Pages

Monday, October 3, 2011

Khutbah Jumaat : Jiwa Pemuda

Tempat: Surau FKM UMP Pekan
Khatib: Muhammad Irsyad Syafiq Bin Burhanuddin
Tarikh: 30/9/2011

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya

Al-qur’an adalah mukjizat Rasulullah SAW yang kekal dan sangat menarik, didalamnya termuat semua hukum-hukum dan masalah-masalah yang ada pada kehidupan manusia. Dimulai dengan hubungan manusia dengan tuhannya, hubungan manusia dengan sesamanya, bagaimana mengatur hidup manusia dalam bermasyarakat, bagaimana hukum mengenai kepemimpinan dan seluruh permasalahan kehidupan manusia termuat dalam Al-Qur’an Al-Karim. Didalamnya hanya memuat secara global undang-undang pada kehidupan manusia, dan allah mengutus nabi dan imam untuk menjelaskan makna luar biasa yang terkandung didalamnya.

Didalam Al-Quran juga tidak terlepas dari membincangkan persoalan tentang pemuda. Firman Allah:

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

maksudnya: “Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.”( al-Kahfi:13)

“Pemuda adalah harapan bangsa”, “Pemuda adalah tulang belakang sesebuah bangsa”, “Pemuda hari ini adalah pemimpin hari esok”. Itulah di antara seruan dan laungan masyarakat yang seringkali terdengar ketika menyebut satu kelompok masyarakat yang dinamakan pemuda. Semboyan seperti itu agaknya bukanlah sesuatu yang berlebihan, mengingatkan kita kepada peripentingnya kewujudan pemuda di tengah masyarakatnya.

Marilah kita sama-sama menyelusuri kisah tentang segolongan pemuda yang dinukilkan didalam Al-Quran yang digelar sebagai asbabul kahfi.

Menurut ahli sejarah, kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam di satu negeri bernama Afsus yang terletak di Turki (ada pendapat menyatakan di Jordan, dan ada juga mengatakan di Syria). Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah dan beribadat mengesakanNya. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini menganut fahaman kufur/berhala dan ia memaksa rakyat di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah yang dibawa Nabi Isa a.s. dan bertukar kepada agama kufur/berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan siksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu.

Namun tujuh pemuda beriman tadi tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat demikian. Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu. Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman dan prinsip aqidah ilahi yang mereka yakini. Allah berfirman menceritakan peristiwa mereka berhujjah;

“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan hujjah kepada raja): "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”. (al-Kahfi: 14-15)

Walaupun tidak mampu menjawab hujjah-hujjah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman ini, raja yang kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad dari agama mereka. Ia memberikan tempoh beberapa hari kepada mereka. Jika selepas tempoh itu pemuda-pemuda ini tetap berkeras, maka mereka akan dimurtadkan secara paksa atau akan dibunuh.

Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda ini bermesyuarat sesama mereka untuk mencari keputusan yang muafakat; apakah tindakan yang sepatutnya diambil untuk mempertahankan diri dan juga agama mereka? Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di kawasan pedalaman/kampung. Perlu ditegaskan disini bahawa kepergian mereka bukan kerana takut dan sifat pengecut, tetapi kerana ingin mempertahankan aqidah agar tidak dirobek oleh sang penguasa yang zalim. Firman Allah;

maksudnya:“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”. (al-Kahfi: 16)

Mereka lari ke pedalaman di kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama ar-raqiim. Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu.

Di dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah. Ia telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut. Firman Alalh menceritakan tentang mereka di dalam gua;

Allah ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka Allah telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat lama iaitu selama 300 tahun Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah, badan dan jasad mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur.

Setelah sampai tempoh yang ditetapkan Allah (iaitu 300 tahun atau 309 tahun), mereka dibangunkan. Ketika mereka bangun mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka tidur dalam jangka masa yang amat lama. Mereka menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari atau separuh hari sahaja.


Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bertakwa kepadaNya sedaya yang kita mampu, dalam keadaan mana sekalipun, sama ada senang atau susah. FirmanNya;


“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta ta`atlah; dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu”. (at-Taghabun: 16)

Kebetulan semasa pemuda-pemuda ashabul kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 300 tahun lamanya, suasana negeri telah banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri merupakan orang yang beriman kepada Allah. Begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya. Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu; bagaimana Allah boleh menghidupkan orang yang telah mati? Apatahlagi yang telah beribu bahkan berjuta tahun lamanya dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah membangkitkan ashabul kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu lagi. Firman Allah:

“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahwa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya”. (al-Kahfi: 21)

Allah mendedahkan perihal pemuda-pemuda ashabul kahfi itu semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan. Ia merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan wakil itu dan mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama.

Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua ashabul kahfi bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda itu sekeliannya dan mendengar kisah mereka. Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya.

Begitulah kisah segolongan pemuda yang begitu tegar menyayangi aqidah dan iman mereka sehingga sanggup berkorban untuk melarikan diri ke dalam gua semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Sepanjang sejarah kebangkitan Islam dizaman Rasulullah juga banyak dipelopori oleh golongan pemuda. Nama-nama seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al Khattab, Ali bin Abi Tholib, Mus’ab bin Umair dan ramai lagi adalah contoh tauladan unggul sepanjang zaman kepada para pemuda Islam.

Nekad dan semangat jitu yang ada pada diri mereka seharusnya menjadi inspirasi kepada semua pemuda Islam pada zaman ini,

Mus’ab bin Umair sebagai contoh, seorang pemuda bangsawan yang kaya raya dan sentiasa hidup mewah. Beliau juga mempunyai wajah yang tampan dan susuk tubuh yang ideal bagi seorang pemuda. Tidak hairanlah jika ketika itu, dia menjadi kegilaan semua anak-anak gadis di Mekah.

Tetapi, semua itu telah meninggalkannya saat dia menjadi seorang muslim, pakaianya ketika itu adalah pakaian yang buruk dan bertampal-tampal, dia tidak lagi hidup senang seperti mana kehidupan anak-anak bangsawan yang lain, malah ketika dia memeluk agama Islam, dia telah diugut oleh ibunya sendiri yang ingin membunuh diri sekiranya dia tidak kembali kepada agama asalnya iaitu menyembah berhala. Lalu sebagai seorang yang teguh terhadap pegangan aqidah, dia berkata.

“sekiranya Allah mengurniakan 100 nyawa sekalipun dan nyawa itu diambil satu persatu dihadapanku nescaya aku tidak akan sesekali kembali kepada menyembah berhala.”

Begitu tinggi keazaman dan keteguhan hati yang dipamerkan oleh Mus’ab bin Umair dalam menghadapi situasi yang cukup getir itu. Tidak hairanlah diantara ramai pemuda yang ada mendampingi Rasulullah ketika itu, Mus’ab lah yang dipilih untuk dihantar menjadi pendakwah/naqib kepada penduduk madinah sebelum dari peristiwa hijrah yang berlaku pada bulan muharram.

Banyak lagi kisah-kisah yang mampu dijadikan tauladan untuk membentuk jiwa-jiwa pemuda pada masa ini agar menjadi kuat dan teguh dari sebarang anasir-anasir luar yang akan merosakkan Agama, bangsa dan negara kita.

Ingatlah pemuda sekalian, kita adalah harapan negara masa akan datang. Jika kita lemah, maka akan lemahlah pentadbiran negara suatu hari nanti. Jika kita kita kuat, InsyaAllah negara kita akan dikenali sebagai negara Islam yang gah dipersada mata dunia.

Kita tidak akan gentar untuk menyatakan kebenaran walaupun ia pahit untuk diterima,

Kita juga tidak akan malu mencipta perubahan kearah yang lebih baik untuk maslahah kita bersama,

Dan kita tidak akan sesekali berundur walaupun ditekan dengan pelbagai cara dan alasan,

“Alah bisa tegar biasa”

“Berpantang maut sebelum ajal”

Kerana pemuda yang bersih dirinya dan kuat pegangan aqidahnya akan sentiasa bersama-sama dengan pertolongan Allah swt.

insyaAllah


0 comments: