Pages

Wednesday, March 7, 2012

Sunatullah pasti berulang


Sabda Rasulullah:
“Islam datang dalam keadaan dagang dan akan kembali dagang, beruntunglah bagi orang yang dagang”
Islam yang kita kecapi hari ini adalah sebuah agama yang sangat panjang sejarahnya. Dari zaman kelahiran Rasulullah yang pada ketika itu masyarakat arab diselubungi kegelapan jahiliyyah yang menyaksikan mereka meletakkan nafsu dan syahwat sebagai tuhan dan petunjuk dalam kehidupan harian mereka. Kemudian Rasulullah diberikan amanah perlantikan sebagai seorang nabi dan seterusnya memikul amanah sebagai seorang rasul untuk menyelamatkan manusia daripada kegelapan bertuhankan nafsu dan makhluk kepada sinaran cahaya dengan bertuhankan Allah swt.
Akhirnya Islam semakin berkembang pada ketika itu dengan kemasukan para sahabat besar seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Ali, Bilal bin Rabbah dan tidak lupa juga kepada srikandi yang pertama memeluk Islam iaitu Saidatina Siti Khadijah isteri yang amat dikasihi Baginda Nabi. Penentangan yang bertali arus dengan peristiwa pemulauan penduduk Mekah kepada pengikut nabi yang membawa kepada diusir dari tanah mekah, peristiwa dakwah antarabangsa Nabi yang pertama kepada penduduk Ta’if yang berkesudahan dengan lemparan batu-batuan oleh anak-anak kecil suruhan pembesar durjana- mujur sahaja Zaid ada bersama Rasulullah ketika itu. Peristiwa demi peristiwa yang berlaku kepada umat Islam pada ketika itu menduga seteguh mana keimanan mereka kepada Allah taala.
Akhirnya Allah memerintahkan supaya umat Islam berhijrah ke kota madinah untuk membentuk empayar Islam yang pertama. Persaudaraan dintara muhajirin dan ansar yang begitu teguh menjadi benteng kepada Negara Islam Madinah Munawwarah. Disangkakan apabila mempunyai Negara tidak akan ada lagi ujian terhadap aqidah umat Islam ketika itu. Malangnya sesudah mendirikan Negara ujian peperangan pula menyusul menggentarkan hati para pejuang Islam ketika itu. Malah pemberontakan dalaman yang digerakkan oleh golongan munafik menjadi duri dalam daging kepada umat islam yang ikhlas berjuang. Peperangan demi peperangan berjaya diharungi dengan penuh keyakinan dan tawakkal kepada Allah. Akhirnya Allah menganugerahkan kemenangan dan keagungan kepada agama Islam dan umat Islam ketika itu. Islam yang dahulunya asing akhirnya menjadi kuasa besar ketika itu. Firman Allah
“Kamulah kaum yang terbaik dikalangan manusia, kamu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”
Hari ini kita lihat perkara itu berulang lagi, walaupun sebelum ini kita lihat terlalu banyak ajaran agama yang tidak diikuti oleh penganut Islam itu sendiri. Dulu, sesiapa yang menutup aurat akan dianggap ganjil dan tidak bertamadun tetapi hari ini kita meluhat ramai yang bertudung labuh dan mengenakan pakaian yang menutupi aurat mereka dengan sempurna.
Isu-isu antarabangsa yang menghambat media massa yang tiada sempadan hari ini banyak menceritakan tentang kebangkitan Islam diseluruh dunia sebagimana yang berlaku di Negara Mesir, Syiria, Turki, Lubnan, Libya dan banyak lagi. Ini membuktikan bahawa manusia sudah mengakui system hidup yang sempurna adalah cara hidup yang dianjurkan oleh islam dengan menyaksikan pelbagai ideology yang diimani oleh mereka setelah sekian lama semakin lama semakin dilupakan dan menampakkan kegagalan. Firman Allah:
“sesungguhnya agama disisi Allah hanyalah Islam…”
“mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir membencinya”
Sesungguhnya sunatullah perjuangan akan kembali lagi, kemenangan Islam sudah semakin hampir. Persoalannya sekarang dimana kita didalam kebangkitan Islam itu, adakah kita juga member sumbangan dalam kebangkitan itu atau sekadar menjadi penonton tegar kepadanya? Adakah cukup ibadah yang kita lakukan selama ini lalu menjadikan diri kita yakin akan beroleh ganjaran syurga suatu ahari nanati?
Sahabatku, andai syurga itu semurah menunaikan solat fardhu, menunaikan zakat, berpuasa di bulan ramadhan dan melakukan haji sahaja, Allah tidak akan memerintahkan Rasulullah untuk berhijrah semata-mata untuk mendaulahkan Negara Islam, Allah tidak akan menyariatkan Jihad kepada para pejuang Islam dan Rasulullah tidak perlu bersusah payah untuk menyebarkan dakwah sehingga dicederakan dan dilayan sebegitu hina hanya semata-mata membawa kalimah syahadah yang berat tanggungannya itu.
Ayuh sahabat-sahabatku sekalian, jangan kita tunggu lagi. Marilah rapatkan saff perjuangan ini menuju keredhaan Allah yang hakiki. Buangkan segala kepentingan didunia dan terus mengejar ganjaran yang menanti disyurga. Selagi berkesempatan, selagi berkemampuan, berjihadlah menukilkan nama kita dalam siri kebangkitan ini agar kita tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi. Mudah-mudahan Allah mempertemukan kita semua dengan kenikmatan syurga… insyaAllah
Petikan tazkirah ringkas saya sempena LIQA’ PERDANA SAHABAT MASJID (SAHAM) UMP PEKAN pada 7 Mac 2012

0 comments: