Pages

Monday, March 14, 2011

Bagaimanakah bentuk pakaian wanita Islam?


“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”(An-Nuur:31)

Kesopanan dalam sebarang keadaan termasuk berpakaian adalah nilai kemurnian akhlak dan kemantapan iman. Rasulullah SAW diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia dan mendidik manusia dengan kesempurnaan adab dan kesopanan. Di antara ciri-ciri kesopanan dan kesusilaan yang dapat dilihat adalah melalui berpakaian dan pakaian yang bersopan di sisi Islam ialah yang menutup aurat sama ada bagi lelaki mahupun wanita dengan tiada dihadkan bentuk dan fesyen bahkan diserahkan kepada kebiasaan sesuatu kaum atau sesebuah masyarakat. Yang pentingnya wajib berpakaian yang menutup aurat kerana ia sesuai dengan martabat manusia yang dimuliakan.

Para ulama dengan berpandukan al-Quran dan as-sunnah telah memberi garis dan panduan yang jelas tentang aurat yang wajib dilindung atau ditutup dari pandangan. Kita boleh mengambil contoh garis panduan yang dinyatakan khas bagi aurat kaum wanita di hadapan lelaki ajnabi iaitu yang bukan suaminya dan mahramnya di luar sembahyang dari semua pendapat aliran-aliran mazhab yang empat:

1. Mazhab Hanafi

Aurat perempuan seluruh badannya termasuk rambut yang terhurai kecuali muka dan tapak tangan (tapak dan belakangnya) dan dua kaki di dalam sembahyang tetapi di luar sembahyang ia adalah aurat juga tiada boleh dilihat atau disentuh.

2. Mazhab Maliki.

Aurat dibahagikan kepada dua (1) mukhaffafah (2) mughallazah. Mukhaffafah ialah dada dan yang bertentang dengan dada dari belakang dua tangan dan dua kaki. Selain anggota-anggota tersebut adalah aurat mughallazah. Pembahagian ini dibuat berkaitan dengan hukum sembahyang ketika terbuka aurat-aurat tersebut itu. Adapun dari segi hadapan lelaki ajnabi maka semuanya aurat kecuali muka dan dua tapak tangan itupun wajib ditudung kerana takut fitnah bukan kerana aurat.

3. Mazhab Syafie.

Seluruh badan kecuali di dalam sembahyang maka dikecualikan muka dan dua tapak tangan. Demikian juga ketika tawaf dan al-Imam an-Nawawi salah seorang ulama as-Syafie mengecualikan muka dan dua tapak tangan di dalam sembahyang dan di luar sembahyang.

4. Mazhab Hanbali.

Aurat perempuan seluruh badannya kecuali muka dan dua tapak tangannya. Kesimpulannya semua mazhab bersependapat bahawa aurat perempuan di hadapan lelaki ajnabi adalah seluruh badannya kecuali muka dan tapak tangannya di mana kedua-dua anggota itu terdapat khilaf padanya sama ada aurat atau bukan aurat.

Islam ini agama yang sangat indah dan mudah, cuma sebagai manusia, janganlah kita mengambil mudah suruhan Allah dalam agama ini. Ingatlah bahawasanya Allah lebih mengetahui tentang apa yang terbaik untuk kita semua.

http://akuseekorkuman.blogspot.com/2010/10/islamic-fashion-festival-2010.html