah seperti Nas umum (menurut jumhur), lafaz bersifat Mutlaq terutamanya dalam perkara ijtihadiyyah dan baru serta perkara-perkara bersifat strategi kepimpinan dan politik yang tiada nas qati’e.

2) Justeru, Islam menerima suara majority dalam hal ‘mutaghayyirat’ tetapi dengan syarat-syarat tertentu, menurut keadaan dan maslahat seperti hanya undian di kalangan ‘ ahl al-hal wal al-‘aqd ’ atau dalam menentukan bentuk-bentuk tindakan dan bukannya bersifat hukum. Juga dalam urusan melantik pimpinan atau juga urusan kemaslahatan rakyat seperti membina lebuh raya dan menetapkan cukai tol.

3) Penyertaan sebagai ahli parlimen tidak boleh dikatakan sebagai bersekongkol dengan sisitem jahiliyyah kerana seorang ahli parlimen adalah wakil kepada rakyat (afrad) yang memilih mereka. Jadi sewajarnya mereka menyertai parlimen untuk memperjuangkan hah-hak rakyat itu tadi.

4) Tidak semua perkara yg dicipta oleh org bukan Islam/kafir itu haram diguna pakai oleh umat Islam (spt sistem pilihanraya dan parti politik). Yg menjadi haram sesuatu perkara itu bukan sebab ianya dicipta oleh orang bukan Islam, tetapi sebab sudah ada nas yang mengharamkannya.

5) Tidak semua perkara yg Nabi sa.w. tak buat, maka kita pun tak boleh buat. Nabi s.a.w. tak buat jalan raya berturap, bangunan tinggi, pejabat agama, masjid surau yg banyak, tabung haji, dsb.nya. Tapi apakah kita pun diharamkan membuat perkara2 baik itu atas alasan baginda tidak buat? Jadi kalau baginda tak buat parti politik yg sama sebijik macam hari ini pun, apa salahnya kita kreatif sikit dalam perjuangan Islam ini, demi melawan kekuatan sistem musuh?

6) Kita tidak menolak akan berlakunya perbincangan yang menjurus kepada mempersendakan agama dalam siding parlimen, tetapi bukankah ketika itu ahli parlimen muslim boleh meninggalkan dewan sebagai tanda protes ataupun yang lebih baik sekiranya mereka bangun bersuara untuk menjelaskan pendirian Islam dan meberi kefahaman tentang keindahan agama Islam ini dalam menghadapi isu2 tersebut.

7) Penyertaan sebagai ahli parlimen dapat mengurangkan lagi majoriti golongan sekular. Dalam erti kata yang lain, sekiranya kita berada dalam parlimen, kuasa untuk mnggubal undang-undang itu lebih luas terbentang berbanding dengan sebaliknya.

8) Jangan samakan situasi yang berlaku di Negara umat islam yang mengambil wasilah peperangan sebagai medan menegakkan Islam, kerana itu adalah suasana yang dituntut dalam Negara mereka. Adapun kita didalam Malaysia seharusnya menggunakan medan demokrasi yang masih terbentang luas untuk menegakkan agama Islam. Bukankah dalam ciri2 islam itu ada waqi’eiyyah iaitu perlaksanaannya sesuai mengikut suasana.

Kesimpulan

Perlu dingatkan bahawa sebagai seorang muslim yang perjuangan kita berteraskan keredhaan Allah semata walaupun kita menggunakan system demokrasi mahupun pilihanraya sebagai pendekatan untuk mencapai kemenangan, kita tidak pernah sekali-kali beriman dengan system ini tetapi memilihnya setelah memikir dan mempertimbangkan semasak-masaknya maslahah dan mafsadah yang bakal diperolehi dalam merealisasikan DAULAH ISLAM ini.

Wallahualam…

Tuesday, February 15, 2011

Pagi


Alhamdulillah,dipagi yang hening ini Allah masih memberikan kita kekuatan untuk bangun menghadapnya. Berapa ramai diantara umat manusia yang apabila pagi menjelang, mereka akan mengerutkan muka dan seterusnya menarik selimut untuk tidur semula sedangkan pada ketika itu seruan dari panggilan Ilahi sudah berkumandang.

Pagi menjadi sebuah waktu yang sangat menyegarkan. Begitulah kuasa Allah yang tiada tolok bandingnya. Firman Allah:

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.(al-aaraf:54)

Hebat sungguh kuasa Allah yang berupaya untuk menyediakan nikmat yang sebegitu rupa kepada kita hambaNya. Pagi menjadi saksi peredaran bulan dan matahari. Pagi juga menjadi saksi pertukaran waktu siang dan malam supaya manusia menyedari hakikat ciptaan Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu yang diciptakanNya. Tidak ada suatu perkarapun yang terhindar dari pengetahuan Allah swt.

Pagi membawa seribu erti, pagi juga menguji kekuatan diri, pagi juga menjanjikan seribu misteri. Apapun pagi tetap rahmat yang dikurniakan kepada Allah kepada hambanya yang bersyukur.
Hayatilah pagi dengan renungan iman, agar pagi itu menjadi permulaan ibadah kita pada yang esa. Jangan jadikan pagi sebagai medan untuk menunjukkan keegoan seorang hamba kepada tuhanNYa. Singkapilah rahsia pagi dengan sentuhan ibadah yang hanya tunduk dan berserah kepada Allah. Sesungguhnya disitu ada ruang untuk bersunyi-sunyian meminta petunjuk dari Maha Mendengar lagi Maha Pemurah.

Ya Allah, mudah-mudahan akan ada lagi pagi seperti ini bagiku…

Monday, February 14, 2011

Menghayati Maulidul Rasul


1. marilah kita sama-sama menghayati dan menyelusuri sirah perjuangan baginda rasulullah sehinggakan sinar Islam itu akhirnya menerjah kepada zaman kita.

2.jadikanlah rasulullah sebagai qudwah hasanah dalam kehidupan seharian kita tidak kira dari aspek yang mana sekalipun, kerana rasulullah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.

3.ayuh bersama menghidupkan sunnah rasulullah yang telah ditinggalkan kepada kita, sesungguhnya sunnah yang paling besar adalah menggerakkan gerak kerja dakwah supaya manusia akan kembali untuk menyembah dan mengesakan Allah semata-mata.

4.ayuh baca hafal dan ceritakan tentang kisah perjuangan rasulullah ini supaya generasi yang terkemuadian akan dapat mengambil manfaat seterusnya mengikuti tauladan yang telah ditinggalkan oleh baginda.

5.sentiasa meletakkan dalam diri kita tanggungjawab yang besar dalam memelihara nama baik rasulullah yang sentiasa difitnah dan dikeji oleh orientalis barat yang tidak bertanggungjawab.

6.bayangkan dihari akhirat kelak, kita akan berpeluang untuk berjumpa dengan rasulullah. dapat menyentuh malah memeluk susuk tubuh yang mulia itu, kemuadian menceritakan betapa sepanjang hidup didunia ini sentiasa merasai kerinduan untuk bertemu dengan baginda. lalu kita mengikuti rasulullah masuk kedalam syurga dan hidup bersama dengan orang yang selama ini sangat mencintai kita sepenuh hatinya.

Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang beriman dan berikan kami peluang untuk bertemu dengan Rasulullah. sesungguhnya Kaulah yang menjadi saksi bahawa kami sangat merindui kekasihMu itu.

Saturday, February 12, 2011

KEMBARA





PROGRAM: KEMBARA (KEMBALI KE MADRASAH RASULULLAH SAW)
TEMPAT: UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG

TARIKH: 11 – 18 FEBRUARI 2011
11 februari 2011 – Perasmian Program Kembara di masjid UMP selepas solat jumaat.
12 februari 2011 – ‘Bakti Siswa UMP Di Perkampungan Balok Pine, Kuantan’
13 – 16 februari 2011 – ‘Putera Dan Srikandi Islam’
14 februari 2011 – Konsert Dan Pentomin. Penampilan Khas Kumpulan Nasyid In-Team Dan Azhan Atan ( Juara Akademi Nasyid 2008)
15 februari 2011 – Bicara Cinta Oleh Ustaz Pahrol Mohammad Juoi ( Novelis Terkenal)
16 februari 2011 – Pertandingan Sepanduk Dan Perarakan. Semua Fakult dan Staff Diwajibkan Menghantar Wakil.
17 februari 2011 – Wacana Institusi Kenegaraan Islam Oleh 3 Orang Panel Iaitu Ustaz Mansor Sulaiman (Pensyarah UMP), Ustaz Ahnar Opir ( Pensyarah UPSI) , Ustaz Roslan Md Isa ( Ketua Penolong Qadhi Bentong)

Wednesday, February 9, 2011

LIHAT DENGAN MATA HATIMU



Hati ibarat sebuah institusi yang besar didalam perjalan hidup manusia dan roh. Hati juga boleh diibaratkan sebagai raja yang tertinggi dalam struktur badan manusia. Bukan dalam peringkat roh sahaja bahkan ia juga diakui oleh pakar fizikal masakini.

Dalam islam hati disifatkan oleh rasulullah sebagai permulaan untuk tercetusnya sebuah kelakuan. Ini berdasarkan sabda baginda

“Didalam setiap jasad ada seketul daging, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasad, jika ia baik maka baiklah seluruh jasad, ketahuilah ia adalah hati.”

Jesteru diatas peripentingnya hati ini, Islam menyuruh penganutnya untuk sedaya upaya menjaga hati ini daripada layu dengan pujukan rayu dari syaitan laknatullah.

PERINTAHLAH HATI DENGAN IMAN

Sebagai seorang muslim yang beriman,kita perlulah memastikan bahawa hati yang dianugerahkan oleh Allah ini dijaga dan diperintahkan dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya tidak ada pemerintah kepada hati yang lebih baik untuk seorang anak adam itu daripada iman yang mantap kepada Allah.

Kebelakangan ini kita melihat kebejatan gejala sosial semakin berleluasa seolah-olah ia seperti perkara yang biasa. Lihat sahaja didada-dada akhbar tentang jenayah pembunuhan kejam, pembuangan bayi serta banyak lagi. Inilah akibatnya jika hati dikawal oleh nafsu durjana.

Gejala couple contohnya walaupun sudah tahu ianya haram disisi Islam tetapi masih ada yang menganggap ada kebaikan disebaliknya dengan memberikan alasan mudah fokus untuk belajar bersama, tidak lagi rasa sunyi serta ituadalah fitrah manusia. Sedangkan apa yang manusia tahu tentang fitrah yang terbaik untuk mereka? melainkan Allah yang mengetahui semuanya. Firman Allah:

“Dan janganlah kamu mendekati zina”

Jangan sesekali membiarkan hati dijajah oleh hawa nafsu, kerana pasti syaitan akan mudah untuk menjatuhkannya dan akhirnya manusia akan hanyut dan leka dibuai maksiat yang dianggap indah pada matanya, sedangkan mata hatinya sudahpun buta ditutupi dosa.

BAGAIMANA MENJAGA HATI?



Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: “ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah ( beribadat ) disepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.

Inilah yang telah dikatakan oleh seorang ulama tasawwuf tentang penjagaan hati yang sempurna. Sesungguhnya hati dan seluruh jasad kita ini adalah milik Allah dan sewajibnyalah kita sebagai hamba Allah menjadikan Allah sebagai tempat merujuk dan pengubat jika berlaku kesakitan pada hati kita.

Kesemua cara menjaga hati itu tadi jika dirumuskan, ia akan bertemu dengan satu titik yang sama iaitu ubat hati yang paling mujarab adalah menyerahkan hati itu kepada pemilik hati yang sebenar iaitu Allah swt.
Firman Allah:

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik". (QS Al Hadid:16)

Alangkah bahagianya sekiranya kita memperolehi hati yang sentiasa takut dan tunduk kepada Allah walaupun dalam keadaan yang tidak disukai oleh manusia.

Tuesday, February 8, 2011

AYUH SERULAH!!!

Dakwah adalah salah satu tunjang yang penting dalam agama Islam, tanpa dakwah tidak mungkin Islam sampai kepada kita seperti hari ini. Segala keindahan dan kemuliaan yang kita rasakan pada hari ini adalah berkat kekuatan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada hambanNya yang terdahulu untuk melaksanakan tuntutan dakwah ini. Jalan dakwah ini jugalah diantara perintah yang telah diberikan oleh Allah kepada baginda Muhammad saw. Firman Allah:

"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Fussilat 41:33)

Indah sungguh ayat yang telah diturunkan kepada rasulullah menggambarkan kepentingan menyeru manusia kembali kejalan Allah sambil diri orang yang menyeru itu tunduk dan berserah bulat-bulat kepada ketentuan Allah.

GANJARAN YANG DIJANJIKAN

Sesungguhnya jalan yang menuju keredhaan Allah ini sunnatullahnya sentiasa ada ranjau dan durinya. Jalan ini memerlukan kekuatan yang luar biasa yang hanya dikurniakan kepada individu-individu yang terpilih sahaja. Bayangkan mereka mengerah segala kudrat yang ada untuk mengembalikan fikrah masyarakat kepada ajaran Islam yang tulen, dan sudah pasti kerjaini akan ditentang oleh penentang agama Allah iaitu golongan thoghut yang sentiasa bertembung dengan ajaran suci ini. Pertembungan ini akan sentiasa wujud hingga ke akhir hayat dan sesungguhnya beruntunglah bagi mereka yang tegar dan berjaya mengharunginya walaupun ia syahid di pertengahan jalan ini. Firman Allah:

"Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil), sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)." (Aali-Imran 3:195)

Nah!! Sudah jelas ayat yang diturunkan menceritakan tentang genjaran serta nikmat yang sudah siaga menunggu para mujahidin ketika mereka masuk kedalam syurga yang dijanjikan oleh Allah kerana usaha dan kesungguhan mereka melaksanakan perintah Allah.

TAK PERLU TAKUT DAN MALU

Kebelakangan ini, ramai golongan pendakwah sedikit tercicir dan terkeliru apabila membincangkan tentang tugas mereka. Ada diantara mereka yang melahirkan perasaan malu dan takut untuk melaksanakan tugas yang besar ini kerana mereka sendiri masih belum melakukannya ataupun mereka masih belum layak mebicarakannya apatah lagi melakukannya. Mereka memberi dalil dari firman Allah:

“sesungguhnya amat besar kemurkaan Allah kepada sesiapa yang mengatakan apa yang mereka tidak lakukan”(As-Saff:3)

Benar, Allah sangat murka kepada mereka yang tidak melakukan apa yang telah mereka katakan tetapi ia bukanlah dalil untuk tidak menyeru manusia yang lain kepada kebaikan atas alasan perkara itu belum dilakukan lagi oleh penyeru tadi. Ulama mentafsirkan ayat itu memberi gambaran bahawa menyeru kearah kebaikan dan melakukan perkara yang diseru itu adalah 2 perkara yang berbeza. Allah tetap murka dengan orang yang tidak melakukan apa yang mereka katakan tetapi Allah suka kepada mereka yang menyeru kearah kebaikan tadi. Ini bermakna walaupun kita belum lagi melakukan perkara tersebut, ia tetap menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan perkara itu kerana ia adalah amal kebaikan. Natijahnya disini dalam kita menyampaikan kebaikan kepada orang lain, kita juga mengkoreksi diri untuk melakukan sama perkara yang kita serukan tadi. Firman Allah:

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (Al-Ankabuut 29:69)

Maka baikilah amalan kita dengan bersungguh-sungguh dan dalam masa yang sama janganlah kita mengabaikan tuntutan untuk menyeru orang lain kepada jalan Allah. mudah mudahan kita mendapat ganjaran yang akan membersihkan segala dosa yang telah kita lakukan di dunia ini.

InsyaALLAH