Pages

Tuesday, January 11, 2011

UBUDIYYAH YANG SEBENAR

“dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia itu melainkan supaya mereka menyembahKu”

(Az-Zariaat:56)
Allah menjadikan manusia sebagai makhluk yang paling sempurna diantara ciptaannya. Bukan sahaja ciptaan yang terbaik, tetapi Allah juga memberi pelbagai keistimewaan kepada manusia agar mereka boleh memimpin dunia dengan lebih baik. Seorang manusia juga dituntut untuk melaksanakan pengertian ubudiyyahnya kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya seperti yang telah diwahyukan oleh Allah tentang tanggungjawab menyembahNya yang dikhususkan kepada manusia dan jin.

KONSEP IBADAH

Beribadat kepada Allah dapat dilakukan dari segala aspek dan gerak geri positif yang dilakukan oleh manusia. Ibadah dapat dibahagikan kepada dua iaitu ibadah umum dan ibadah khusus. Ibadah khusu seperti yang telah termaktub didalam rukun Islam yang lima manakala ibadah khusus pula adalah perbuatan harian yang dilakukan oleh manusia dengan beberapa syarat iaitu:

1.niat ikhlas kerana Allah 2.Mengikut manhaj yang betul 3.tidak melebihi batasan syara’ 4.tidak mengabaikan ibadah fardhu
Ramai yang mengetahui fakta tentang pembahagian ibadah ini dalam Islam, tetapi dalam suasana realitinya, manusia masih mengambil ibadah sebagai satu perkara yang sambil lewa dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Bukan sahaja mengambil ringan tentang ibadah umum tetapi yang lebih mendukacitakan ibadah khusus yang menjadi teras kepada ubudiyyah kepada Allah juga diambil ringan oleh sesetengan individu muslim.

Rasulullah sudah beberapa kali menunjukkan ketegasan baginda berkenaan perintah ibadah kepada Allah ini. Rasulullah pernah bersabda untuk membakar rumah orang yang tidak bangun solat subuh secara berjemaah. Dan diantara pesanan baginda ketika ingin menghembuskan nafas yang terakhir adalah Assolah iaitu tunaikan solat. Begitu penting sekali ibadat solat ini sehinggakan amalan yang pertama yang akan dihisab nanti adalah solat.

JALAN UBUDIYYAH YANG BENAR


Tetapi ada juga setengah dari kaum muslimin yang apabila mengetahui hakikat ini menjadikan ibadah khusus sebagai ibadah yang dilakukan semata-mata sehingga meninggalkan cabang-cabang ibadah yang lain. Jika selama ini kita menganggap cukup ubudiyyah kita sekadar solat,puasa dan zakat yang akan menjamin hidup yang lebih selesa disyurga nanti, ketahuilah bahawa tanggapan kita selama ini silap.

Untuk merealisasikan pengertian ubudiyyah kepada Allah, manusia perlu meletakkan didalam benak pemikiran mereka bahawa jalan yang perlu diikuti untuk mencapai tahap itu adalah dengan mengikuti jalan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah iaitu jalan dakwah.

Jalan dakwah yang telah ditinggalkan untuk kita ini, memerlukan jiwa yang istiqamah dan kental dalam menghadapi semua rintangan yang pada hakikatnya wajib ada dalam jalan ini. Bayangkan jika Allah meletakkan harga syurga semurah solat, puasa dan zakat sahaja, sudah tentu baginda tidak perlu bertungkus lumus menjalankan misi dakwah sehinggakan sanggup meninggalkan tanah air tempat kelahiran baginda sendir demi melaksanakan tuntutan ubudiyyah kepada Allah.Rasulullah tidak perlu dihina dan diherdik oleh kaumnya sendiri sehinggakan ada perancangan untuk membunuh baginda pada malam penghijrahan baginda.

Apalah salahnya sekiranya baginda duduk didalam rumah dan menyebarkan Islam secara senyap-senyap sahaja, bukankah itu lebih selamat berbanding apa yang telah baginda lakukan dalam sirah perjalanan dakwah baginda. Baginda menyebarkan Islam sehinggakan tertegaknya sebuah empayar Islam yang pertama dibumi Madinah yang menjadi mercu tanda keagungan pemerintahan Islam pada zaman itu.

Jelas mesej yang ingin disampaikan oleh Allah yang menterjemahkan perbuatan itu keatas Rasulullah bahawa, pengertian ubudiyyah kepada Allah bukan sekadar solat, puasa dan zakat, tetapi ia lebih besar daripada itu, iaitu mejadikan seluruh undang-undang Allah subur dan memerintah muka bumi ini.

0 comments: