Pages

Saturday, April 18, 2015

AYUH TOLAK GST

Setelah 18 hari GST mengambil alih sistem percukaian barangan di Negara kita dengan menggantikan sistem SST yang sudah melabuhkan tirainya 18 hari yang lalu, ianya begitu memberi kesan kepada hati seluruh rakyat di Negara ini dalam sudut positif dan negatif. Saya secara jujurnya sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang melibatkan perlaksanaan cukai terbaru ini dan impaknya kepada rakyat Malaysia. Rata-rata rakyat Malaysia yang memberikan respon menyatakan bebanan kewangan yang dihadapi mereka setelah GST dilaksanakan. Buktinya ramai yang menyertai demonstrasi atau unjuk rasa yang dianjurkan oleh parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan pemansuhan cukai baru yang membebankan ini..

Cukai Dalam Islam

Dalam agama Islam, perlaksanaan cukai mempunyai beberapa pandangan yang menjadi rujukan dalam mendalami isu ini. Diantara pendangan tersebut adalah:

1.       Haramnya cukai secara mutlaq.

2.       Harus secara sementara waktu ke atas si kaya pada kadar tertentu di musim wujudnya keperluan.

3.       Harus mengenakan cukai pada sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran Negara.

Saya tidak berhasrat untuk mengupas secara khusus tentang pandangan para ulama berkaitan perlaksanaan cukai dalam sesebuah Negara. Cuma secara kesimpulannya ketiga-tiga pandangan tersebut menyentuh pada satu titik yang sama iaitu cukai boleh dilaksanakan dalam keadaan terdesak dan Negara memerlukan sejumlah suntikan dana yang sangat besar untuk mengembalikan kestabilan ekonomi mereka.

Realiti di Malaysia.

Sebagai rakyat yang bertimbang rasa, kita menyedari bahawa sekiranya beban cukai itu dilaksanakan kepada rakyat, ia perlulah mempunyai hujah yang kukuh yang boleh meyakinkan seluruh rakyat untuk bersama menerima perlaksanaan cukai itu. Tetapi apa yang menyedihkan kita, bukan sahaja hujah-hujah yang diberikan itu tidak kukuh, ia ditambah lagi dengan kenyataan-kenyataan kurang cerdik yang dikeluarkan oleh menteri-menteri kabinet parti yang memerintah.

Realiti yang berlaku dalam Negara kita hari ini adalah silap urus tadbir ekonomi dan hasil kekayaan dalam Negara yang mengundang kemerosotan perkenbangan ekonomi khususnya yang paling ketara adalah kenaikkan jumlah hutang luar negara yang sudah mencecah RM740 bilion. Dalam keadaan hutang yang meningkat ini, rakyat masih tidak dapat manafaat daripada pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan setakat ini. Hutang isi rumah di Negara kita juga adalah yang tertinggi di Asia dengan 87% daripada KDNKK Negara. Laporan audit Negara juga menunjukkan ketirisan yang berjumlah jutaan ringgit yang sehingga kini masih belum ada penyelesaian daripada mana-mana pihak berwajib.

Bayangkan dalam keadaan rakyat yang cukup sempit dan tenat ini, kerajaan menambah lagi cukai baru yang sangat membebankan. Kemana keuntungan Negara yang disebut-sebut didalam akhbar dan televisyen yang dijanjikan akan dinikmati oleh rakyat? Adakah cukup dengan duit saguhati BR1M yang hanya berjumlah RM950 kepada setiap isi rumah yang berpendapatan rendah? Dimanakah pembangunan yang menjanjikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang sentiasa disebut-sebut ketika perbentangan belanjawan negara yang baru.

Dalam masa yang sama, kita melihat perangai pemimpin Negara yang bermewah-mewah dalam perbelanjaan mereka seharian. Pembelian jet peribadi baru yang harganya mencecah ratusan juta, pembelian barang kemas dan kelengkapan hidup yang mewah, percutian-percutian mewah yang sewenang-wenangnya menggunakan wang rakyat dan harta Negara untuk membawa mereka. Adakah ini yang dikatakan contoh langkah berjimat kepada rakyat?

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya bersama bersatu untuk menolak sekeras-kerasnya perlaksanaan cukai GST ini yang dengan jelas mencabuli hak rakyat dan hanya menguntungkan golongan pemerintah untuk bermewah-mewah dengan duit rakyat. Cukai ini juga jelas bertentangan dengan prinsip pengurusan ekonomi yang dianjurkan oleh islam.

Ayuh bersama kita menolak GST!!!


Muhammad Irsyad Syafiq Bin Burhanuddin
Presiden Kelab Alumni Siswazah Negeri Terengganu (KLUSTER)