Setelah 18 hari GST mengambil alih sistem percukaian
barangan di Negara kita dengan menggantikan sistem SST yang sudah melabuhkan
tirainya 18 hari yang lalu, ianya begitu memberi kesan kepada hati seluruh
rakyat di Negara ini dalam sudut positif dan negatif. Saya secara jujurnya
sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang melibatkan perlaksanaan cukai
terbaru ini dan impaknya kepada rakyat Malaysia. Rata-rata rakyat Malaysia yang
memberikan respon menyatakan bebanan kewangan yang dihadapi mereka setelah GST
dilaksanakan. Buktinya ramai yang menyertai demonstrasi atau unjuk rasa yang
dianjurkan oleh parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan yang
memperjuangkan pemansuhan cukai baru yang membebankan ini..
Cukai Dalam Islam
Dalam agama Islam, perlaksanaan cukai mempunyai beberapa
pandangan yang menjadi rujukan dalam mendalami isu ini. Diantara pendangan
tersebut adalah:
1.
Haramnya cukai secara mutlaq.
2.
Harus secara sementara waktu ke atas si kaya
pada kadar tertentu di musim wujudnya keperluan.
3.
Harus mengenakan cukai pada sekadar memenuhi
maslahat umum pentadbiran Negara.
Saya tidak berhasrat untuk mengupas secara khusus tentang
pandangan para ulama berkaitan perlaksanaan cukai dalam sesebuah Negara. Cuma secara
kesimpulannya ketiga-tiga pandangan tersebut menyentuh pada satu titik yang
sama iaitu cukai boleh dilaksanakan dalam keadaan terdesak dan Negara memerlukan
sejumlah suntikan dana yang sangat besar untuk mengembalikan kestabilan ekonomi
mereka.
Realiti di Malaysia.
Sebagai rakyat yang bertimbang rasa, kita menyedari bahawa sekiranya
beban cukai itu dilaksanakan kepada rakyat, ia perlulah mempunyai hujah yang
kukuh yang boleh meyakinkan seluruh rakyat untuk bersama menerima perlaksanaan
cukai itu. Tetapi apa yang menyedihkan kita, bukan sahaja hujah-hujah yang
diberikan itu tidak kukuh, ia ditambah lagi dengan kenyataan-kenyataan kurang
cerdik yang dikeluarkan oleh menteri-menteri kabinet parti yang memerintah.
Realiti yang berlaku dalam Negara kita hari ini adalah silap
urus tadbir ekonomi dan hasil kekayaan dalam Negara yang mengundang kemerosotan
perkenbangan ekonomi khususnya yang paling ketara adalah kenaikkan jumlah
hutang luar negara yang sudah mencecah RM740 bilion. Dalam keadaan hutang yang
meningkat ini, rakyat masih tidak dapat manafaat daripada pembangunan yang dilakukan
oleh kerajaan setakat ini. Hutang isi rumah di Negara kita juga adalah yang
tertinggi di Asia dengan 87% daripada KDNKK Negara. Laporan audit Negara juga
menunjukkan ketirisan yang berjumlah jutaan ringgit yang sehingga kini masih
belum ada penyelesaian daripada mana-mana pihak berwajib.
Bayangkan dalam keadaan rakyat yang cukup sempit dan tenat
ini, kerajaan menambah lagi cukai baru yang sangat membebankan. Kemana keuntungan
Negara yang disebut-sebut didalam akhbar dan televisyen yang dijanjikan akan
dinikmati oleh rakyat? Adakah cukup dengan duit saguhati BR1M yang hanya
berjumlah RM950 kepada setiap isi rumah yang berpendapatan rendah? Dimanakah pembangunan
yang menjanjikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang sentiasa
disebut-sebut ketika perbentangan belanjawan negara yang baru.
Dalam masa yang sama, kita melihat perangai pemimpin Negara yang
bermewah-mewah dalam perbelanjaan mereka seharian. Pembelian jet peribadi baru
yang harganya mencecah ratusan juta, pembelian barang kemas dan kelengkapan
hidup yang mewah, percutian-percutian mewah yang sewenang-wenangnya menggunakan
wang rakyat dan harta Negara untuk membawa mereka. Adakah ini yang dikatakan
contoh langkah berjimat kepada rakyat?
Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya bersama
bersatu untuk menolak sekeras-kerasnya perlaksanaan cukai GST ini yang dengan
jelas mencabuli hak rakyat dan hanya menguntungkan golongan pemerintah untuk
bermewah-mewah dengan duit rakyat. Cukai ini juga jelas bertentangan dengan
prinsip pengurusan ekonomi yang dianjurkan oleh islam.
Ayuh bersama kita menolak GST!!!
Muhammad Irsyad Syafiq Bin Burhanuddin
Presiden Kelab Alumni Siswazah Negeri Terengganu (KLUSTER)