Pages

Monday, February 9, 2015

TAAT : Mana Salahnya?

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Kebelakangan ini saya melihat banyak perkara yang melanda Jemaah yang kita cintai ini. Pada pengamatan saya perkara ini makin menjadi-jadi setelah Pimpinan Tertinggi PAS dan Majlis Syura Ulama meluluskan untuk mengambil pendekatan politik Tahalluf Siasi bersama rakan parti lain iaitu DAP dan PKR. Isunya sekarang, kecelaruan mula timbul apabila ada beberapa pimpinan tertinggi PAS lebih memenangkan pandangan pimpinan parti lain daripada Tuan Guru Presiden dan Majlis Syura Ulama dalam PAS. Kalau diikutkan, sindrom dikalangan pimpinan yang tidak sebulu dengan Presiden ini sudah berlaku sebelum keputusan untuk bertahalluf dengan pakatan diambil sebagai stratergi lagi, cuma ianya semakin membarah dan menjadi-jadi setelah tahalluf berlaku. Baru-baru ini juga saya ada terbaca mengenai ulasan seorang mahasiswa berkenaan pilihanraya kerajaan tempatan yang diperjuangkan oleh DAP tetapi tidak dipersetujui oleh TG Presiden. Bagi saya semua pihak berhak membuat ulasan, tetapi apabila beliau juga menyentuh tentang prinsip kelima dalam usul 20 karangan Assyahid Imam Hassan Al-Banna, saya terasa terpanggil untuk menelusuri semula maksud sebenar kupasan usul tersebut.

Prinsip ke-5:
Siyasah Syar’iyyah. Pandangan Imam (pemerintah) atau Naibnya (timbalannya) pada perkara yang tidak mengandungi nas, atau perkara yang boleh diandaikan beberapa wajah pendapat atau mengandungi “masalih mursalah” boleh dipraktikkan selagi tidak bertembung dengan kaedah syara’. Adakalanya ia berubah bergantung kepada keadaan, uruf dan adat. Prinsip asal ibadat ialah taabud tanpa menghiraukan makna-makna, dan prinsip asal adat ialah melihat kepada rahsia-rahsia, hikmah dan tujuannya.

Merujuk kepada prinsip di atas, ketua atau naib ketua sesebuah Jemaah berhak mengutarakan pandangan dan perlu dipraktikkan oleh ahli selagi pandangan itu tidak bercanggah dengan kaedah syara’. Dari sudut hukum berijtihad pula, ijtihad mereka diambil kira kerana ijtihad mereka sah dari sudut syara’ dan ia masih diberikan 1 pahala sekiranya tersilap.

Memahami perkara diatas berulang-ulang kali, saya masih tidak dapat melihat kenapa TG Presiden perlu diasak bertubi-tubi daripada beberapa pimpinan dan konco-konconya. Dari sudut apa mereka melihat TG Presiden sebagai orang yang duduk dikandang pesalah hanya kerana beliau tidak bersetuju dengan pandangan rakan pimpinan parti lain dalam PR. Perkara ini bukan sahaja berlaku ketika berhadapan dengan isu pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi sebelum dari itu isu langkah kajang yang menatijahkan pertukaran MB Selangor, stratergi yang sangat licik dan tidak menguntungkan apa-apa kepada PR.

Seterusnya, pandangan ketua mestilah berada dalam 3 ruang lingkup iaitu:

1.       Perkara yang tiada nas
2.       Perkara yang boleh diandaikan beberapa sudut
3.       Masalih mursalah (perkara yang tidak dinaskan oleh syara’ untuk menerimanya atau mengabaikannya)

Melihat kepada 3 perkara diatas, sekali lagi saya tidak dapat menangkap dimana silapnya TG Presiden dalam mengeluarkan pandangan tentang isu PBT. Bagi saya, TG Presiden seorang yang berpandangan jauh dan bijak dalam mengemudi PAS dalam medan politik ini. Memang fakta yang diberikan oleh saudara Lim Kit Siang dan Ong Kian Ming tentang peratusan cina dan melayu yang menyaksikan kaum melayu menguasai menguasai 6 kawasan perbandaran adalah benar, tetapi isu yang dibangkitkan bukan sahaja tentang peratusan penduduk, tetapi lebih dari itu dominasi kuasa ekonomi yang menyaksikan kaum yang lain berada ditangga tertinggi dimajoriti kawasan Bandar. Jadi, secara logiknya sudah tentu sekiranya PBT dilaksanakan, sudah pasti kaum yang satu itu akan mendominasi dan ia akan pasti mencetuskan huru hara dan mungkin akan mencetuskan semula peristiwa 13 Mei.

Dalam masa yang sama, kita melihat isu-isu yang melibatkan perbentangan rang undang-undang kanun jenayah syariah di parlimen dari wakil PAS Kelantan tidak dibawa secara serius oleh segelintir pimpinan dalam PAS sedangkan ia melibatkan hukum islam yang sudah termaktub dalam Al-Quran dan sudah jelas ia melibatkan syariat islam.

Adakah pemimpin tidak boleh disanggah?

Jawapanya pemimpin boleh disanggah sekiranya mereka melakukan arahan yang jelas bertentangan dengan syara’. Sekiranya arahan itu hanya berkisar kepada masalih mursalah maka ia tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk menyanggah apatah lagi untuk menjatuhkan kredibiliti pimpinan. Dalam isu langkah kajang dan PBT saya tidak melihat pandangan yang dikeluarkan oleh TG Presiden menyalahi mana-mana hukum syara' dalam Islam.  Dalam Islam juga kita diajar dengan adab-adab yang baik termasuklah adab dalam menasihati pimpinan. Apabila sudah ada pimpinan yang lain mula berani untuk menjatuhkan TG Presiden secara terbuka, jangan pula menyalahkan sesiapa sekiranya ada kumpulan yang akan membalas perkara yang sama kepada mereka.

PR bukan JEMAAH

Setahu saya, telah banyak kali ahli PAS diseluruh nagara diingatkan oleh TG Presiden tentang kedudukan PAS dan jalan Tahalluf Siasi yang diamalkan bersama rakan pakatan yang lain. Kita bertahalluf untuk perkara-perkara yang dipersetujui bersama membawa kebaikan kepada rakyat seperti membanteras rasuah, mewujudkan pemerintahan yang adil dan bermacam-macam kebaikan lagi kepada rakyat.  Dasar PAS tetap sama iaitu masih utuh mempertahankan perjuangan mendirikan Negara Islam dan menegakkan syariat Islam di Negara ini. Jemaah kita bukan PR tetapi PAS, jesteru ketaatan hanya perlu diberi kepada pimpinan PAS bukan PKR dan DAP.

Saya juga sangat tidak setuju dengan konsep taat dan wala’ sebagai candu dalam Jemaah. Dalam rukun baiah taat menjadi rukun keenam yang diberi penekanan oleh Assyahid Imam Hassan Al-Banna. Saya yakin dan percaya setiap Jemaah pasti sudah menjadikan rukun baiah ini sebagai teks usrah mereka disemua peringkat. Jika benarlah begitu, sudah pasti mereka yang tidak boleh taat kepada TG Presiden telah memberikan taat mereka kepada Jemaah lain. Jadi mengapa perlu berada dalam PAS dan memegang tampuk kepimpinan tetapi memberi taat kepada Jemaah yang lain? Pandangan saya, lebih baik keluar dari PAS.

Saya juga sangat menyarankan semua pimpinan dan sahabat-sahabat yang terikut dengan mereka yang cuba membuat onar dalam Jemaah PAS yang kami sayangi ini untuk menghadamkan pembacaan tentang rukun bai’ah terutama pada rukun FAHAM dan 20 usul yang bersamanya. Mungkin dengan cara itu akan dapat menjernihkan lagi pemahaman mereka dengan adab dan cara untuk hidup berjemaah agar tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama.
Sekadar pandangan daif dari diri yang hina…

#kamisayangulama
#welovetokguru

Muhammad Irsyad Syafiq Bin Burhanuddin@Abu Muslim Al Amiri.

1 comments:

Suffi said...

mantob tuan! sikit lg makam tok guru !