Pages

Tuesday, April 19, 2011

Ada apa dengan perkahwinan?


"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan" (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.(Al-Ruum:21)

Perkahwinan didalam Islam adalah satu perasaan yang membawa kepada ketenteraman jiwa, kesenangan hati, kasih sayang, saling menghormati dan seterusnya yang paling besar sekali adalah redha dari Allah yang Maha Sempurna.

Dengan membangunkan sebuah rumah tangga muslim yang mulia, akan terbukalah kesempatan yang luas dan baik untuk membangunkan generasi baharu dan kemudiannya mampu membentuk mereka menjadi putera dan puteri Islam yang sejati dan selamat didalam pangkuan sebuah keluarga yang diredhai Allah.

Kalamullah diatas menujukkan bahawa Allah menjadikan manusia itu berpasangan sebagai tanda kekuasaanNya yang Maha Mengetahui segala apa yang dikehendaki oleh makhluk ciptaanNya dari segi emosi dan fizikal.

Inilah konsep membina rumah tangga yang bahagia dan diredhai Allah didalam Islam. Percantuman antara jiwa dengan jiwa didalam satu pencantuman yang paling kukuh dibawah rahmat dan kasih sayang dari Allah.

Isteri yang solehah didalam Islam adalah sebaik-baik hiasan yang disediakan untuk seorang lelaki atau suami yang beriman dan beramal soleh begitu juga sebaliknya kepada isteri yang solehah. Sabda Rasulullah:

“Dunia ini adalah kesenangan dan sebaik kesenangan ialah isteri yang solehah (isteri yang baik)”

Salah faham

Perkahwinan didalam Islam bukan sekadar untuk mehalalkan apa yang haram didalam perhubungan semata-mata, ia juga bukanlah sekadar pandangan nafsu yang akhirnya sentiasa terburu dalam membuat sebarang keputusan.

Perkahwinan adalah sesuatu ayng mulia dan mempunyai matlamat yang lebih daripada apa yang kita selalu fikirkan. Perkahwinan dalam Islam, tujuan akhirnya adalah mendapat keredhaan Allah setelah melakukan tangungjawab-tanggungjawab yang dibebankan setelah mendirikan rumah tangga.

Ada rezeki disediakan

Jangan terlalu senang untuk merasakan mudah apabila mendirikan rumah tangga, tetapi jangan merasa susah untuk mudah mendirikan rumah tangga, kerana Allah berfirman:

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui” (An-Nuur:32)

Walaupun begitu setiap pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga perlulah bersedia dengan Ilmu kekeluargaan kerana perkahwinan akan disertakan dengan tanggungjawab yang begitu berat.

Jauhi fitnah

Perkahwinan juga dapat mengelak umat Islam dari terjebak dalam fitnah yang melibatkan maruah kerana Islam sentiasa menjaga maruah penganutnya. Sabda Rasulullah:

“Barangsiapa yang mampu untuk berumahtangga, maka hendaklah ia berkahwin kerana yang demikian itu dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah dapat menahan keinginan (hawa nafsu).”

Rasulullah bersabda lagi:

“Jika yang datang meminang kepada kamu orang yang kamu percaya tentang agamanya dan amanatnya, maka sebaik-baiknya kamu mengahwinkannya saja. Jika tidak dikhuatiri akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kecelakaan yang besar.”

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sebab digalakkan berkahwin itu supaya terhindar dari kecelakaan yang mungkin dilakukan oleh mata dan kemaluan. Sebab itulah bagi orang yang tidak mampu pula digalakkan supaya berpuasa, kerana puasa itu akan melemahkan anggota seks.

Zuriat yang menggembirakan

Bersabda Rasulullah s.a.w:

“Setiap amalan anak Adam akan terputus melainkan tiga saja (salah satunya) anak yang saleh mendoakannya.”

Masakan mungkin tanpa perkahwinan akan wujud anak-anak yang akan menyejukkan mata kedua ibu bapa dan yang paling utama untuk mendoakan mereka setelah mereka pergi bertemu Allah dialam barzakh nanti.

Alangkah bahagianya pasangan yang berjaya mendidik anak keturunan mereka untuk menjadi anak yang soleh/ah yang lebih baik dari mereka. Bukan sahaja anak ini akan berkhidmat untuk kedua ibu bapa, tetapi seluruh masyarakat juga akan merasakan kehadiran mereka dihati.

Masyarakat Muslim

Bayangkan sekiranya umat Islam berjaya menghasilkan rumahtangga muslim ini, ia akan membawa dunia ke sebuah alaf baru yang disana wujud sebuah masyarakat Islam yang hidup dan mati mereka hanyalah kerana Allah, dan suasana kehidupan yang terjaga oleh penduduknya yang soleh dan solehah. Akhirnya, ketika itulah rahmat dari Allah akan turun kepada dunia yang sangat mengharapkan kasih sayang dan pertolonganNya.

InsyaALLAH