Pages

Tuesday, February 21, 2012

Kesedaran Aqidah

Kuliyyah Magrib
Tempat: Pusat Aktiviti Pelajar UMP Pekan
Penceramah: Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin
Tarikh: Isnin 20/2/2012

Aqidah adalah intipati utama dalam kehidupan seorang muslim. Aqidah adalah jiwa atau nadi yang menggerakkan seluruh kehidupan berlandaskan syariat Allah. Tanpa Aqidah, seseorang muslim itu tidak akan menjalankan tanggungjawab seharian mereka secara ikhlas. Aqidah yang mantap menjadikan seorang muslim itu sangat konsisten dalam memberikan komitmen kepada agama Islam, dalam masa yang sama mereka tidak gentar kepada mehnah dan halangan dan sentiasa mengharapkan kasih sayang dan pertolongan dari Allah.

Dalam memahami Aqidah, pelbagai cara yang digunakan oleh ulama’, diantaranya dengan mengajari kita tentang sifat-sifat Allah dan nama-nama bagi Allah. Ada juga dikalangan ulama’ yang menggunakan uslub yang lebih kontemporari, iaitu dengan menjadikan pengkelasan tauhid 3 sebagai cara terbaik untuk memahami aqidah. Tidak kurang juga kepada ulama’ yang menggunakan cara mentafsirkan ayat dari kitabullah dan sunnah Rasulullah. Walaupun apa caranya sekalipun perlu diingat, dalam memahami aqidah, manusia akhirnya akan kembali bertanyakan persoalan-persoalan fitrah dalam kehidupan mereka:

1. Dari mana mereka datang?

2. Mengapa mereka disini?

3. Kemana akhirnya hidup mereka nanti?

Inilah yang dipanggil sebagai kesedaran tentang tanggungjawab asas sebagai seorang hamba sebelum masuk kepada peringkat melaksanakan tuntutan aqidah itu sendiri. Saya tertarik dengan perumpamaan yang diberikan oleh seorang ulama’ masakini Said Ramadhan Al-Buti pengarang buku fiqh sirah tentang isu ini. Beliau mengumpamakan manusia yang hidup ini seperti seorang yang sedang tidur, pabila terjaga dari tidurnya, dia dapati dirinya berada didalam sebuah gerabak keretapi yang luar biasa mewahnya. Disampingnya ada hidangan yang luarbiasa lazatnya. Dihadapannya ada sebuah pawagam yang menyiarkan tayangan-tayangan yang sangat luarbiasa tarikannya. Apabila dia melihat keluar jendela keretapi, dia dapati pemandangan semulajadi yang sangat luarbiasa indahnya. Untuk pertama kalinya setiap manusia yang melalui keadaan itu akan merasa seronok akan nikmat yang ada dihadapan mereka. Setelah sekian lama berada dalam gerabak mewah itu, manusia akan sampai pada satu masa lahirnya perasaan bosan dalam diri mereka kerana melakukan perbuatan rutin setiap hari walaupun pada mulanya ia sangat disukai. Makanan yang lazat akan terasa hambar, tayangan yang menarik akan terasa jemu malah pemandangan indah tadi pun akan mula kelihatan membosankan. Akhirnya pada tahap yang demikian, manusia itu akan mula memikirkan tentang bagaimana dia boleh berada disini, kenapa dia berada disini, dan kemana destinasi sebenar gerabak keretapi yang dinaikinya itu.

Jesteru, dalam memahami realiti mad’u yang ingin kita suntik dengan kefahaman aqidah ini, seorang pendakwah jangan mudah meletakkan label-label yang hanya akan mewujudkan persepsi negatif kepada diri pendakwah itu sendiri. Melalui perumpamaan itu tadi, sebenarnya setiap manusia yang hidup akan memikirkan bagaimanakah nasib mereka apabila tiba akhir hayat nanti. Sebagai seorang muslim, kita yakin pengakhiran hayat kita nanti sama ada akan ke SYURGA yang nikmatnya melimpah ruah dan tidak sampai kepada akal kita untuk memikirkannya atau kedalam NERAKA yang azabnya sangat pedih dan dasyat.

Teruskan mempersiapkan dirimu untuk mempersiapakan manusia sebagai seorang pendakwah untuk menghadapi hari perhitungan amalan yang sangat getir. Serulah mereka dengan kalimah tayyibah dan cegahlah mereka dari mendekati perkara munkar. Allah member perumpamaan yang cantik kepada manusia yang melaksanakan seruan kaliamah kebaikan dengan firmanNya:

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).(Ibrahim:24-25)

Sunday, February 19, 2012

KHUTBAH JUMAAT: RASULULLAH PEMBANGKIT SEMANGAT JIHAD

KHATIB: MUHAMMAD IRSYAD SYAFIQ BURHANUDDIN

TEMPAT: MASJID PUSAT AKTIVITI PELAJAR UMP PEKAN

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 29 surah al-Fathu:

محمد رسول الله والذين معه أشداء على الكفار رحماء بينهم ترئهم ركعا سجدا يبتغون فضلا من الله ورضـونا سيماهم فى وجوههم من أثر السجود ذلك مثلهم فى التورئة ومثلهم فى الإنجيل كزرع أخرج شطئه فئازره فاستغلظ فاستوى على سوقه يعجب الزراع ليغيظ بهم الكفار وعد الله الذين ءامنوا وعملوا الصــلحــت منهم مغفرة وأجرا عظيما

Maksudnya : Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah tegas terhadap orang-orang kafir serta berlemah lembut sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya. Tanda-tanda mereka nampak jelas pada muka mereka daripada kesan sujud. Demikianlah sifat mereka dalam Taurat dan sifat mereka dalam Injil iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu membesar dan tegak lurus di atas pokoknya di mana tanaman itu menyenangkan hati penanamnya kerana Allah hendak menyakitkan hati orang-orang kafir dengan kekuatan orang-orang mukmin. Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar

Rabiul Awwal pernah mencatat sejarah gemilang dengan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w nabi akhbir zaman yang telah membawa rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan. Hadirnya bersama wahyu al-Quran bagaikan mentari yang bercahaya terang menerangi alam semesta yang dulunya diselubungi kegelapan jahiliah yang penuh dengan kesesatan dan penindasan. Sudah menjadi sunnatullah di mana setiap yang batil akan dikalahkan oleh yang hak, setiap kesesatan nafsu akan dikuburkan oleh kebenaran wahyu, setiap kegelapan jahiliah akan dihilangkan dengan cahaya Islam dan setiap ancaman kekufuran akan dipadamkan oleh siraman keimanan. Oleh itu, Allah melalui para rasulNya termasuk nabi kita Muhammad s.a.w telah memberi petunjuk yang jelas kepada umatnya dalam membeza antara yang hak dan batil seterusnya menyuruh agar diikut ajaran yang benar dengan menolak sebarang ajaran yang sesat. Ini ditambah pula dengan betapa sempurnanya ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul akhir zaman di mana ajarannya meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk aqidah, ibadat, muamalat, perundangan.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Kedatangan Rabiul Awwal kali ini sewajarnya digunakan sebaik mungkin oleh seluruh umat Islam pada hari ini untuk kembali semula kepada semua ajaran dan sistem Islam yang menyeluruh agar kita kembali menjadi umat mulia. Apa gunanya kita menghabiskan wang yang beribu dalam memperingati hari kelahiran nabi Muhammad s.a.w sedangkan apabila dituntut agar dilaksanakan seluruh ajaran nabi maka kita tidak mahu. Bezakanlah sambutan Maulidurrasul yang kita adakan saban tahun dengan Maulidurrasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab. Kita mesti ingat bagaimana Abu Lahab sanggup memerdekakan hambanya Suwaibah serta menyembelih 100 ekor unta kerana terlalu gembira menyambut kelahiran Rasulullah s.a.w tetapi akhirnya apabila nabi menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam maka dialah antara mereka yang paling utama menentang nabi sehingga dia mengatakan celaka kepada nabi tetapi Allah telah menyatakan bahawa Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil yang celaka bukannya nabi sebagaimana yang tertera dalam surah al-Masad. Kita dapat saksikan bagaimana permusuhan Abu Lahab terhadap nabi begitu kuat antaranya dia sanggup mengahwinkan dua orang anaknya dengan anak nabi iaitu Ruqayyah dan Ummi Kalthom tetapi apabila nabi menyatakan kenabiannya maka Abu Jahal menyuruh agar kedua anaknya itu menceraikan anak nabi bagi menambah bebanan dan tekanan terhadap nabi. Begitu juga ketika berlakunya pemulauan terhadap suku Bani Hashim maka Abu Lahab turut serta memulaunya walau pun dia sendiri dari suku yang sama kerana bencinya terhadap nabi. Manakala isterinya Ummu Jamil sanggup menyakiti nabi dengan meletak duri disepanjang jalan yang digunakan oleh nabi.

Oleh itu umat Islam perlu sedar dan insaf bahawa sambutan Maulidurrasul yang diadakan mestilah selari antara apa yang dipuji dalam bacaan berzanji dan selawat dengan apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Janganlah pula kita begitu bersungguh memuji akhlak nabi dan cara baginda menangani masalah sosial dengan sistem Islam sedangkan adanya umat Islam hari ini yang berusaha bersungguh-sungguh dalam memerangi pengajian agama sedangkan dalam masa yang sama menggalakkan hiburan yang melalaikan serta penambahan kelab malam yang lebih banyak melahirkan pelacur dari kalangan umat Islam sendiri. Jangan kita hanya tahu memuji nabi yang mengharamkan arak sedangkan adanya umat Islam yang mengizinkannya. Jangan hanya tahu memuji nabi yang mengharamkan judi yang banyak membawa masalah kepada negara sedangkan adanya umat Islam yang terang-terang memberi sokongan dan judi nombor dan sebagainya. Jangan hanya tahu memuji nabi yang telah berjaya menyampaikan dakwah Islam kepada umat manusia serta berusaha dalam memperkukuhkan aqidah dan mengawal daripada berlakunya murtad dengan perundangan Islam sedangkan umat Islam hari ini bukan sahaja tidak melakukan kerja dakwah bersungguh-sungguh malah aqidah umat Islam semakin tercabar oleh isu murtad yang melanda. Jangan hanya tahu memuji nabi yang mampu membina ekonomi berasaskan Islam yang kukuh dengan menghapuskan riba sedangkan umat Islam hari ini ramai yang terus bergelumang dengan riba serta negara dihantui oleh masalah ceti haram yang sememangnya menghidupkan amalan riba.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sambutan Maulidurrasul s.aw yang kita adakan saban tahun jika benar-benar dilakukan dengan ikhlas kerana Allah sebagai menyambut tubuh dan seluruh ajaran yang dibawa oleh nabi akan menjadi dalil dalam menjawab tohmahan dan cacian tokoh kafir Quraisy yang pernah mengatakan : “ Biarkan Muhammad kerana dia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki dan perjuangannya tak lama lagi akan berakhir begitu sahaja”. Nabi Muhamma s.a.w yang diuji dengan kewafatan kesemua anak lelakinya ketika kecil iaitu Qasim, Abdullah dan Ibrahim agak tertekan dengan cacian tersebut sehinggalah Allah menghiburkan nabi dengan turunnya ayat 1-3 surah al-Kauthar :

إنا أعطيناك الكوثر فصل لربك وانحر إن شانئك هو الأبتر

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) nikmat yang melimpah ruah. Oleh itu, dirikanlah solat dengan ikhlas kerana Tuhanmu dan korbankanlah pada hari raya haji. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau maka dialah orang yang putus keturunan.

Surah ini menyatakan bahawa nabi Muhammad s.a.w dikurniakan nikmat yang terlalu banyak dan berterusan serta menolak dakwaan bahawa dakwah nabi akan terputus kerana tiada anak lelaki yang bakal meneruskan dakwahnya. Sebaliknya Allah menyatakan bahawa mereka yang kufur sebenarnya yang terputus kejahatannya kerana nama nabi Muhammad s.a.w terus disanjung sehingga hari ini sedangkan mereka yang menentangnya terus dilupa. Malah dakwah Islam terus berkembang sehingga seluruh pelusuk dunia sedangkan kekufuran yang dibawa oleh oleh musuhnya terus lenyap. Keimanan, kebenaran dan kebajikan tidak mungkin terputus kerana ia tetap menghulurkan dahan-dahan dan cabang-cabangnya dan menunjangkan akar-umbinya jauh ke dalam. Sebaliknya apa yang terputus ialah kekufuran, kebatilan dan kejahatan walau bagaimana pun ia membesar dan kuat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Semoga kehadiran Rabiul Awwal kali ini memberi sinar kepada umat Islam sebagaimana bersinarnya dunia setelah kelahiran Rasulullah s.a.w. Umat Islam mesti kembali bersatu atas landasan Islam dengan menolak sekuler dan semangat kebangsaan sempit. Umat Islam mesti bersatu atas dasar iman dengan menolak ideologi ciptaan manusia yang sesat dan membawa kepada kekufuran. Cukuplah dengan penjajahan baru yang berlaku di Afghanistan, Iraq dan penderitaan umat Islam di Palestin terutama Menteri Dalam Negeri Israel telah mengumumkan bahawa yahudi dibenarkan masuk ke kawasan Masjid al-Aqsa untuk beribadat. Jangan tunggu sehingga satu demi satu negara umat Islam dijajah barulah kita mahu bersatu terutama Asia Tenggara kini mula bergolak kembali setelah Asia Barat dihancurkan. Selatan Filiphina telah kembali bertelagah setelah gencatan senjata ditarik balik. Kedudukan Acheh bagaikan menunggu masa untuk dihancurkan oleh saudara seagama Indonesia walau pun usaha baru damai sedang dijalankan. Malah tuduhan bahawa militan Islam terlibat dalam menyerang kem tentera di Yala tidak lebih daripada usaha Thailand dalam menjemput Amerika membuka pusat anti pengganas di Selatan Thailand yang diduduki oleh majoriti umat Islam. Oleh itu kembalilah bersatu sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya :

مَثَلُ المُؤْمِنِيْنَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الجَسَدِ الوَاحِدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالحُمَّى

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang beriman dalam erti kasih sayang, belas kasihan dan bertimbang rasa sesama mereka seperti tubuh yang satu iaitu apabila mana-mana anggota badan berasa sakit maka seluruh tubuh yang lain turut berjaga malam dan menanggung kesakitan

Bersungguh dalam bersatu dengan Islam sebagai wadah perjuangan. Semarakkan semangat jihad agar kita tidak terus menjadi mangsa penindasan kuffar. Kita tidak akan sama sekali tunduk kepada kekufuran. Biar bermandi darah asalkan Islam kembali gagah. Biar darah membasahi bumi asalkan Islam dijulang tinggi. Yakinlah kepada pertolongan Allah dan kemenangan yang dijanjikan. Umat Islam yang bermaruah tidak sama sekali menyerah kalah walau pun kita sedar bahawa kemenangan Islam bukannya mudah. Biar pelbagai ujian, halangan, cabaran dan tentangan yang datang dalam perjalanan mencari keredhaan Allah namun perjuangan Islam mesti diteruskan sehingga datangnya ketentuan daripada Allah.

Firman Allah dalam ayat 65 surah al-Anfal:

يـــأيها النبي حرض المؤمنين على القتال إن يكن منكم عشرون صــبرون يغلبوا مائتين وإن يكن منكم مائة يغلبوا ألفا من الذين كفروا بأنهم قوم لايفقهون

Maksudnya : Wahai nabi! Semarakkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antara kamu maka mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir disebabkan orang-orang kafir itu merupakan kaum yang tidak mengerti

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Monday, October 3, 2011

Khutbah Jumaat : Jiwa Pemuda

Tempat: Surau FKM UMP Pekan
Khatib: Muhammad Irsyad Syafiq Bin Burhanuddin
Tarikh: 30/9/2011

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya

Al-qur’an adalah mukjizat Rasulullah SAW yang kekal dan sangat menarik, didalamnya termuat semua hukum-hukum dan masalah-masalah yang ada pada kehidupan manusia. Dimulai dengan hubungan manusia dengan tuhannya, hubungan manusia dengan sesamanya, bagaimana mengatur hidup manusia dalam bermasyarakat, bagaimana hukum mengenai kepemimpinan dan seluruh permasalahan kehidupan manusia termuat dalam Al-Qur’an Al-Karim. Didalamnya hanya memuat secara global undang-undang pada kehidupan manusia, dan allah mengutus nabi dan imam untuk menjelaskan makna luar biasa yang terkandung didalamnya.

Didalam Al-Quran juga tidak terlepas dari membincangkan persoalan tentang pemuda. Firman Allah:

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

maksudnya: “Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.”( al-Kahfi:13)

“Pemuda adalah harapan bangsa”, “Pemuda adalah tulang belakang sesebuah bangsa”, “Pemuda hari ini adalah pemimpin hari esok”. Itulah di antara seruan dan laungan masyarakat yang seringkali terdengar ketika menyebut satu kelompok masyarakat yang dinamakan pemuda. Semboyan seperti itu agaknya bukanlah sesuatu yang berlebihan, mengingatkan kita kepada peripentingnya kewujudan pemuda di tengah masyarakatnya.

Marilah kita sama-sama menyelusuri kisah tentang segolongan pemuda yang dinukilkan didalam Al-Quran yang digelar sebagai asbabul kahfi.

Menurut ahli sejarah, kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam di satu negeri bernama Afsus yang terletak di Turki (ada pendapat menyatakan di Jordan, dan ada juga mengatakan di Syria). Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah dan beribadat mengesakanNya. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini menganut fahaman kufur/berhala dan ia memaksa rakyat di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah yang dibawa Nabi Isa a.s. dan bertukar kepada agama kufur/berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan siksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu.

Namun tujuh pemuda beriman tadi tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat demikian. Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu. Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman dan prinsip aqidah ilahi yang mereka yakini. Allah berfirman menceritakan peristiwa mereka berhujjah;

“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan hujjah kepada raja): "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”. (al-Kahfi: 14-15)

Walaupun tidak mampu menjawab hujjah-hujjah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman ini, raja yang kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad dari agama mereka. Ia memberikan tempoh beberapa hari kepada mereka. Jika selepas tempoh itu pemuda-pemuda ini tetap berkeras, maka mereka akan dimurtadkan secara paksa atau akan dibunuh.

Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda ini bermesyuarat sesama mereka untuk mencari keputusan yang muafakat; apakah tindakan yang sepatutnya diambil untuk mempertahankan diri dan juga agama mereka? Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di kawasan pedalaman/kampung. Perlu ditegaskan disini bahawa kepergian mereka bukan kerana takut dan sifat pengecut, tetapi kerana ingin mempertahankan aqidah agar tidak dirobek oleh sang penguasa yang zalim. Firman Allah;

maksudnya:“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”. (al-Kahfi: 16)

Mereka lari ke pedalaman di kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama ar-raqiim. Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu.

Di dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah. Ia telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut. Firman Alalh menceritakan tentang mereka di dalam gua;

Allah ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka Allah telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat lama iaitu selama 300 tahun Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah, badan dan jasad mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur.

Setelah sampai tempoh yang ditetapkan Allah (iaitu 300 tahun atau 309 tahun), mereka dibangunkan. Ketika mereka bangun mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka tidur dalam jangka masa yang amat lama. Mereka menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari atau separuh hari sahaja.


Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bertakwa kepadaNya sedaya yang kita mampu, dalam keadaan mana sekalipun, sama ada senang atau susah. FirmanNya;


“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta ta`atlah; dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu”. (at-Taghabun: 16)

Kebetulan semasa pemuda-pemuda ashabul kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 300 tahun lamanya, suasana negeri telah banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri merupakan orang yang beriman kepada Allah. Begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya. Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu; bagaimana Allah boleh menghidupkan orang yang telah mati? Apatahlagi yang telah beribu bahkan berjuta tahun lamanya dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah membangkitkan ashabul kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu lagi. Firman Allah:

“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahwa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya”. (al-Kahfi: 21)

Allah mendedahkan perihal pemuda-pemuda ashabul kahfi itu semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan. Ia merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan wakil itu dan mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama.

Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua ashabul kahfi bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda itu sekeliannya dan mendengar kisah mereka. Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya.

Begitulah kisah segolongan pemuda yang begitu tegar menyayangi aqidah dan iman mereka sehingga sanggup berkorban untuk melarikan diri ke dalam gua semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Sepanjang sejarah kebangkitan Islam dizaman Rasulullah juga banyak dipelopori oleh golongan pemuda. Nama-nama seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al Khattab, Ali bin Abi Tholib, Mus’ab bin Umair dan ramai lagi adalah contoh tauladan unggul sepanjang zaman kepada para pemuda Islam.

Nekad dan semangat jitu yang ada pada diri mereka seharusnya menjadi inspirasi kepada semua pemuda Islam pada zaman ini,

Mus’ab bin Umair sebagai contoh, seorang pemuda bangsawan yang kaya raya dan sentiasa hidup mewah. Beliau juga mempunyai wajah yang tampan dan susuk tubuh yang ideal bagi seorang pemuda. Tidak hairanlah jika ketika itu, dia menjadi kegilaan semua anak-anak gadis di Mekah.

Tetapi, semua itu telah meninggalkannya saat dia menjadi seorang muslim, pakaianya ketika itu adalah pakaian yang buruk dan bertampal-tampal, dia tidak lagi hidup senang seperti mana kehidupan anak-anak bangsawan yang lain, malah ketika dia memeluk agama Islam, dia telah diugut oleh ibunya sendiri yang ingin membunuh diri sekiranya dia tidak kembali kepada agama asalnya iaitu menyembah berhala. Lalu sebagai seorang yang teguh terhadap pegangan aqidah, dia berkata.

“sekiranya Allah mengurniakan 100 nyawa sekalipun dan nyawa itu diambil satu persatu dihadapanku nescaya aku tidak akan sesekali kembali kepada menyembah berhala.”

Begitu tinggi keazaman dan keteguhan hati yang dipamerkan oleh Mus’ab bin Umair dalam menghadapi situasi yang cukup getir itu. Tidak hairanlah diantara ramai pemuda yang ada mendampingi Rasulullah ketika itu, Mus’ab lah yang dipilih untuk dihantar menjadi pendakwah/naqib kepada penduduk madinah sebelum dari peristiwa hijrah yang berlaku pada bulan muharram.

Banyak lagi kisah-kisah yang mampu dijadikan tauladan untuk membentuk jiwa-jiwa pemuda pada masa ini agar menjadi kuat dan teguh dari sebarang anasir-anasir luar yang akan merosakkan Agama, bangsa dan negara kita.

Ingatlah pemuda sekalian, kita adalah harapan negara masa akan datang. Jika kita lemah, maka akan lemahlah pentadbiran negara suatu hari nanti. Jika kita kita kuat, InsyaAllah negara kita akan dikenali sebagai negara Islam yang gah dipersada mata dunia.

Kita tidak akan gentar untuk menyatakan kebenaran walaupun ia pahit untuk diterima,

Kita juga tidak akan malu mencipta perubahan kearah yang lebih baik untuk maslahah kita bersama,

Dan kita tidak akan sesekali berundur walaupun ditekan dengan pelbagai cara dan alasan,

“Alah bisa tegar biasa”

“Berpantang maut sebelum ajal”

Kerana pemuda yang bersih dirinya dan kuat pegangan aqidahnya akan sentiasa bersama-sama dengan pertolongan Allah swt.

insyaAllah


Tuesday, September 27, 2011

Cahaya mata dalam kaca mata Islam: Kuliah Maghrib

Tempat : Surau Kg Beruas

Kitab : Keperibadian Muslim

Penceramah : Muhammad Irsyad Syafiq bin Burhanuddin

Dalam agama Islam, anak-anak atau cahaya mata diberi tempat yang istimewa dihati seorang ibu dan ayah yang soleh. Dalam Islam, cahaya mata ketika hidup digelar sebagai penyejuk mata seorang ayah dan ibu. Bagaimana mungkin tidak, bayangkan seseorang yang dalam keadaan yang tertekan dengan ujian yang melanda kehidupan pada hari-hari yang mendatang apabila melihat cahaya mata mereka bermain dengan penuh girang seolah-olah masalah yang menimpa mereka itu hilang dengan serta merta dan yang lebih menakjubkan timbul sebuah semangat yang mampu memotivasikan semula diri mereka sendiri.

Itulah nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada insan-insan yang terpilih untuk merasai lembutnya belaian dan bermanja dengan cahaya mata mereka yang menjadi penyejuk dimata dan penawar duka dihati mereka. Ketika dialam perhitungan nanti cahaya mata juga memainkan peranan penting kepada nasib seorang ibu dan bapa. Islam menyifatkan kehadiran anak-anak juga sebagai salah satu sebab untuk kita masuk ke syurga Allah atau mereka akan menjadi sebab untuk kita disiksa dineraka Allah kelak. sabda baginda Rasulullah:

“4 golongan yang akan menarik seseorang itu dari masuk kedalam syurga ialah:

1. Ibunya
2. Isteri-isterinya
3. Saudara perempuannya
4. Anak-anak perempuannya

Begitu jelas bahawa Islam sebagai agama fitrah sangat menitikberatkan persoalan mendidik cahaya mata dengan betul dan penuh kasih sayang.

Tanggungjawab pendidikan anak-anak

Seorang muslim yang sedar perlu menyediakan diri mereka untuk menunaikan hak yang paling utama kepada cahaya mata mereka iaitu memberikan mereka didikan yang sewajarnya agar mereka menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan agama kelak. Firman Allah

“wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah daripada manusia dan batu (At-Tahrim:6)

Ini adalah tanggungjawab kepada semua lapisan masyarakat yang dikurniakan kepada mereka rezeki zuriat supaya tidak meninggalkan mereka dari tanggungjawab yang telah diarahkan didalam Islam. Rasulullah juga diutuskan untuk memperbetulkan akhlak dan membimbing generasi seterusnya menjadi generasi yang mulia disisi Allah. Sabda Baginda:

“ hanyasanya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”

Salah satu dalil yang kuat yang menunjukkan besarnya tanggungjawab ibu dan bapa dalam mendidik anak mereka dan membentuk mereka menurut Islam, supaya mereka taat setia kepada Allah dan mengikuti segala perintah dari Allah baik dalam keadaan senang atau susah.

Sabda Rasulullah:

“suruhlah anakmu bersembahyang tatkala mereka sampai umur tujuh tahun dan pukullah miereka yang berumur sepuluh tahun sekiranya mereka tdak mahu sembahyang.”

Jika mereka tidak mahu mendengarkan saranan yang telah diajar oleh junjungan besar kita ini, maka diakhirat kelak semua yang terlibat akan ditanya tentang kecuaian mereka meninggalkan solat. Biasanya rumahtangga yang tidak menjaga solat akan mudah dimasuki oleh syaitan dan mereka akan menghasut anak-anak untuk menjadi generasi yang lupa akan Tuhannya.

Didiklah dengan kasih sayang

Ibu bapa Islam yang bijaksana mampu memahami jiwa anak-anak kecil dan seterusnya menyelami isi hati mereka dan berusaha untuk membentuk mereka melalui kaedah yang paling halus dan bejaya.

Menangilah kasih sayang mereka dengan menghampiri dan memerhatikan taraf akal dan umur mereka. Bersenda guraulah dengan mereka, perdengarkan kepada mereka kata-kata manis yang penuh dengan luahan cinta dan kasih sayang terhadap mereka, sehinggakan mereka rasa dikasihi, diutamakan dan diharapkan, kerana semua itu cukup menggembirakan jiwa mereka.
Dengan itu, mereka akan membalas cinta ibu bapa mereka dengan mendengar kata dan mentaati ibu bapa mereka dengan rela hati dan tidak berpura-pura kerana timbul dari hati yang dipupuk dengan belaian keikhlasan. Sangatlah jauh bezanya ketaatan yang menerpa jiwa anak-anak yang didorong oleh cinta hormat penuh penghargaan dengan percaya dan hormat yang dipupuk dengan kongkongan, herdikan, paksaan dan kekerasan. Yang pertama adalah taat yang kekal dan kukuh sebalinya yang kedua adalah taat semasa dan sementara yang akan segera
hilang apabila mereka tidak bersam ibu dan bapa mereka.

Ada kelompok manusia yang tidak bersetuju dengan kaedah bermesra-mesra dengan anak-anak dan bergaul dengan mereka kerana perbuatan itu akan menjatuhkan martabat seorang dewasa dan akan mencemarkan kehormatan yang sepatutnya dijaga oleh mereka. Pandangan ini adalah salah semata-mata kerana melayani karenah anak-anak dan berakhlak baik itulah cara pendidikan yang paling berjaya. Sabda Baginda:

“barang siapa yang mempunyai anak kecil, hendaklah menjadi anak kecil terhadapnya”

Maksudnya hendaklah pandai menyesuaikan diri dengan mereka seolah-olah seperti anak kecil yang mampu bermain dengan anak-anaknya.

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh At-Tabarani dari Jabir(r.a.) dia berkata:

“aku masuk kepada Rasulullah (saw) sedang baginda berjalan diatas empat anggota(merangkak) manakala Hassan dan Hussin (r.a.) diatas belakang baginda dan Rasulullah berkata kepada keduanya: ‘sebaik-baik unta ialah untamu dan sebaik-baik orang yang menunggang ialah kamu’”

Nyata dan terang jiwa baginda dalam mendidik dan melayan karenah kanak kanak seolah-olah baginda adalah sebahagian daripada mereka.

Beginilah sepatutnya seorang muslim yang terbaik disisi Allah tatkala bersama dengan anak-anaknya. Mereka mencampuri anak-anak, bergaul dengan penuh kasih sayang bermain-main dan menyenangkan hati mereka selahi ada jalan untuk berbuat demikian dan selagi ada kesempatan dan kemampuan.

Monday, September 19, 2011

Khutbah Jumaat: Merdeka jiwa dan negara rayakan kemenangan

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 123 surah al-Baqarah :

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَّا تَجْزِي نَفْسٌ عَن نَّفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا تَنفَعُهَا شَفَاعَةٌ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

Maksudnya : Dan takutlah kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).

Suasana sambutan hari raya masih begitu terasa dengan pelbagai cara sambutannya termasuk rumah terbuka silih berganti bagi meraikan anugerah hari raya oleh Allah setelah sebulan melalui ujian hawa nafsu dalam tarbiah Ramadhan. Ketika menyambut ketibaan Syawal maka marilah kita sama-sama menghitung diri samada tarbiah sebulan Ramadhan telah mampu menundukkan hawa nafsu atau kita yang semakin tunduk pada hawa nafsu dan syaitan. Bagaimana dengan solat jemaah dan masjid semakin meriah atau kembali lengang kosong. Bagaimana dengan zikrullah dan amalan sunat yang lain semakin bertambah atau ditinggal terus. Bagaimana kita dengan al-Quran samada semakin rapat atau sudah disimpan dan dilupakan. Bagaimana dengan makan minum kita samada berhati-hati dengan menjaga halal haram dan tidak berlebihan atau lebih suka melempias nafsu makan hingga melebihi had dan membazir. Adakah kita layak melaungkan takbir kemenangan dengan kedatangan Syawal sedangkan kita tewas pada hawa nafsu dan syaitan terutama ketika menyambut hari raya. Ini jauh bezanya dengan pejuang Islam dahulu yang bukan sahaja berjaya menewaskan hawa nafsu malah berjaya mengalahkan musuh di medan perang seperti dalam peperangan Ahzab, Hunain yang berlaku dalam bulan Syawal.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sebagai meneruskan usaha dalam melahirkan kita sebagai hamba Allah yang taat sepanjang tahun bukan setakat menjadi hamba Ramadhan yang baik pada bulan Ramadhan sahaja maka marilah kita sama-sama menunaikan puasa sunat 6 hari bulan Syawal. Sama-samalah kita merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ – رواه مسلم

Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا – رواه البخاري.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka sejauh 70 tahun perjalanan”

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Maksudnya : Raja perempuan itu ( Ratu Balqis) berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan

Sesuai dengan sambutan hari raya pada tahun ini dalam susana sambutan hari Kemerdekaan negara kali ke-54 maka marilah kita sama-sama melihat perbezaan ketara antara 2 golongan yang menyambut 2 perayaan ini di mana orang yang berjaya dalam tarbiah Ramadhan akan menyambut hari raya penuh kesyukuran dengan memperbanyakkan amal ibadat sedangkan golongan yang gagal dalam tarbiah Ramadhan biasanya akan memenuhi hari raya mereka dengan maksiat. Golongan yang betul-betul menghayati erti kemerdekaan maka mereka terus bersemangat untuk mengisikan kemerdekaan dengan Islam sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Rub’i bin Umair ketika menjawab pertanyaan Rustam panglima Parsi ketika berlakunya peperangan al-Qadisiah : “ Allah telah mengutuskan kami untuk memerdekakan sesiapa yang dikehendaki dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah yang Esa. Dan memerdekakan manusia daripada kesempitan dunia kepada lapang dan luasnya akhirat dan daripada belenggu kezaliman agama lain yang sesat kepada keadilan Islam”. Manakala golongan yang kedua dan gagal dalam menyambut kemerdekaan ialah golongan yang hanya mendabik dada seronok sambut merdeka dengan cara hiburan penjajah, berpakaian dan bergaul bebas seperti penjajah, mengagungkan pemikiran dan sistem perundangan penjajah. Golongan ini hanya tahu melaungkan kalimah merdeka sedangkan dirinya terus dijajah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Penjajahan sesebuah bangsa dan negara kebanyakannya membawa suatu perubahan yang besar kepada rakyat dan keadaan negara yang terjajah. Kebiasaannya setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3G yang menjadi matlamat utama penjajahan iaitu [1] God iaitu Tuhan atau agama penjajah, [2] Glory iaitu kemasyhuran dengan kejayaan penjajahan yang dilakukan dan [3] Gold iaitu mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan. Kedatangan Portugis ke Tanah Melayu dengan runtuhnya Empayar Kesultanan Melayu memulakan era penjajahan di negara kita. Penjahan kuffar ini bukan sahaja mengubah system politik, sosial dan ekonomi Islam kepada system ciptaan manusia malah penjajah turut berjaya melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah melalui system pendidikan yang begitu memberi kesan besar hingga hari ini. Penulisan sejarah yang diajar di sekolah dan universiti tidak banyak menyentuh berkenaan matlamat menghancurkan Islam melalui penjajahan sebaliknya lebih banyak disentuh hanya untuk mengaut emas dan rempah sahaja. Malah peranan ulama’ dan pejuang kemerdekaan yang betul-betul melawan penjajah digelapkan sebaliknya anak buah penjajah Bristish diagung-agungkan. Malah akhir-akhir ini suara marah kepada komunis begitu kuat bergema sedangkan cara pemikiran komunis terus subur antaranya menganggap agama sebagai candu masyarakat iaitu merbahaya dan boleh memundurkan negara jika agama dipegang kemas oleh rakyat. Golongan ini begitu takut jika rakyat kembali kepada Islam yang boleh menggugat kuasa mereka.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Kebanyakan Negara umat Islam yang sudah merdeka tetapi terus dipenjara. Mereka bangun melaungkan bahawa mereka telah bebas sedangkan mereka terus diberkas. Benarlah kata-kata seorang tokoh Islam bahawa kita tidak sepatutnya bergembira dengan kembalinya penjajah ke Negara mereka sebaliknya kita sepatutnya bergembira bila pemikiran, roh dan undang-undang penjajah hilang daripada terus membelenggu umat Islam dan Negara kita. Kita dapat saksi sendiri walau pun sudah 54 tahun kita merdeka namun penjajahan musuh Islam terus berlangsung tanpa tentangan malah dialu-alukan terutama melalui Propaganda Yahudi yang dinamakan senjata 5S. Senjata 5S yang dimaksudkan ialah [1] Song iaitu hiburan yang melalaikan yang menghancurkan akhlak umat Islam termasuk ketika menyambut hari raya dan merdeka. Cara hidup bebas daripada pegangan agama merupakan antara senjata paling licik sebagaimana yang pernah disebut oleh Zwimmer : Kita telah berjaya melahirkan di Negara Islam generasi belia yang tidak mengetahui hubungannya dengan Allah malah tidak ingin untuk mengetahuinya. Kita berjaya mengeluarkan orang Islam daripada Islam walau pun tidak memeluk Kristian seterusnya kita akan lahirkan generasi yang diingini oleh penjajah iaitu tidak lagi mempedulikan isu besar sekeliling mereka sebaliknya lebih suka berehat dan malas serta matlamat hidup mereka hanya untuk memenuhi nafsu syahwat semata-mata

[2] Spirit iaitu mabuk arak dan dadah sehingga Negara kita sampai hari ini gagal membersihkan nama sebagai Negara pengguna arak nombor 10 paling tinggi di dunia malah apa yang terbaru bila cadangan penjualan Esso Malaysia Berhad (ESSO) dan syarikat-syarikat berkaitannya kepada sebuah syarikat arak dari Filipina [3] Sex iaitu meluasnya zina sehingga baru-baru ini akhbar memuatkan berita bagaimana sekolah mengandung di Melaka perlu tambah bangunan kerana semakin ramai mereka yang mengandung luar nikah ingin memasukinya. Islam sentiasa mengarahkan umatnya agar menutup pintu zina termasuk melalui pergaulan bebas

Amaran nabi e dalam suatu hadis yang diriwayat oleh Tirmizi:

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya : Lebih baik seorang daripada kamu menikam kepalanya sendiri dengan jarum besi daripada dia menyentuh perempuan yang tiada halal baginya

[4] Sport iaitu sukan sehingga yang gila sukan tanpa rasa salah meninggalkan solat malah Negara mengiktiraf Israel kerana sukan. Senjata yahudi ke- [5] Smoke iaitu amalan merokok kerana kebanyakan syarikat rokok milik yahudi sedangkan yahudi begitu bersungguh melarang penganutnya daripada merokok ketika mereka menggalakkan orang lain untuk cepat mati dengan amalan merokok disamping menambah keuntungan dengan hasil jualan rokok.

Oleh itu sempena berada pada hari mulia dan bulan yang mulia marilah kita sama-sama memerdekakan diri kita daripada menjadi hamba kepada hawa nafsu dan syaitan serta musuh Islam. Biarlah takbir yang kita laungkan menyambut kemenangan menjadi hamba Allah bukan kembali menjadi hamba hawa nafsu dan syaitan. Biarlah laungkan merdeka yang kita laungkan menyambut kemenangan dalam menghalau system dan pemikiran penjajah keluar dari diri dan Negara tercinta bukan mulut kata benci penjajah sedangkan tindakan terus memuja penjajah. Islamkanlah sambutan hari raya kita. Islamkanlah sambutan hari merdeka Negara kita. Islamlah kita dalam semua cara hidup barulah kita Berjaya dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 97-98 surah al-A’araf :

أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ ﴿٩٧﴾أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ

Maksudnya : Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Tuesday, September 13, 2011

Naluri manusia mahu hidup merdeka



Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Kenyataan Sempena Hari Pembentukan Malaysia

Adalah menjadi naluri semua manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, bahasa dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad dan akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan.

Tidak akan ada orang yang waras akal fikiran mahu hidup di bawah belenggu mana-mana penjajahan, apatah lagi dikawal minda dan tindakannya.

PAS ingin menegaskan bahawa kami menentang semua penjajah, sama ada komunis atau bukan komunis, mahupun oleh blok timur atau barat.

PAS amat menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pihak dan tokoh seperti Sultan Abdul Samad, Sultan Zainal Abidin, Raja Abdullah serta Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lainnya (sekadar beberapa nama) yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini.

Mereka ini telah meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak bersetuju kerana wujud kelemahannya yang tersendiri.

Namun segala kelemahan orang lalu yang telah pun meninggal dunia ini tidak wajar untuk kita balas dengan kata nista. Apa yang wajar dilakukan ialah kita memohon agar kesilapan yang mereka lakukan mendapat keampunan dari Allah SWT.

Apa pun, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala di sisi Allah SWT. Kelemahan dan kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara yang bernama Malaysia pula perlulah diperbaiki oleh kita yang hidup di zaman ini dan berterusan menjadi tanggungjawab generasi akan datang.

Alangkah baiknya kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud dalam negara kita ini mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara Malaysia yang benar-benar melindungi kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang sama-sama melihat betapa kerajaan Umno BN yang ada ini sudah diberi amanah pemerintahan selama lebih 50 tahun dan semakin membawa negara kita kepada penyakit yang menyusahkan rakyat dengan daya saing negara yang makin merudum, kos hidup yang meningkat dan barang keperluan yang melambung harganya, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan beragama ditinggalkan dan seribu lagi macam kerosakan, maka tentulah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama melakukan perubahan.

Penipuan pilihan raya juga semakin berleluasa dan tidak lagi menjadi medan muhasabah sebenar kalangan rakyat terhadap kerajaan. Jangan kita membiarkan Malaysia menjadi semakin lemah di bawah kerajaan Umno BN, kerana generasi anak cucu kitalah nanti yang akan menerima sengsaranya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

13 September 2011

link: http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/presiden/5391-naluri-manusia-mahu-hidup-merdeka

Wednesday, September 7, 2011

DOME' 11- jom sertai ramai-ramai