Pages

Tuesday, February 8, 2011

AYUH SERULAH!!!

Dakwah adalah salah satu tunjang yang penting dalam agama Islam, tanpa dakwah tidak mungkin Islam sampai kepada kita seperti hari ini. Segala keindahan dan kemuliaan yang kita rasakan pada hari ini adalah berkat kekuatan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada hambanNya yang terdahulu untuk melaksanakan tuntutan dakwah ini. Jalan dakwah ini jugalah diantara perintah yang telah diberikan oleh Allah kepada baginda Muhammad saw. Firman Allah:

"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Fussilat 41:33)

Indah sungguh ayat yang telah diturunkan kepada rasulullah menggambarkan kepentingan menyeru manusia kembali kejalan Allah sambil diri orang yang menyeru itu tunduk dan berserah bulat-bulat kepada ketentuan Allah.

GANJARAN YANG DIJANJIKAN

Sesungguhnya jalan yang menuju keredhaan Allah ini sunnatullahnya sentiasa ada ranjau dan durinya. Jalan ini memerlukan kekuatan yang luar biasa yang hanya dikurniakan kepada individu-individu yang terpilih sahaja. Bayangkan mereka mengerah segala kudrat yang ada untuk mengembalikan fikrah masyarakat kepada ajaran Islam yang tulen, dan sudah pasti kerjaini akan ditentang oleh penentang agama Allah iaitu golongan thoghut yang sentiasa bertembung dengan ajaran suci ini. Pertembungan ini akan sentiasa wujud hingga ke akhir hayat dan sesungguhnya beruntunglah bagi mereka yang tegar dan berjaya mengharunginya walaupun ia syahid di pertengahan jalan ini. Firman Allah:

"Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil), sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)." (Aali-Imran 3:195)

Nah!! Sudah jelas ayat yang diturunkan menceritakan tentang genjaran serta nikmat yang sudah siaga menunggu para mujahidin ketika mereka masuk kedalam syurga yang dijanjikan oleh Allah kerana usaha dan kesungguhan mereka melaksanakan perintah Allah.

TAK PERLU TAKUT DAN MALU

Kebelakangan ini, ramai golongan pendakwah sedikit tercicir dan terkeliru apabila membincangkan tentang tugas mereka. Ada diantara mereka yang melahirkan perasaan malu dan takut untuk melaksanakan tugas yang besar ini kerana mereka sendiri masih belum melakukannya ataupun mereka masih belum layak mebicarakannya apatah lagi melakukannya. Mereka memberi dalil dari firman Allah:

“sesungguhnya amat besar kemurkaan Allah kepada sesiapa yang mengatakan apa yang mereka tidak lakukan”(As-Saff:3)

Benar, Allah sangat murka kepada mereka yang tidak melakukan apa yang telah mereka katakan tetapi ia bukanlah dalil untuk tidak menyeru manusia yang lain kepada kebaikan atas alasan perkara itu belum dilakukan lagi oleh penyeru tadi. Ulama mentafsirkan ayat itu memberi gambaran bahawa menyeru kearah kebaikan dan melakukan perkara yang diseru itu adalah 2 perkara yang berbeza. Allah tetap murka dengan orang yang tidak melakukan apa yang mereka katakan tetapi Allah suka kepada mereka yang menyeru kearah kebaikan tadi. Ini bermakna walaupun kita belum lagi melakukan perkara tersebut, ia tetap menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan perkara itu kerana ia adalah amal kebaikan. Natijahnya disini dalam kita menyampaikan kebaikan kepada orang lain, kita juga mengkoreksi diri untuk melakukan sama perkara yang kita serukan tadi. Firman Allah:

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (Al-Ankabuut 29:69)

Maka baikilah amalan kita dengan bersungguh-sungguh dan dalam masa yang sama janganlah kita mengabaikan tuntutan untuk menyeru orang lain kepada jalan Allah. mudah mudahan kita mendapat ganjaran yang akan membersihkan segala dosa yang telah kita lakukan di dunia ini.

InsyaALLAH

0 comments: