Pages

Friday, March 27, 2015

Hudud sebagai hukuman terbaik

Bacaan statistik jenayah yang berlaku dalam Negara kita kebelakangan ini terlalu membimbangkan. Statistik daripada kenyataan Menteri dalam negeri, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, indeks jenayah yang direkodkan adalah sebanyak 111,020 daripada Januari sehingga September 2013. Lebih menarik perhatian lagi, jenayah yang melibatkan pendatang asing hanyalah berlegar disekitar 10-15% daripada jumlah tersebut. Dengan statistik tersebut, dapatlah kita menyimpulkan bahawa rakyat tempatan kini semakin ganas dan yang lebih malang lagi kita mestilah memperakui bahawa undang-undang sedia ada yang telah digubal gagal menjadikan Negara Malaysia lebih aman.

Saya begitu tertarik apabila membaca tentang perlaksanaan undang-undang islam di bawah enakmen syariah yang telah dibentangkan dinegeri Kelantan baru-baru ini. Begitu banyak komen yang positif dan tidak kurang juga komen yang negatif daripada pelbagai lapisan masyarakat sebagai respon terhadap usaha kerajaan negeri Kelantan untuk memartabatkan hukum Islam sebagai suatu kaedah yang terbaik untuk menangani masalah jenayah yang semakin meruncing kini.

Islam sebagai agama yang meliputi keseluruhan cara hidup seseorang manusia mempunyai penyelesaian yang terbaik untuk menangani isu jenayah ini. Dalam Islam, setiap perbuatan manusia seharian sentiasa berkait rapat dengan dosa atau pahala dan halal atau haram. Dalam perkara yang melibatkan isu jenayah pula, Islam telah menyediakan beberapa hukum yang menjadi pedoman didalam al-Quran dan hukuman hudud adalah salah satu dari beberapa hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah.

Hudud adalah hukuman yang bukan sahaja menghukum pesalahnya tetapi ia juga berfungsi sebagai pencegah kepada orang ramai supaya tidak melakukannya. Inilah keindahan hudud yang telah ditetapkan oleh Allah, kerana Dialah yang maha mengetahui apa yang lebih baik untuk manusia. Saya juga tidak bersetuju dengan kenyataan sesetengah pihak yang mengangap hudud ini akan menjadikan Negara kita Malaysia kurang produktif kerana semua akan dipotong tangan dan kaki. Ini kerana secara logik akalnya, seseorang yang melihat kesan hukuman potong tangan dan kaki tidak akan menjadikan mereka lebih bersemangat untuk melakukan jenayah tersebut. Tambahan lagi, hukuman hudud juga sukar untuk disabitkan keatas tertuduh kerana mempunyai syarat-syarat yang ketat dan kebiasaanya, mereka akan dikenakan hukuman ta’zir (kebijaksanaan pemimpin untuk menjatuhkan hukuman) sahaja.Tidak hairanlah sekiranya, orang bukan Islam juga menyambut baik cadangan kerajaan Kelantan untuk melaksanakan rang undang-undang persendirian tersebut dalam negeri mereka.

Jesteru, kami sebagai umat Islam sangat menyokong penuh perlaksanaan undang-undang ini bukan sahaja di negeri Kelantan, tetapi diseluruh Negara Malaysia yang kita cintai ini. Semoga Allah memudahkan usaha kalian untuk menegakkan hukum Allah di bumi ini. Kepada ahli-ahli parlimen yang akan dibentangkan rang undang-undang ini, bukalah mata hati anda untuk menilai keindahan hukum Allah ini untuk masadepan Malaysia yang lebih aman.

Muhammad Irsyad Syafiq b Burhanuddin

Presiden Kelab Alumni Siswazah Negeri Terengganu (KLUSTER)

0 comments: