Pages

Tuesday, February 21, 2012

Kesedaran Aqidah

Kuliyyah Magrib

Tempat: Pusat Aktiviti Pelajar UMP Pekan
Penceramah: Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin
Tarikh: Isnin 20/2/2012

Aqidah adalah intipati utama dalam kehidupan seorang muslim. Aqidah adalah jiwa atau nadi yang menggerakkan seluruh kehidupan berlandaskan syariat Allah. Tanpa Aqidah, seseorang muslim itu tidak akan menjalankan tanggungjawab seharian mereka secara ikhlas. Aqidah yang mantap menjadikan seorang muslim itu sangat konsisten dalam memberikan komitmen kepada agama Islam, dalam masa yang sama mereka tidak gentar kepada mehnah dan halangan dan sentiasa mengharapkan kasih sayang dan pertolongan dari Allah.

Dalam memahami Aqidah, pelbagai cara yang digunakan oleh ulama’, diantaranya dengan mengajari kita tentang sifat-sifat Allah dan nama-nama bagi Allah. Ada juga dikalangan ulama’ yang menggunakan uslub yang lebih kontemporari, iaitu dengan menjadikan pengkelasan tauhid 3 sebagai cara terbaik untuk memahami aqidah. Tidak kurang juga kepada ulama’ yang menggunakan cara mentafsirkan ayat dari kitabullah dan sunnah Rasulullah. Walaupun apa caranya sekalipun perlu diingat, dalam memahami aqidah, manusia akhirnya akan kembali bertanyakan persoalan-persoalan fitrah dalam kehidupan mereka:

1. Dari mana mereka datang?

2. Mengapa mereka disini?

3. Kemana akhirnya hidup mereka nanti?

Inilah yang dipanggil sebagai kesedaran tentang tanggungjawab asas sebagai seorang hamba sebelum masuk kepada peringkat melaksanakan tuntutan aqidah itu sendiri. Saya tertarik dengan perumpamaan yang diberikan oleh seorang ulama’ masakini Said Ramadhan Al-Buti pengarang buku fiqh sirah tentang isu ini. Beliau mengumpamakan manusia yang hidup ini seperti seorang yang sedang tidur, pabila terjaga dari tidurnya, dia dapati dirinya berada didalam sebuah gerabak keretapi yang luar biasa mewahnya. Disampingnya ada hidangan yang luarbiasa lazatnya. Dihadapannya ada sebuah pawagam yang menyiarkan tayangan-tayangan yang sangat luarbiasa tarikannya. Apabila dia melihat keluar jendela keretapi, dia dapati pemandangan semulajadi yang sangat luarbiasa indahnya. Untuk pertama kalinya setiap manusia yang melalui keadaan itu akan merasa seronok akan nikmat yang ada dihadapan mereka. Setelah sekian lama berada dalam gerabak mewah itu, manusia akan sampai pada satu masa lahirnya perasaan bosan dalam diri mereka kerana melakukan perbuatan rutin setiap hari walaupun pada mulanya ia sangat disukai. Makanan yang lazat akan terasa hambar, tayangan yang menarik akan terasa jemu malah pemandangan indah tadi pun akan mula kelihatan membosankan. Akhirnya pada tahap yang demikian, manusia itu akan mula memikirkan tentang bagaimana dia boleh berada disini, kenapa dia berada disini, dan kemana destinasi sebenar gerabak keretapi yang dinaikinya itu.

Jesteru, dalam memahami realiti mad’u yang ingin kita suntik dengan kefahaman aqidah ini, seorang pendakwah jangan mudah meletakkan label-label yang hanya akan mewujudkan persepsi negatif kepada diri pendakwah itu sendiri. Melalui perumpamaan itu tadi, sebenarnya setiap manusia yang hidup akan memikirkan bagaimanakah nasib mereka apabila tiba akhir hayat nanti. Sebagai seorang muslim, kita yakin pengakhiran hayat kita nanti sama ada akan ke SYURGA yang nikmatnya melimpah ruah dan tidak sampai kepada akal kita untuk memikirkannya atau kedalam NERAKA yang azabnya sangat pedih dan dasyat.

Teruskan mempersiapkan dirimu untuk mempersiapakan manusia sebagai seorang pendakwah untuk menghadapi hari perhitungan amalan yang sangat getir. Serulah mereka dengan kalimah tayyibah dan cegahlah mereka dari mendekati perkara munkar. Allah member perumpamaan yang cantik kepada manusia yang melaksanakan seruan kaliamah kebaikan dengan firmanNya:

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).(Ibrahim:24-25)

0 comments: