Pages

Wednesday, September 22, 2010

Lihatlah

Bismillahirahmanirrahim

Firman Allah:
“Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).” (Al-Mulk:3-4)


Subahanallah, begitu besar dan agungnya kuasa yang dimiliki oleh Allah swt. Menerusi ayat diatas, Allah menceritakan kepada kita tentang kuasaNya yang telah menjadikan langit dengan 7 petala yang sempurna. Kemudian Allah mencabar para cerdik pandai dan cendikiawan untuk mencari seberapa banyak kecatatan pada ciptaan Allah itu, dan sudah pasti hasilnya kita akan dapati seluruh ciptaan Allah ini sangat sempurna dan menyempurnakan ciptaan yang lain.

LIHATLAH BERKALI-KALI



Allah juga menyuruh hambanya yang tidak bersyukur dan sentiasa melakukan perkara maksiat melihat dan merenung sebanyak-banyaknya kepada penciptaan langit dan 7 petalanya agar menemui kecatatan yang telah dibuat oleh Allah. Sesungguhnya Allah maha sempurna dan tidak ada kecatatan yang wujud diatas ciptaanNya.

Tetapi, malangnya setelah bukti demi bukti yang telah dihimpunkan didalam Al-Quran dikeluarkan, masih ada lagi segelintir manusia yang masih lagi melakukan perkara yang mungkar dan keji. Mereka ini seolah olah mempertikaikan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dan mendustakannya.

BERSYUKUR



Persoalan yang begitu penting sekarang adalah mengapa setelah didatangkan bukti yang terkandung didalam Al-Quran serta yang ada didalam kejadian alam ini, masih ramai umat islam yang masih mendustakan nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka

Firman Allah:
“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” (Ar-Rahman)

Janganlah kita menjadi segolongan yang telah ditanyakan berulang-ulang kali oleh Allah setelah didatangkan bukti diatas nikmat yang telah diberikan kepada hambaNya. Allah bertanyakan kepada golongan yang tidak bersyukur dan melakukan maksiat ini tentang nikmat yang selalu mereka kecapi, tetapi mereka masih melakukan perbuatan munkar kepada Allah.

AMALAN



Jesteru, ayuh kita melakukan perubahan dengan melahirkan perasaan syukur itu dengan amalan soleh yang dituntut oleh Allah didalam Al-Quran. Bayangkan jika tiada nikmat yang dikurniakan oleh Allah, adakah mampu untuk kita meneruskan kehidupan didunia ini? Sesungguhnya segala ibadah dan amalan soleh yang kita lakukan juga adalah nikmat yang telah dikurniakan kepada kita dalam bentuk kekuatan dan kesihatan diri.

RENUNGLAH

Renunglah ciptaan Allah yang ada di langit dan dibumi serta yang ada diantaranya agar kita termasuk dalam golongan yang tidak mendustakan nikmat Allah dan sentiasa bersyukur diatas pemberian Allah samaada ia sesuatu perkara yang kita sukai ataupun tidak kerana Allah maha mengetahui tentang apa yang buruk dan apa yang baik untuk hambaNya.



Firman Allah:
“dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. “ (Al-Baqarah:216)


Mudah mudahan Allah memberkati kita semua dan memandu kita kejalan yang benar.

INSYAALLAH

Monday, September 20, 2010

Ini yang dicari


Dalam kemelut yang berlaku didalam dunia ini, manusia sentiasa berada dalam kebingungan untuk mencari penawar didalam setiap masalah yang berlaku. Lihat sahaja dalam kehidupan sekeliling kita, banyak bencana yang melanda yang menyebabkan kemusnahan dari pelbagai segi termasuklah alam dan kehidupannya. Sudah banyak cadangan-cadangan yang dikeluarkan oleh golongan cerdik pandai untuk mengatasi masalah tersebut, tetapi hasilnya masih tetap sangat menghampakan.

Sedar atau tidak, sebenarnya jawapan tentang penawar yang dicari selama ini ada pada kitab yang teragung, iaitu Al-quran:

Firman Allah:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)?"(Al-Anbiya’:21)

Berdasarkan kalam Allah diatas, jelas bahawa Allah menurunkan kitab Al-Quran ini bukan semata-mata untuk dibaca sahaja, tetapi ia wajib untuk difahami dan diamalkan didalam kehidupan kita seharian. Dan setelah memahami dan mempelajarinya, maka terpikul diatas bahu setiap umat Islam untuk menyampaikan dan mengajarkan isi kandungan Al-Quran kepada orang lain agar umat islam tidak ditimpa kejahilan keatas kitab suci ini lagi. Inilah sebenarnya yang telah diungkapkan oleh Allah dalam Al-Quran sebagai generasi Rabbani.

Firman Allah:

“Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.”(Ali-Imran:79)
Untuk menuju kepada terbentuknya generasi Rabbani, umat Islam perlulah memperkukuhkan
kefahaman dalam pemahaman terhadap Al-Quran sebagai benteng diri dari perkara yang boleh merosakkan disamping mengajarkan Ia kepada orang lain.

Kembalilah kepada fitrah asal dengan menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dan asas dalam kehidupan kita seharian. Mudah-mudahan dengan mempelajari kitab ini,kita dapat melahirkan generasi Rabbani yang hidup dan matinya adalah untuk Islam.

INSYAALLAH