Pages

Friday, March 27, 2015

Hudud sebagai hukuman terbaik

Bacaan statistik jenayah yang berlaku dalam Negara kita kebelakangan ini terlalu membimbangkan. Statistik daripada kenyataan Menteri dalam negeri, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, indeks jenayah yang direkodkan adalah sebanyak 111,020 daripada Januari sehingga September 2013. Lebih menarik perhatian lagi, jenayah yang melibatkan pendatang asing hanyalah berlegar disekitar 10-15% daripada jumlah tersebut. Dengan statistik tersebut, dapatlah kita menyimpulkan bahawa rakyat tempatan kini semakin ganas dan yang lebih malang lagi kita mestilah memperakui bahawa undang-undang sedia ada yang telah digubal gagal menjadikan Negara Malaysia lebih aman.

Saya begitu tertarik apabila membaca tentang perlaksanaan undang-undang islam di bawah enakmen syariah yang telah dibentangkan dinegeri Kelantan baru-baru ini. Begitu banyak komen yang positif dan tidak kurang juga komen yang negatif daripada pelbagai lapisan masyarakat sebagai respon terhadap usaha kerajaan negeri Kelantan untuk memartabatkan hukum Islam sebagai suatu kaedah yang terbaik untuk menangani masalah jenayah yang semakin meruncing kini.

Islam sebagai agama yang meliputi keseluruhan cara hidup seseorang manusia mempunyai penyelesaian yang terbaik untuk menangani isu jenayah ini. Dalam Islam, setiap perbuatan manusia seharian sentiasa berkait rapat dengan dosa atau pahala dan halal atau haram. Dalam perkara yang melibatkan isu jenayah pula, Islam telah menyediakan beberapa hukum yang menjadi pedoman didalam al-Quran dan hukuman hudud adalah salah satu dari beberapa hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah.

Hudud adalah hukuman yang bukan sahaja menghukum pesalahnya tetapi ia juga berfungsi sebagai pencegah kepada orang ramai supaya tidak melakukannya. Inilah keindahan hudud yang telah ditetapkan oleh Allah, kerana Dialah yang maha mengetahui apa yang lebih baik untuk manusia. Saya juga tidak bersetuju dengan kenyataan sesetengah pihak yang mengangap hudud ini akan menjadikan Negara kita Malaysia kurang produktif kerana semua akan dipotong tangan dan kaki. Ini kerana secara logik akalnya, seseorang yang melihat kesan hukuman potong tangan dan kaki tidak akan menjadikan mereka lebih bersemangat untuk melakukan jenayah tersebut. Tambahan lagi, hukuman hudud juga sukar untuk disabitkan keatas tertuduh kerana mempunyai syarat-syarat yang ketat dan kebiasaanya, mereka akan dikenakan hukuman ta’zir (kebijaksanaan pemimpin untuk menjatuhkan hukuman) sahaja.Tidak hairanlah sekiranya, orang bukan Islam juga menyambut baik cadangan kerajaan Kelantan untuk melaksanakan rang undang-undang persendirian tersebut dalam negeri mereka.

Jesteru, kami sebagai umat Islam sangat menyokong penuh perlaksanaan undang-undang ini bukan sahaja di negeri Kelantan, tetapi diseluruh Negara Malaysia yang kita cintai ini. Semoga Allah memudahkan usaha kalian untuk menegakkan hukum Allah di bumi ini. Kepada ahli-ahli parlimen yang akan dibentangkan rang undang-undang ini, bukalah mata hati anda untuk menilai keindahan hukum Allah ini untuk masadepan Malaysia yang lebih aman.

Muhammad Irsyad Syafiq b Burhanuddin

Presiden Kelab Alumni Siswazah Negeri Terengganu (KLUSTER)

Sunday, March 22, 2015

IJTIMA ANTARABANGSA PERPADUAN UMMAH KALI KE-3 : MEMACU PERPADUAN MERENTASI SEMPADAN


Tanggal 21 mac 2015 berakhirlah program Ijtima Perpaduan Ummah kali ke-3 yang berlangsung di Kg Rusila Terengganu.  Acara gilang gemilang yang cukup memberi kesan kepada semua umat Islam diseluruh dunia khususnya yang berada di Malaysia ini telah berlangsung dengan cukup baik selama 3 hari bermula pada 19 mac 2015.

Dengan bertemakan slogan ‘Al-qudsa’ ijtima ini membawa seluruh umat Islam untuk bersatu dalam menangani isu yang melibatkan  penindasan keatas umat Islam diseluruh dunia khususnya saudara seislam kita yang berada di Palestin,  Syiria, Burma, Lubnan dan banyak lagi. Ucapan-ucapan dari delegasi seluruh Dunia juga tidak lekang mengajak seluruh umat Islam bersama untuk memberikan sumbangan sedaya upaya masing-masing dalam meringankan beban yang ditanggung oleh saudara seislam kita dimerata dunia.

Dalam ijtima kali ini juga memperlihatkan kepada kita dengan jelas tentang ketokohan Dato Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia. Kehadiran pengunjung tanpa mengira umur yang begitu ramai berpusu-pusu menghadirkan diri ke kg Rusila walaupun mereka tidak pernah dipaksa dan diberikan apa-apa ganjaran untuk kehadiran mereka menunjukkan pengaruh yang dimiliki oleh sosok pejuang ulama haraki ini diperingkat dunia dan tempatan. Ada yang hadir semata-mata ingin bertemu mata atau melihat dengan jelas Tuan Guru Haji Abdul Hadi secara live untuk melunaskan rindu dihati mereka. Apa yang paling penting, kehadiran dikalangan pemuda dan pemudi yang melimpah ruah memberikan isyarat yang sangat jelas terhadap kesediaan mereka untuk memberikan sepenuh sokongan dan dokongan mereka kepada Ulama yang menjadi pewaris sah kepada para anbiya.

Ijtima kali ini juga menjangkaui perbezaan pandangan dan persefahaman politik dengan kehadiran beberapa kumpulan NGO dan badan-badan politik yang turut sama memeriahkan program ini. Ijtima kali ini juga diharapkan akan terus menggerakkan solidariti rakyat Malaysia khususnya dalam isu antarabangsa yang melibatkan penindasan umat Islam.

Akhirnya kita mengucapkan seluruh penghargaan dan tahniah diatas penganjuran program Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah kepada seluruh badan ahli jawatankuasa dan petugas-petugas yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program yang cukup bermakna ini. Moga dengan izin dari Allah akan menjadikan program ini sebagai titik tolak kesedaran Islam dan seterusnya membawa kepada kebangitan Islam yang akan mewarnai kepimpinan dunia ini suatu hari nanti.

Sirru ala barakatillah…

MUHAMMAD IRSYAD SYAFIQ B BURHANUDDIN

Presiden Kelab Alumni Siswazah Negeri Terengganu (KLUSTER)

Wednesday, March 11, 2015

TAHNIAH DATUK DR HARON DIN : KAMI AKAN SENTIASA BERSAMA KEPIMPINAN ULAMA


KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara melantik Datuk Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am parti itu yang baharu.

Dr Haron dipilih untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut selepas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia 13 Februari lalu.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu pelantikan Dr Haron diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 8 Mac lalu di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut.

"Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yacob dipilih memegang jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS yang baharu.

"Perlembagaan PAS menyatakan jawatan Mursyidul Am boleh dipilih oleh 15 anggota Majlis Syura Ulama (MSU) untuk tempoh lima tahun," katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Katanya, jawatan Mursyidul Am tidak terikat dengan penggal muktamar sepertimana Jawatankuasa PAS Pusat.

Sebelum ini, ada cadangan oleh pihak-pihak tertentu dalam PAS yang mahukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Mursyidul Am yang baharu.