Pages

Monday, February 14, 2011

Menghayati Maulidul Rasul


1. marilah kita sama-sama menghayati dan menyelusuri sirah perjuangan baginda rasulullah sehinggakan sinar Islam itu akhirnya menerjah kepada zaman kita.

2.jadikanlah rasulullah sebagai qudwah hasanah dalam kehidupan seharian kita tidak kira dari aspek yang mana sekalipun, kerana rasulullah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.

3.ayuh bersama menghidupkan sunnah rasulullah yang telah ditinggalkan kepada kita, sesungguhnya sunnah yang paling besar adalah menggerakkan gerak kerja dakwah supaya manusia akan kembali untuk menyembah dan mengesakan Allah semata-mata.

4.ayuh baca hafal dan ceritakan tentang kisah perjuangan rasulullah ini supaya generasi yang terkemuadian akan dapat mengambil manfaat seterusnya mengikuti tauladan yang telah ditinggalkan oleh baginda.

5.sentiasa meletakkan dalam diri kita tanggungjawab yang besar dalam memelihara nama baik rasulullah yang sentiasa difitnah dan dikeji oleh orientalis barat yang tidak bertanggungjawab.

6.bayangkan dihari akhirat kelak, kita akan berpeluang untuk berjumpa dengan rasulullah. dapat menyentuh malah memeluk susuk tubuh yang mulia itu, kemuadian menceritakan betapa sepanjang hidup didunia ini sentiasa merasai kerinduan untuk bertemu dengan baginda. lalu kita mengikuti rasulullah masuk kedalam syurga dan hidup bersama dengan orang yang selama ini sangat mencintai kita sepenuh hatinya.

Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang beriman dan berikan kami peluang untuk bertemu dengan Rasulullah. sesungguhnya Kaulah yang menjadi saksi bahawa kami sangat merindui kekasihMu itu.

Saturday, February 12, 2011

KEMBARA





PROGRAM: KEMBARA (KEMBALI KE MADRASAH RASULULLAH SAW)
TEMPAT: UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG

TARIKH: 11 – 18 FEBRUARI 2011
11 februari 2011 – Perasmian Program Kembara di masjid UMP selepas solat jumaat.
12 februari 2011 – ‘Bakti Siswa UMP Di Perkampungan Balok Pine, Kuantan’
13 – 16 februari 2011 – ‘Putera Dan Srikandi Islam’
14 februari 2011 – Konsert Dan Pentomin. Penampilan Khas Kumpulan Nasyid In-Team Dan Azhan Atan ( Juara Akademi Nasyid 2008)
15 februari 2011 – Bicara Cinta Oleh Ustaz Pahrol Mohammad Juoi ( Novelis Terkenal)
16 februari 2011 – Pertandingan Sepanduk Dan Perarakan. Semua Fakult dan Staff Diwajibkan Menghantar Wakil.
17 februari 2011 – Wacana Institusi Kenegaraan Islam Oleh 3 Orang Panel Iaitu Ustaz Mansor Sulaiman (Pensyarah UMP), Ustaz Ahnar Opir ( Pensyarah UPSI) , Ustaz Roslan Md Isa ( Ketua Penolong Qadhi Bentong)

Wednesday, February 9, 2011

LIHAT DENGAN MATA HATIMU



Hati ibarat sebuah institusi yang besar didalam perjalan hidup manusia dan roh. Hati juga boleh diibaratkan sebagai raja yang tertinggi dalam struktur badan manusia. Bukan dalam peringkat roh sahaja bahkan ia juga diakui oleh pakar fizikal masakini.

Dalam islam hati disifatkan oleh rasulullah sebagai permulaan untuk tercetusnya sebuah kelakuan. Ini berdasarkan sabda baginda

“Didalam setiap jasad ada seketul daging, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasad, jika ia baik maka baiklah seluruh jasad, ketahuilah ia adalah hati.”

Jesteru diatas peripentingnya hati ini, Islam menyuruh penganutnya untuk sedaya upaya menjaga hati ini daripada layu dengan pujukan rayu dari syaitan laknatullah.

PERINTAHLAH HATI DENGAN IMAN

Sebagai seorang muslim yang beriman,kita perlulah memastikan bahawa hati yang dianugerahkan oleh Allah ini dijaga dan diperintahkan dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya tidak ada pemerintah kepada hati yang lebih baik untuk seorang anak adam itu daripada iman yang mantap kepada Allah.

Kebelakangan ini kita melihat kebejatan gejala sosial semakin berleluasa seolah-olah ia seperti perkara yang biasa. Lihat sahaja didada-dada akhbar tentang jenayah pembunuhan kejam, pembuangan bayi serta banyak lagi. Inilah akibatnya jika hati dikawal oleh nafsu durjana.

Gejala couple contohnya walaupun sudah tahu ianya haram disisi Islam tetapi masih ada yang menganggap ada kebaikan disebaliknya dengan memberikan alasan mudah fokus untuk belajar bersama, tidak lagi rasa sunyi serta ituadalah fitrah manusia. Sedangkan apa yang manusia tahu tentang fitrah yang terbaik untuk mereka? melainkan Allah yang mengetahui semuanya. Firman Allah:

“Dan janganlah kamu mendekati zina”

Jangan sesekali membiarkan hati dijajah oleh hawa nafsu, kerana pasti syaitan akan mudah untuk menjatuhkannya dan akhirnya manusia akan hanyut dan leka dibuai maksiat yang dianggap indah pada matanya, sedangkan mata hatinya sudahpun buta ditutupi dosa.

BAGAIMANA MENJAGA HATI?



Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: “ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah ( beribadat ) disepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.

Inilah yang telah dikatakan oleh seorang ulama tasawwuf tentang penjagaan hati yang sempurna. Sesungguhnya hati dan seluruh jasad kita ini adalah milik Allah dan sewajibnyalah kita sebagai hamba Allah menjadikan Allah sebagai tempat merujuk dan pengubat jika berlaku kesakitan pada hati kita.

Kesemua cara menjaga hati itu tadi jika dirumuskan, ia akan bertemu dengan satu titik yang sama iaitu ubat hati yang paling mujarab adalah menyerahkan hati itu kepada pemilik hati yang sebenar iaitu Allah swt.
Firman Allah:

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik". (QS Al Hadid:16)

Alangkah bahagianya sekiranya kita memperolehi hati yang sentiasa takut dan tunduk kepada Allah walaupun dalam keadaan yang tidak disukai oleh manusia.

Tuesday, February 8, 2011

AYUH SERULAH!!!

Dakwah adalah salah satu tunjang yang penting dalam agama Islam, tanpa dakwah tidak mungkin Islam sampai kepada kita seperti hari ini. Segala keindahan dan kemuliaan yang kita rasakan pada hari ini adalah berkat kekuatan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada hambanNya yang terdahulu untuk melaksanakan tuntutan dakwah ini. Jalan dakwah ini jugalah diantara perintah yang telah diberikan oleh Allah kepada baginda Muhammad saw. Firman Allah:

"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Fussilat 41:33)

Indah sungguh ayat yang telah diturunkan kepada rasulullah menggambarkan kepentingan menyeru manusia kembali kejalan Allah sambil diri orang yang menyeru itu tunduk dan berserah bulat-bulat kepada ketentuan Allah.

GANJARAN YANG DIJANJIKAN

Sesungguhnya jalan yang menuju keredhaan Allah ini sunnatullahnya sentiasa ada ranjau dan durinya. Jalan ini memerlukan kekuatan yang luar biasa yang hanya dikurniakan kepada individu-individu yang terpilih sahaja. Bayangkan mereka mengerah segala kudrat yang ada untuk mengembalikan fikrah masyarakat kepada ajaran Islam yang tulen, dan sudah pasti kerjaini akan ditentang oleh penentang agama Allah iaitu golongan thoghut yang sentiasa bertembung dengan ajaran suci ini. Pertembungan ini akan sentiasa wujud hingga ke akhir hayat dan sesungguhnya beruntunglah bagi mereka yang tegar dan berjaya mengharunginya walaupun ia syahid di pertengahan jalan ini. Firman Allah:

"Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil), sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)." (Aali-Imran 3:195)

Nah!! Sudah jelas ayat yang diturunkan menceritakan tentang genjaran serta nikmat yang sudah siaga menunggu para mujahidin ketika mereka masuk kedalam syurga yang dijanjikan oleh Allah kerana usaha dan kesungguhan mereka melaksanakan perintah Allah.

TAK PERLU TAKUT DAN MALU

Kebelakangan ini, ramai golongan pendakwah sedikit tercicir dan terkeliru apabila membincangkan tentang tugas mereka. Ada diantara mereka yang melahirkan perasaan malu dan takut untuk melaksanakan tugas yang besar ini kerana mereka sendiri masih belum melakukannya ataupun mereka masih belum layak mebicarakannya apatah lagi melakukannya. Mereka memberi dalil dari firman Allah:

“sesungguhnya amat besar kemurkaan Allah kepada sesiapa yang mengatakan apa yang mereka tidak lakukan”(As-Saff:3)

Benar, Allah sangat murka kepada mereka yang tidak melakukan apa yang telah mereka katakan tetapi ia bukanlah dalil untuk tidak menyeru manusia yang lain kepada kebaikan atas alasan perkara itu belum dilakukan lagi oleh penyeru tadi. Ulama mentafsirkan ayat itu memberi gambaran bahawa menyeru kearah kebaikan dan melakukan perkara yang diseru itu adalah 2 perkara yang berbeza. Allah tetap murka dengan orang yang tidak melakukan apa yang mereka katakan tetapi Allah suka kepada mereka yang menyeru kearah kebaikan tadi. Ini bermakna walaupun kita belum lagi melakukan perkara tersebut, ia tetap menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan perkara itu kerana ia adalah amal kebaikan. Natijahnya disini dalam kita menyampaikan kebaikan kepada orang lain, kita juga mengkoreksi diri untuk melakukan sama perkara yang kita serukan tadi. Firman Allah:

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (Al-Ankabuut 29:69)

Maka baikilah amalan kita dengan bersungguh-sungguh dan dalam masa yang sama janganlah kita mengabaikan tuntutan untuk menyeru orang lain kepada jalan Allah. mudah mudahan kita mendapat ganjaran yang akan membersihkan segala dosa yang telah kita lakukan di dunia ini.

InsyaALLAH

Tuesday, January 11, 2011

UBUDIYYAH YANG SEBENAR

“dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia itu melainkan supaya mereka menyembahKu”

(Az-Zariaat:56)
Allah menjadikan manusia sebagai makhluk yang paling sempurna diantara ciptaannya. Bukan sahaja ciptaan yang terbaik, tetapi Allah juga memberi pelbagai keistimewaan kepada manusia agar mereka boleh memimpin dunia dengan lebih baik. Seorang manusia juga dituntut untuk melaksanakan pengertian ubudiyyahnya kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya seperti yang telah diwahyukan oleh Allah tentang tanggungjawab menyembahNya yang dikhususkan kepada manusia dan jin.

KONSEP IBADAH

Beribadat kepada Allah dapat dilakukan dari segala aspek dan gerak geri positif yang dilakukan oleh manusia. Ibadah dapat dibahagikan kepada dua iaitu ibadah umum dan ibadah khusus. Ibadah khusu seperti yang telah termaktub didalam rukun Islam yang lima manakala ibadah khusus pula adalah perbuatan harian yang dilakukan oleh manusia dengan beberapa syarat iaitu:

1.niat ikhlas kerana Allah 2.Mengikut manhaj yang betul 3.tidak melebihi batasan syara’ 4.tidak mengabaikan ibadah fardhu
Ramai yang mengetahui fakta tentang pembahagian ibadah ini dalam Islam, tetapi dalam suasana realitinya, manusia masih mengambil ibadah sebagai satu perkara yang sambil lewa dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Bukan sahaja mengambil ringan tentang ibadah umum tetapi yang lebih mendukacitakan ibadah khusus yang menjadi teras kepada ubudiyyah kepada Allah juga diambil ringan oleh sesetengan individu muslim.

Rasulullah sudah beberapa kali menunjukkan ketegasan baginda berkenaan perintah ibadah kepada Allah ini. Rasulullah pernah bersabda untuk membakar rumah orang yang tidak bangun solat subuh secara berjemaah. Dan diantara pesanan baginda ketika ingin menghembuskan nafas yang terakhir adalah Assolah iaitu tunaikan solat. Begitu penting sekali ibadat solat ini sehinggakan amalan yang pertama yang akan dihisab nanti adalah solat.

JALAN UBUDIYYAH YANG BENAR


Tetapi ada juga setengah dari kaum muslimin yang apabila mengetahui hakikat ini menjadikan ibadah khusus sebagai ibadah yang dilakukan semata-mata sehingga meninggalkan cabang-cabang ibadah yang lain. Jika selama ini kita menganggap cukup ubudiyyah kita sekadar solat,puasa dan zakat yang akan menjamin hidup yang lebih selesa disyurga nanti, ketahuilah bahawa tanggapan kita selama ini silap.

Untuk merealisasikan pengertian ubudiyyah kepada Allah, manusia perlu meletakkan didalam benak pemikiran mereka bahawa jalan yang perlu diikuti untuk mencapai tahap itu adalah dengan mengikuti jalan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah iaitu jalan dakwah.

Jalan dakwah yang telah ditinggalkan untuk kita ini, memerlukan jiwa yang istiqamah dan kental dalam menghadapi semua rintangan yang pada hakikatnya wajib ada dalam jalan ini. Bayangkan jika Allah meletakkan harga syurga semurah solat, puasa dan zakat sahaja, sudah tentu baginda tidak perlu bertungkus lumus menjalankan misi dakwah sehinggakan sanggup meninggalkan tanah air tempat kelahiran baginda sendir demi melaksanakan tuntutan ubudiyyah kepada Allah.Rasulullah tidak perlu dihina dan diherdik oleh kaumnya sendiri sehinggakan ada perancangan untuk membunuh baginda pada malam penghijrahan baginda.

Apalah salahnya sekiranya baginda duduk didalam rumah dan menyebarkan Islam secara senyap-senyap sahaja, bukankah itu lebih selamat berbanding apa yang telah baginda lakukan dalam sirah perjalanan dakwah baginda. Baginda menyebarkan Islam sehinggakan tertegaknya sebuah empayar Islam yang pertama dibumi Madinah yang menjadi mercu tanda keagungan pemerintahan Islam pada zaman itu.

Jelas mesej yang ingin disampaikan oleh Allah yang menterjemahkan perbuatan itu keatas Rasulullah bahawa, pengertian ubudiyyah kepada Allah bukan sekadar solat, puasa dan zakat, tetapi ia lebih besar daripada itu, iaitu mejadikan seluruh undang-undang Allah subur dan memerintah muka bumi ini.

Monday, January 10, 2011

ALLAH LEBIH TAHU


Hidup sebagai seorang manusia sering kali akan diuji dengan pelbagai ujian dan rintangan, aptah lagi jika seorang manusia itu meletakkan jiwa dan seluruh pengabdiannya kepada jalan Allah dengan mengikuti sunnah Rasulullah (berdakwah). Makin banyak beban amanah yang dipikul, semakin berat ujian dan halangan untuk merealisasikannya. Sehinggakan ada yang hampir berputus asa dengan jalan ini dan akhirnya menyepi tanpa disedari.

Dalam melaksanakan tuntutan dakwah yang mulia ini, kita pasti akan bertembung dengan dua persimpangan dalam kehidupan, iaitu persimpangan nafsu dan kehendak diri dan persimpangan redha dan kehendak Allah. Firman Allah:

“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah:216)

Begitu jelas ayat yang telah diturunkan oleh Allah untuk menyelesaikan permasalahan persimpangan yang akan kita lalui nanti. Sebagai umat yang taat kepada suruhanNya kita perlu mengutamakan perintah Allah berbanding dengan kehendak nafsu semata-mata.

PENGAJARAN HIJRAH RASUL

Lihat sahaja dalam peristiwa hijrah yang menyaksikan seorang hamba yang terpilih terpaksa meninggalkan daerah tanah lahirnya semata-mata kerana ia suruhan dari Allah dan demi penerusan ajaran Islam yang suci ini.

Jika diselidiki secara logik akal, masakan tidak ada sebarang perasaan sedih apabila terpaksa meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ketempat baru. Tetapi atas tanggungjawab yang melebihi perasaan dan kehendak manusia tadi baginda menyahut seruan Allah untuk melengkapkan pentadbiran Islam disana. Natijahnya, terdirilah sebuah empayar Islam yang pertama yang menjadi titik tolak kebangkitan Islam dan menjadi contoh pemerintahan kepada empayar-empayar Islam hingga ke hari ini.

Cuba kita bayangkan jika baginda tidak berhijrah dan hanya meneruskan ajaran islam secara sembunyi dan tidak berkuasa? Sudah tentu Islam akan lambat meningkat dan sudah pasti Islam tiada sejarah yang boleh diteladani dari aspek pemerintahan.

ARAHAN PIMPINAN

Arahan pimpinan juga penting untuk menggerakkan gerak kerja dakwah ini. Tanpa kepimpinan tiadalah dakwah dan tanpa dakwah masakan Islam akan tersebar dengan cepat dan sistematik. Kadang kala pimpinan meletakkan kita pada tempat yang tidak kita gemari sedangkan keputusan itu adalah hasil dari syura mereka. Memang betul ijtihad mereka tidak sempurna tetapi bukankah sekiranya mereka salah berijtihad mereka masih mendapat satu dari dua pahala ijtihad yang benar?

Persoalanya sekarang, jika kita ingin menolak sebarang jawatan dan tempat, siapa yang paling layak menggantikan kita dan kita harus memberi jaminan bahawa yang akan menggantikan kita itu dapat melaksanakan tugas lebih baik dari kita. Sudah pasti kita tidak mampu memberikan jaminan sedemikian.

Oleh kerana itu, lihatlah tugasan itu sebagai amanah untuk kita dan sesungguhnya Allah lebih tahu kita berhak memikulnya.

PESANAN UNTUK PARA PEJUANG

Seorang pendakwah, apabila dicampak kedalam laut, ia akan menjadi pulau, apabila dicampak kedalam hutan ia akan membentuk perkampungan dan apabila dicampak ke padang pasir ia akan membina sebuah tamadun Islam yang tersohor.

Jadilah pendakwah seperti itu yang tidak ada kepentingan yang lain melainkan menyeru manusia menuju Allah semata-mata. Dimana sahaja diletakkan Islam pasti akan subur disana.

Jangan takut dan khuatir atas ketidak mampuan diri kerana apabila berada dijalan Allah, kita pasti tidak keseorangan kerana Allah akan sentiasa berada disisi hambanya yang bertaqwa..

Wednesday, December 15, 2010

Ayuh Kembali


Semua dari pada kita yang melafazkan kalimah syahadah sentiasa meletakkan kepercayaan dalam diri kita bahawa agama yang kita anuti ini adalah agama yang terbaik dan sempurna. Ini dibuktikan dengan firman Allah:

“sesungguhya agama yang berada disisiKu adalah Islam”

Ayat tersebut menguatkan lagi kepercayaan kita kepada agama Islam yang dating dari pencipta dunia ini dan seluruh isinya iaitu Allah yang Maha Hebat.

Cuma persoalanya,walaupun seluruh penganut agama ini mengakui perkara tentang kesyumulan Islam, mengapa masih ramai yang meletakkan agama ini bukan sebagai perkara yang utama dalam hidup mereka dan ada yang lebih malang lagi apabila selurh arahan dan larangan agama ini tidak dilaksanakan dan dijauhi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap kalimah syahadah yang mereka ucapkan.

YANG CUAI

Masih ada lagi muslim yang sentisa cuai dalam perkara ibadat dan amalan mereka seharian. Mereka sentiasa meringan-ringankan tanggungjawab beragama yang telah diberikan dalam Islam dengan alas an agama ini satu agama yang mudah dan tidak membebankan penganutnya. Memang islam agama yang mudah dan tidak membebankan penganutnya, tetapi mudahnya ia bukan untuk dipermudahkan untuk keselesaan seseorang individu, disitulah indahnya agama ini dengan ciri thabat wal murunah iaitu teguh dalam perinsip tetapi flexible dalam perlaksanaan setiap amalan yang dilakukan.

YANG MELEBIHI BATASAN

Diantara mereka juga ada yang melebihi batasan, dan perkara ini sudah berlaku sejak dari zaman Rasulullah lagi. Ketika itu sahabat datang bertemu Rasulullah dengan penuh semangat sebagai seorang Islam, salah seorang dari mereka berkata” aku tidak ingin tidur kerana ingin beribadat sepanjang malam”, seorang yang lain berkata” aku ingin berpuasa dan tidak ingin berbuka” lalu Rasulullah menjawab dengan penuh hikmah dan bukti” aku utusan Allah, dan aku beribadat dan aku tidur pada sebahagian malam,aku juga berpuasa dan aku juga berbuka puasa”. Kisah ini sangat sarat dengan mesej bahasanya Islam ini adalah agama fitrah yang tidak menyuruh umatnya supaya melampaui batas fitrah untuk hidup sebagai seorang manusia yang normal.

YANG MENJUZUKKAN AGAMA

Ada juga diantara mereka ini yang tidak mengambil seluruh aspek dalam Islam untuk diamalkan. Mereka menjuzukkan agama ini dengan melakukan suruhan agama yang mudah-mudah, tetapi meninggalkan suruhan agama yang tidak sesuai dengan kehidupan mereka. Ada diantara mereka yang sentiasa melekat pada masjid, tetapi sentiasa melakukan kemungkarankepada Allah,ada juga diantara mereka yang hebat menghafaz ayat dalam kitab suci Al-Quran tetapi tidak pernah menyampaikanya walau dengan satu ayat, ada juga yang sibuk memperbetulkan orang lain sedangkan mereka sendiri tiada usaha untuk memperbetulkan diri sendiri.

AYUH KEMBALI

Jesteru wahai saudaraku sekalian, ayuh kita kembali kepada agama Islam yang sebenarnya, yang dalam erti kata yang lain ialah melakukan seluruh suruhan dan meninggalkan seluruh larangan dalam agama ini. Sedarlah bahawa kita sangat beruntung kerana dipilih berada dalam agama ini dan jangan persiakan kesempatan yang telah dikurniakan ini. Jadilah seorang muslim yang sebenar-benarnya muslim kepada agama Islam dengan melaksanakan segala tuntutan yang diperintahkan oleh Allah setelah kita mengaku tiada tuhan yang layak disembah kecuali Allah dan Nabi Muhammad itu utusan Allah.