Pages

Tuesday, September 27, 2011

Cahaya mata dalam kaca mata Islam: Kuliah Maghrib

Tempat : Surau Kg Beruas

Kitab : Keperibadian Muslim

Penceramah : Muhammad Irsyad Syafiq bin Burhanuddin

Dalam agama Islam, anak-anak atau cahaya mata diberi tempat yang istimewa dihati seorang ibu dan ayah yang soleh. Dalam Islam, cahaya mata ketika hidup digelar sebagai penyejuk mata seorang ayah dan ibu. Bagaimana mungkin tidak, bayangkan seseorang yang dalam keadaan yang tertekan dengan ujian yang melanda kehidupan pada hari-hari yang mendatang apabila melihat cahaya mata mereka bermain dengan penuh girang seolah-olah masalah yang menimpa mereka itu hilang dengan serta merta dan yang lebih menakjubkan timbul sebuah semangat yang mampu memotivasikan semula diri mereka sendiri.

Itulah nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada insan-insan yang terpilih untuk merasai lembutnya belaian dan bermanja dengan cahaya mata mereka yang menjadi penyejuk dimata dan penawar duka dihati mereka. Ketika dialam perhitungan nanti cahaya mata juga memainkan peranan penting kepada nasib seorang ibu dan bapa. Islam menyifatkan kehadiran anak-anak juga sebagai salah satu sebab untuk kita masuk ke syurga Allah atau mereka akan menjadi sebab untuk kita disiksa dineraka Allah kelak. sabda baginda Rasulullah:

“4 golongan yang akan menarik seseorang itu dari masuk kedalam syurga ialah:

1. Ibunya
2. Isteri-isterinya
3. Saudara perempuannya
4. Anak-anak perempuannya

Begitu jelas bahawa Islam sebagai agama fitrah sangat menitikberatkan persoalan mendidik cahaya mata dengan betul dan penuh kasih sayang.

Tanggungjawab pendidikan anak-anak

Seorang muslim yang sedar perlu menyediakan diri mereka untuk menunaikan hak yang paling utama kepada cahaya mata mereka iaitu memberikan mereka didikan yang sewajarnya agar mereka menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan agama kelak. Firman Allah

“wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah daripada manusia dan batu (At-Tahrim:6)

Ini adalah tanggungjawab kepada semua lapisan masyarakat yang dikurniakan kepada mereka rezeki zuriat supaya tidak meninggalkan mereka dari tanggungjawab yang telah diarahkan didalam Islam. Rasulullah juga diutuskan untuk memperbetulkan akhlak dan membimbing generasi seterusnya menjadi generasi yang mulia disisi Allah. Sabda Baginda:

“ hanyasanya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”

Salah satu dalil yang kuat yang menunjukkan besarnya tanggungjawab ibu dan bapa dalam mendidik anak mereka dan membentuk mereka menurut Islam, supaya mereka taat setia kepada Allah dan mengikuti segala perintah dari Allah baik dalam keadaan senang atau susah.

Sabda Rasulullah:

“suruhlah anakmu bersembahyang tatkala mereka sampai umur tujuh tahun dan pukullah miereka yang berumur sepuluh tahun sekiranya mereka tdak mahu sembahyang.”

Jika mereka tidak mahu mendengarkan saranan yang telah diajar oleh junjungan besar kita ini, maka diakhirat kelak semua yang terlibat akan ditanya tentang kecuaian mereka meninggalkan solat. Biasanya rumahtangga yang tidak menjaga solat akan mudah dimasuki oleh syaitan dan mereka akan menghasut anak-anak untuk menjadi generasi yang lupa akan Tuhannya.

Didiklah dengan kasih sayang

Ibu bapa Islam yang bijaksana mampu memahami jiwa anak-anak kecil dan seterusnya menyelami isi hati mereka dan berusaha untuk membentuk mereka melalui kaedah yang paling halus dan bejaya.

Menangilah kasih sayang mereka dengan menghampiri dan memerhatikan taraf akal dan umur mereka. Bersenda guraulah dengan mereka, perdengarkan kepada mereka kata-kata manis yang penuh dengan luahan cinta dan kasih sayang terhadap mereka, sehinggakan mereka rasa dikasihi, diutamakan dan diharapkan, kerana semua itu cukup menggembirakan jiwa mereka.
Dengan itu, mereka akan membalas cinta ibu bapa mereka dengan mendengar kata dan mentaati ibu bapa mereka dengan rela hati dan tidak berpura-pura kerana timbul dari hati yang dipupuk dengan belaian keikhlasan. Sangatlah jauh bezanya ketaatan yang menerpa jiwa anak-anak yang didorong oleh cinta hormat penuh penghargaan dengan percaya dan hormat yang dipupuk dengan kongkongan, herdikan, paksaan dan kekerasan. Yang pertama adalah taat yang kekal dan kukuh sebalinya yang kedua adalah taat semasa dan sementara yang akan segera
hilang apabila mereka tidak bersam ibu dan bapa mereka.

Ada kelompok manusia yang tidak bersetuju dengan kaedah bermesra-mesra dengan anak-anak dan bergaul dengan mereka kerana perbuatan itu akan menjatuhkan martabat seorang dewasa dan akan mencemarkan kehormatan yang sepatutnya dijaga oleh mereka. Pandangan ini adalah salah semata-mata kerana melayani karenah anak-anak dan berakhlak baik itulah cara pendidikan yang paling berjaya. Sabda Baginda:

“barang siapa yang mempunyai anak kecil, hendaklah menjadi anak kecil terhadapnya”

Maksudnya hendaklah pandai menyesuaikan diri dengan mereka seolah-olah seperti anak kecil yang mampu bermain dengan anak-anaknya.

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh At-Tabarani dari Jabir(r.a.) dia berkata:

“aku masuk kepada Rasulullah (saw) sedang baginda berjalan diatas empat anggota(merangkak) manakala Hassan dan Hussin (r.a.) diatas belakang baginda dan Rasulullah berkata kepada keduanya: ‘sebaik-baik unta ialah untamu dan sebaik-baik orang yang menunggang ialah kamu’”

Nyata dan terang jiwa baginda dalam mendidik dan melayan karenah kanak kanak seolah-olah baginda adalah sebahagian daripada mereka.

Beginilah sepatutnya seorang muslim yang terbaik disisi Allah tatkala bersama dengan anak-anaknya. Mereka mencampuri anak-anak, bergaul dengan penuh kasih sayang bermain-main dan menyenangkan hati mereka selahi ada jalan untuk berbuat demikian dan selagi ada kesempatan dan kemampuan.

1 comments:

MNS shafiq said...

assalamualaikum..., minta kebenarn utk share :) terima kasih...