Hidup sebagai seorang manusia sering kali akan diuji dengan pelbagai ujian dan rintangan, aptah lagi jika seorang manusia itu meletakkan jiwa dan seluruh pengabdiannya kepada jalan Allah dengan mengikuti sunnah Rasulullah (berdakwah). Makin banyak beban amanah yang dipikul, semakin berat ujian dan halangan untuk merealisasikannya. Sehinggakan ada yang hampir berputus asa dengan jalan ini dan akhirnya menyepi tanpa disedari.
Dalam melaksanakan tuntutan dakwah yang mulia ini, kita pasti akan bertembung dengan dua persimpangan dalam kehidupan, iaitu persimpangan nafsu dan kehendak diri dan persimpangan redha dan kehendak Allah. Firman Allah:
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah:216)
Begitu jelas ayat yang telah diturunkan oleh Allah untuk menyelesaikan permasalahan persimpangan yang akan kita lalui nanti. Sebagai umat yang taat kepada suruhanNya kita perlu mengutamakan perintah Allah berbanding dengan kehendak nafsu semata-mata.
PENGAJARAN HIJRAH RASUL
Lihat sahaja dalam peristiwa hijrah yang menyaksikan seorang hamba yang terpilih terpaksa meninggalkan daerah tanah lahirnya semata-mata kerana ia suruhan dari Allah dan demi penerusan ajaran Islam yang suci ini.
Jika diselidiki secara logik akal, masakan tidak ada sebarang perasaan sedih apabila terpaksa meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ketempat baru. Tetapi atas tanggungjawab yang melebihi perasaan dan kehendak manusia tadi baginda menyahut seruan Allah untuk melengkapkan pentadbiran Islam disana. Natijahnya, terdirilah sebuah empayar Islam yang pertama yang menjadi titik tolak kebangkitan Islam dan menjadi contoh pemerintahan kepada empayar-empayar Islam hingga ke hari ini.
Cuba kita bayangkan jika baginda tidak berhijrah dan hanya meneruskan ajaran islam secara sembunyi dan tidak berkuasa? Sudah tentu Islam akan lambat meningkat dan sudah pasti Islam tiada sejarah yang boleh diteladani dari aspek pemerintahan.
ARAHAN PIMPINAN
Arahan pimpinan juga penting untuk menggerakkan gerak kerja dakwah ini. Tanpa kepimpinan tiadalah dakwah dan tanpa dakwah masakan Islam akan tersebar dengan cepat dan sistematik. Kadang kala pimpinan meletakkan kita pada tempat yang tidak kita gemari sedangkan keputusan itu adalah hasil dari syura mereka. Memang betul ijtihad mereka tidak sempurna tetapi bukankah sekiranya mereka salah berijtihad mereka masih mendapat satu dari dua pahala ijtihad yang benar?
Persoalanya sekarang, jika kita ingin menolak sebarang jawatan dan tempat, siapa yang paling layak menggantikan kita dan kita harus memberi jaminan bahawa yang akan menggantikan kita itu dapat melaksanakan tugas lebih baik dari kita. Sudah pasti kita tidak mampu memberikan jaminan sedemikian.
Oleh kerana itu, lihatlah tugasan itu sebagai amanah untuk kita dan sesungguhnya Allah lebih tahu kita berhak memikulnya.
PESANAN UNTUK PARA PEJUANG
Seorang pendakwah, apabila dicampak kedalam laut, ia akan menjadi pulau, apabila dicampak kedalam hutan ia akan membentuk perkampungan dan apabila dicampak ke padang pasir ia akan membina sebuah tamadun Islam yang tersohor.
Jadilah pendakwah seperti itu yang tidak ada kepentingan yang lain melainkan menyeru manusia menuju Allah semata-mata. Dimana sahaja diletakkan Islam pasti akan subur disana.
Jangan takut dan khuatir atas ketidak mampuan diri kerana apabila berada dijalan Allah, kita pasti tidak keseorangan kerana Allah akan sentiasa berada disisi hambanya yang bertaqwa..
Monday, January 10, 2011
ALLAH LEBIH TAHU
11:02 PM
Abu Muslim Al-Amiri
No comments
0 comments:
Post a Comment