Pages

Thursday, June 25, 2009

KITA

Assalamualaikum..

Nukilanku kali ini aku tujukan khas untuk para pejuang Islam yang sentiasa istiqamah dalam perjuangan dan hanya mengharapkan keredhaan yang hakiki dari Allah.

Wahai SHABAB, ayuh kita renung kembali sejarah hidup kita yang sudah lama berlalu..
Tentu ada masa-masa yang ingin kita lupakan,
Tentu ada masa-masa yang tidak igin kita lupakan,
Tetapi yang pastinya ia pasti tidak akan KEMBALI.

Mari kita lihat dan bemuhasabah bersama-sama, selama kita hidup menumpang dimuka bumi ini, BERAPA BANYAK DOSA YANG TELAH KITA LAKUKAN ? Dah taubat ke belum?. Inilah persoalan yang sepatutnya sentiasa ditimbulkan dalam hati kita supaya KITA TIDAK KAN MERASA MEGAH DAN TAKBUR dengan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.

Walaupun kita selaku insan yang hina banyak melakukan dosa dan kerosakan dibumi ini, Allah tetap MEMULIAKAN kita dengan Islam.sedar ataupun tidak, kerana NIKMAT DAN KEHENDAK Allah lah kita masih berpegang teguh dengan ajaran Islam ini.

Allah masih sayangkan kita dengan memberikan kita peluang BERINTIMA’ dengan gerakan Islam dan sentiasa ISTIQAMAH dalam amal islami.

Apakah itu bukan bukti bahawa Allah SANGAT MENYAYANGI KITA? Tidak cukupkah lagi nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita?

Jesteru apa yang telah kita LAKUKAN untuk Allah?
Apa yang telah kita KORBANKAN untuk Allah?
Apa amal kita yang TERBAIK untuk Allah?
Cukupkah PERILAKU kita selama ini berbanding nikmat yang telah diberikan Allah?
IKHLASKAH kita semata kerana Allah?

Inilah manusia, setelah diberi nikmat, sentiasa LEKA DAN ALPHA.
Wahai manusia, jangan kamu ingat Allah mudah LUPA, kerana Allah itu Maha SEMPURNA,
Dia akan MEMBALAS segala yang ada, dengan seadil-adilnya.

Jangan kita mengaku berjuang selagi kita tidak tahu APA itu perjuangan,
Jangan kita mengaku berjuang selagi tidak tahu MENGAPA berjuang,

Jika berjuang kerana manusia, nescaya manusia kan MATI,
Jika berjuang kerana harta, ia pasti akan DITINGGALKAN nanti.
Jika berjuang kerana nama, ia pasti akan LUPUT ditelan zaman.

BERJUANGLAH KERANA ALLAH AZZAWAJALLA, NESCAYA DIA DAN SELURUH PENDUDUK LANGIT AKAN KASIHKAN KITA.

Wahai HATI-HATI yang mengharapkan REDHA ILAHI, buanglah sifat mazmumah dalam dirimu dan tanamkanlah sifat MAHMUDAH untuk bekalan didunia dan diakhirat kelak


Ya Allah,
Kami hambaMu yang hina ini memohon keampunan daripadaMu,
Atas segala dosa dan kerosakan yang telah kami lakukan,
Sesungguhnya Kaulah pengampun dosa-dosa besar,

Ya Allah,
Kasihanilah kami,
Peliharakanlah kami dari siksaanMu didunia dan diakhirat,
Jangan golongkan kami dalam golongan yang rugi

Ya Allah,
Kurniakan kami hati yang kuat,
Akal yang mantap,
Jasad yang sihat,
Untuk menggalas beban dakwahMu ini.

Ya Allah
Kami memohon kepadaMu,
Agar jamaah kami akan sentiasa istiqamah dalam jalanMu ini,
Jangan biarkan kami lari dalam perjuangan ini ya Allah.

Ya Allah
Kami merayu kepadaMu,
Berilah kesempatan kepada kami untuk merasakan kebahagiaan berada dibawah pemerintahan Islam,
Dan jika tidak, maka izinkan kami mati syahid dalam menegakkan agamaMu ya Allah.

Ya Allah,
Kau perkenankanlah doa dan pinta kami ini.

Amin ya Rabbal alamin

Thursday, June 18, 2009

MENGAPA ISLAM

Firman Allah


“ sesungguhnya agama yang disisiKu adalah Islam”


dalam meneliti kembali ayat yang saya ingin kongsikan di atas, jelas sekali bahawa Allah hanya meredhai Islam sebagai agama yang betul-betul dapat menyelamatkan manusia didunia dan diakhirat.

sudah ramai yang bertanya kepada saya mengapa ianya perlu Islam? Bukan sahaja non- muslim tetapi ramai juga muslim yang bertanyakan hal ini. bingung juga pada mulanya untuk menjawab soalan tersebut. mujurlah baru-baru ini saya ada menghadiri forum yang membincangkan tentang Islam dan Negara. dalam kupasan isu tersebut, banyak membincangkan tentang apa itu Islam dan mengapa Islam perlu dipilih berbanding agama yang lain.


SATU AJEN PERUBAHAN


Islam adalah satu ajen perubahan untuk corak hidup manusia. mana mungkin kita dapat nafikan peranan Islam ini. lihat sahaja pada zaman sebelum kedatangan Islam, manusia begitu jahil, ada yang sanggup membunuh anak perempuan kerana kepercayaan yang karut, tidak kurang juga golongan wanita yang menjadi bahan gurauan dan dianggap sebagai alat pemuas nafsu sahaja. tetapi apabila nur Islam datang dan masuk ke dalam zaman itu, maka corak jahiliyyah telah berubah, anak-anak tidak lagi dibunuh dan kaum wanita tidak ditindas malah diangkat martabat mereka sebagai kaum yang suci dan perlu dilindung.


KESAMARATAAN


Islam mengamalkan konsep samarata kepada semua penganutnya. dalam Islam hanya yang berilmu dan bertaqwa kepada Allah sahaja yang mempunyai darjat disisi Allah dan akan selamat didunia dan akhirat. tiada diskriminasi antara kaum dan tiada diskriminasi antara darjat yang selalu diketengahkan oleh budaya sekularisme kini.


SATU TUHAN


Islam wujud dan dicipta oleh Allah dan Islam hanya akan tunduk menyembah kepada Allah sebagai pencipta dan yang maha sempurna. Ini menjadikan islam pilihan yang terbaik kerana ciri yang unik inilah yang menyebabkan umat Islam tetap teguh dalam mempertahankan yang hak dan menjauhi yang batil. dengan konsep ini juga umat Islam tidak akan celaru dan keliru untuk beribadat kerana ketumpuan ibadat umat Islam hanya kepada Allah Azzawajalla.


inilah di antara hujah dan jawapan untuk soalan mengapa kita perlu memilih Islam. sebagai umat Islam yang diikat dengan akidah yang benar dan mantap, kita seharusnya tahu yang Islamlah agama yang sebenar dan kita seharusnya mampu berkongsi dengan orang yang bukan muslim.


wallahualam…

Tuesday, June 9, 2009

Elemen Penting Dalam Tarbiyah

Harakah Islamiyyah sedunia sependapat betapa besarnya peranan tarbiyyah dalam menjamin kemurnian dan memahami matlamat Islam sepanjang masa, kerana pergantungannya yang kuat dari aspek tarbiyyah dan memenuhi syarat-syarat kemenangan kepada janji Allah SWT.

Tujuh elemen-elemen penting tarbiyyah:-

1-Tarbiyah Ruhiyyah :


Iaitu mendidik ahli supaya iltizam dengan amalan ibadah sehingga dapat merasakan kelazatan hasil mengerjakan ibadah itu serta dapat mencari kekuatan hati melaluinya. Juga untuk mempertingkatkan muhasabah dan muraqabah sebagai paksi kepada gerak kerja yang baik, menanamkan kesabaran yang tinggi dalam amal jamaie, sensitif kepada dosa dan mungkar, bersemangat jihad dan bercita-cita untuk syahid.

2-Tarbiyah Thaqafiyyah :


Menanamkan budaya membaca (tidak dihadkan kepada buku-buku haraki sahaja tetapi meluaskan skop bahan bacaan), berjumpa dengan tokoh-tokoh ilmuwan, menghadiri persidangan-persidangan dan seminar-seminar akademik dan sosial, membudayakan perbincangan di kalangan ahli dengan tidak menunggu hanya pada waktu usrah atau tamrin sahaja supaya ahli mempunyai daya intelektual yang tinggi dan berpengetahuan am yang luas.

3-Tarbiyah Harakiyyah :


Melengkapkan ahli dengan ilmu teknik-teknik pengurusan moden, di samping konsep-konsep dan adab-adab berjemaah yang lain.

4-Tarbiyyah Siasiyyah :


Meningkatkan pengetahuan dan pembacaan politik mengenai perkembangan politik tempatan dan antarabangsa, di samping memahami konsep dan falsafah khilafah Islamiyyah dan kepimpinan ulama' yang lebih mendalam dan praktikal kepada dunia semasa.

5-Tarbiyyah Kendiri (Self-Development) :


Mengenalpasti dan mengembangkan potensi individu-individu ahli yang matang dalam sikap, tindakan dan keputusan, berfikiran kreatif, kritikal, analitikal dan terbuka, bermotivasi tinggi, berakhlak baik dan terpuji, bersikap berani, berkeyakinan diri dan 'adaptable' dalam semua suasana dan keadaan.

6-Tarbiyyah Badaniyyah (Jasmani) :
Melatih ahli memberi perhatian kepada kesihatan badan, mempunyai kecergasan dan stamina yang tinggi, menjalani latihan fizikal untuk membentuk generasi yang tahan lasak dan bersedia menghadapi usaha-usaha musuh yang mungkin menggunakan kekerasan.

7-Tarbiyyah Kekeluargaan Islam :


Mendidik ahli dalam memilih calon pasangan hidup yang selari dengan kriteria yang dikehendaki oleh Islam dan berpengetahuan mengenai pembentukan dan amalan-amalan keluarga Islam.

Apabila semua elemen ini dapat dipahatkan didalam setiap hati pejuang Islam yang ingin menyaksikan Islam kembali tinggi di dunia ini, InsyaAllah kemenangan Islam sudah hampir dengan kita

Wallahualam..

Monday, June 8, 2009

SIFAT-SIFAT TARBIYYAH

Proses tarbiyyah yang dijalankan oleh Rasulullah saw adalah merupakan suatu proses yang Rabbani seperti firman Allah swt:

‘ Dan demi bintang ketika terbenam, kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru; dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).’

(An-Najm:1-4)

Oleh itu, segala perencanaan serta bahan tarbiyyah mestilah dirumuskan dari Al-Quran dan As-Sunnah.

Di sepanjang perjuangan baginda rasulullah saw, sistem tarbiyyah yang dibawanya sentiasa menekankan persoalan pokok iaitu Aqidah manusia. Kerap kali sifat-sifat Allah swt diterangkan di dalam Al-Quran untuk mengingatkan manusia tentang perhubungan mereka denganNya, kerana tanpa hubungan ini, sia-sialah amalan mereka.

a) Sistem tarbiyyah yang digariskan Allah swt dan Rasulullah saw adalah syumul iaitu bersifat menyeluruh, merangkumi segala aspek amalan-amalan yang membolehkan kita mencapai keredhaan Allah swt. Firman Allah swt:

‘Hai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.’

(Al-baqarah: 208)

Antara ciri tarbiyyah yang syumul ialah keseimbangan dalam mentarbiyyahkan manusia dan kemampuan jamaah Islam untuk meletakkan manusia di tempat mereka masing-masing serta membuat pengisian fikrah dan ilmu yang sepatutnya. Oleh kerana itu, jemaah Islam hendaklah melaksanakan pentarbiyyahan yang tersusun terhadap orang awam yang berada di luar jamaah. Dalam kesibukan Jemaah Islam membentuk ahli-ahli dan pendukungnya janganlah sampai mengabaikan pentarbiyyahan ummah keseluruhannya. Semasa Rasulullah saw telah berjaya membentuk saf yang padu di kalangan kaum Ansar dan Muhajirin di Madinah, baginda tidak mengabaikan aspek pentarbiyyahan bagi penduduk di luar M.adinah. Baginda telah menghantar para sahabat utk mewakili tugas pentarbiyyahan Rasulullah dgn menghantar mereka ke tempat-tempat yang jauh seperti Yaman dan Bahrin sehinggakan ada di kalangan mereka yang terbunuh dan dikhianati seperti di Biir Ma’unah dan di Raji’. Jemaah juga tidak boleh mengabaikan usaha-usaha untuk mentarbiyyah ahlinya dalam keghairahan untuk mendapatkan ahli-ahli baru (penyokong). Kesyumulan tarbiyyah dapat dilahirkan melalui kemampuan jamaah melahirkan ahli-ali yang dapat menjiwai kedua-dua sifat utama seorang daie iaitu mas’uliyah fardiyyah dan kemampuan untuk melakukan ‘amal jama’i.

Dengan mas’uliyyah fardiyyah ini seseorang ahli dapat berperanan sebagai seorang da’ie pada setiap masa dan dalam semua keadaan. Da’ie memiliki deria dakwah di mana walaupun dalam keadaan berseorangan beliau mampu melakukan dakwah. Kemampuannya untuk berdakwah tidak bergantung kepada tanzim malah setiap ahli mestilah mampu melaksanakan dakwah menurut inisiatifnya sendiri.

Dengan kemampuan ahli melakukan ‘amal jamai yang baik, mereka akan menjadi ahli-ahli yang tidak mengambil keputusan sendiri terhadap perkara-perkara yang menjejaskan tanzim, sentiasa bermusyawarah dengan qiyadah dan ahli-ahli yang lain, tidak membuat sesuatu di luar dasar-dasar tanzim serta dapat menyesuaikan ‘amalannya dengan amalan ikhwah lain dalam tanzim.

b) Proses perlaksanaan tarbiyyah mestilah dijalankan mengikut kemampuan para du’at dan mad’u. Al-Quran sendiri telah Allah turunkan peringkat-demi peringkat seperti firmanNya:

‘ Dan Al-Quran itu kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami turunkan bahagian demi bahagian.’

(Al-Isra’: 106)

c) Bahan tarbiyyah juga hendaklah mempunyai sifat tawazzun iaitu seimbang. Rasulullah lebih menyukai amalan yang sedikit yang dilakukan dengan istiqamah daripada amalan yang banyak tetapi dilakukan tidak secara konsisten. Tersebut di dalam sebuah hadis, Aisyah ra berkata: Ketika nabi masuk ke rumah kami, bertepatan ada seorang wanita. Nabi saw bertanya: Siapakah wanita ini? Jawab Aisyah ra: Ini Fulanah yang terkenal dengan ibadat sembahyang yang banyak sekali. Maka sabda Nabi saw: “ (Dgn kata yang kurang senang) Hendaklah kerjakan semampumu, dengan tidak memaksa diri, maka Allah tidak akan jemu menerima amalan sehingga kamu jemu beramal. Dan kelakuan agama yang lebih disukai Allah swt ialah yang dapat dikerjakan secara terus menerus.” (Bukhari dan Muslim)

Hasil dari sistem tarbiyyah yang rabbani inilah lahirnya para sahabat ra yang menghayati cara hidup Islam yang lengkap. Peribadi mereka yang agung serta amalan yang seimbang menjadikan mereka digelar “pejuang di siang hari dan rahib di malam hari” serta “jil al-Quran al-Farid” oleh Syed Qutb. Dalam pada itu, program tarbiyyah yang seimbang semestinya didorong oleh keimanan, maka amalan seperti rehlah, tahajjud, riyadah dan sebagainya tidak boleh lari dari mempunyai ciri-ciri keimanan.

Thursday, May 28, 2009

Kejatuhan Khilafah yang tersayang

Pada 31 Ogos 1876 (1293H) Khalifah Abdul Hameed dilantik menjadi Khalifah dengan disertai bai'ah oleh umat Islam. Beliau berusia 34 tahun ketika itu. Khalifah Abdul Hameed menyedari, sebagaimana yang beliau nukilkan di dalam catatan hariannya, bahawa ketika pembunuhan bapa saudaranya, dan juga perubahan kepimpinan yang cepat adalah merupakan satu konspirasi untuk menjatuhkan Kerajaan Islam.

Peribadi Khalifah Abdul Hameed telah dikaji hebat oleh ahli sejarah. Beliau diberikan kepimpinan sebuah negara yang sangat besar yang ketika itu dalam keadaan tenat dan tegang. Beliau menghabiskan lebih 30 tahun dengan konspirasi dalaman dan luaran, peperangan, revolusi dan perubahan yang tidak berhenti. Khalifah Abdul Hameed sendiri meluahkan perasaannya tentang perkara ini di dalam tulisan dan puisinya. Ini adalah satu contoh puisi beliau yang ditulis tangan (gambar tidak disertakan), yang diambil dari buku ,"Bapaku Abdul Hameed," yang ditulis oleh anak perempuannya Aisha.

Terjemahan puisi tersebut adalah seperti berikut:

    Tuhanku, aku tahu kaulah al-Aziz...dan tiada yang selainMu yang
    Kaulah Satu-Satunya, dan tiada yang lain
    Ya Allah, pimpinlah tanganku dalam kesusahan ini
    Ya Allah, bantulah aku dalam saat-saat yang kritikal ini
Masalah pertama yang dihadapi beliau adalah Midhat Pasha. Midhat Pasha terlibat secara sulit dalam pakatan menjatuhkan bapa saudara Khalifah Abdul Hameed. Apabila Khalifah Abdul Hameed menjadi Khalifah, beliau telah melantik Midhat Pasha sebagai Ketua Majlis Menteri-menteri kerana Midhat sangat popular ketikat itu dan Khalifah Abdul Hameed perlukan 'insuran' untuk terus memegang kepimpinan. Midhat Pasha bijak menjalankan tugasnya tetapi beliau terlalu mengikut pandangannya sendiri sahaja. Midhat Pasha juga disokong oleh satu aliran yang kuat dari Majlis Syura (Parlimen). Dengan bantuan dari golongan ini, Midhat Pasha berjaya meluluskan resolusi untuk berperang dengan Rusia. Khalifah Abdul Hameed tidak dapat berbuat apa-apa kerana beliau kemungkinan akan dijatuhkan sekiranya cuba bertindak. Kekalahan peperangan tersebut bagaimanapun, cuba dipertanggung-jawabkan ke atas Khalifah Abdul Hameed oleh penyokong-penyokong Midhat itu. Bagaimanapun, setelah sesuai masanya, Khalifah Abdul Hameed telah berjaya menggunakan perselisihan antara beliau dengan Midhat Pasha untuk membuang Midhat ke Eropah. Rakyat dan para pemerhati politik menyokong penuh tindakan berani dan bijak Khalifah Islam ini.

Kemudian Khalifah Abdul Hameed mengalihkan perhatian beliau kepada musuh-musuh luar Kerajaan Islam. Beliau telah menjangkakan Revolusi Komunis di Rusia dan menyedari bahawa itu akan menguatkan Rusia dan menjadikannya lebih merbahaya. Pada ketika itu, Balkan merupakan sebahagian dari Kerajaan Islam dan sedang menghadapi tekanan dari Rusia dan Austria. Khalifah Abdul Hameed cuma menyedarkan negara-negara Balkan ini akan bahaya yang akan mereka hadapi. Beliau hampir berjaya mencapai persetujuan dengan negara-negara ini. Tetapi ketika saat-saat akhir pemeteraian perjanjian tersebut, 4 negara Balkan telah belot dan membuat perjanjian lain mengenepikan Kerajaan Islam Uthmaniyyah atas pengaruh Rusia dan Austria.

Khalifah Abdul Hamid sedar bahawa konspirasi untuk menghancurkan Negara Islam adalah lebih hebat daripada yang diketahui umum. Konspirasi ini terdapat dari dalaman dan luaran. Ketika beliau merasa lega kerana berjaya membuang Midhat Pasha dan pengikut-pengikutnya, beliau berhadapan pula dengan Awni Pasha, juga Ketua Jemaah Menteri yang juga merupakan seorang pemimpin angkatan tentera. Kemudiaannya, Khalifah Abdul Hameed mendapat tahu bahawa Awni Pasha menerima wang dan hadiah dari pihak England dan juga tentang peranannya dalam menjatuhkan Abdul Aziz.

Awni Pasha membawa Kerajaan Uthmaniyyah ke dalam peperangan Bosnia walaupun tidak dipersetujui oleh Khalifah Abdul Hameed. Abdul Hameed mengetahui sekiranya peperangan tercetus, Rusia, England, Austria-Hungary, Serbia, Montenegro, Italy dan Perancis akan menyerang Kerajaan Islam dan mengambil Bosnia. Awni memberikan maklumat palsu kepada Khalifah Abdul Hameed tentang kekuatan tentera Islam di Bosnia. Dia berkata terdapat 200,000 tentera Islam di sana sedangkan apabila Khalifah Abdul Hameed mendapatkan maklumat dari pemimpin-pemimpin tentera yang lain, hanya terdapat 30,000 tentera Islam di Bosnia, berhadapan dengan lebih 300,000 tentera kafir. Bagaimanapun umum menyukai Awni pada ketika itu dan sekiranya Khalifah Abdul Hameed cuba memecatnya, kestabilan dalam negara akan terancam. Kuasa-kuasa kafir Barat, apabila menyedari mereka berhadapan dengan lawan yang kecil bilangannya telah menyerang Bosnia dengan bantuan empat negara Balkan (Romania, Montenegro, Serbia dan Austria-Hungary). Akibat dari peperangan ini, Bosnia dan Greece telah dirampas dari Kerajaan Islam. Setelah kekalahan tersebut, barulah Khalifah Abdul Hameed boleh mendapatkan sokongan umum dalam memecat Awni. Mahkamah mendapati Awni bersalah kerana konspirasi menjatuh kerajaan dan membantu kuasa asing seperti England.

Kejatuhan 'Orang Sakit Eropah' kelihatan seperti tidak dapat dielakkan lagi. Semua pihak bersekongkol menjatuhkannya, termasuklah pihak Yahudi. Pada tahun 1901, seorang pemilik Bank Yahudi, Mizray Qraow dan 2 lagi pemimpin Yahudi yang berpengaruh datang melawat Khalifah Abdul Hameed dengan tawaran:

    1) Membayar SEMUA hutang Kerajaan Islam Uthmaniyyah
    2) Membina Angkatan Tentera Laut Kerajaan Isslam Uthmaniyyah
    3) 35 Juta Lira Emas tanpa interest untuk membantu perkembangan Negara Islam Uthmaniyyah
Sebagai Pertukaran Kepada:
1)Membenarkan Yahudi melawat Palestin pada bila-bila masa yang mereka suka dan untuk tinggal seberapa lama yang mereka mereka mahu "melawat tempat-tempat suci"
2) Membenarkan Yahudi membina penempatan di tempat mereka tinggal di Palestin dan mereka mahukan tempat yang hampir dengan Baitul-Maqdis
Khalifah Abdul Hameed enggan berjumpa mereka sekalipun, apalagi menerima tawaran merreka. Beliau mengutuskan jawapan beliau melalui Tahsin Pasha yang berbunyi,

"Beritahu Yahudi-yahudi yang tidak beradab itu bahawa hutang-hutang Kerajaan Uthmaniyyah bukanlah sesuatu yang nak dimalukan, Perancis juga mempunyai hutang-hutangnya dan itu tidak memberikan apa-apa kesan kepadanya. Baitul-Maqdis menjadi sebahagian dari Bumi Islam ketika Umar ibn Al-Khattab mengambil kota itu dan aku tidak akan sekali-kali menghina diriku dalam sejarah dengan menjual bumi suci ini kepada Yahudi dan aku tidak akan menodai tanggung-jawab dan amanah yang diberikan oleh ummah ini kepadaku. Biarlah Yahudi-yahudi itu menyimpan wang mereka, umat Islam Uthmaniyyah tidak akan bersembunyi di dalam kota-kota yang dibina dengan wang musuh-musuh Islam." - (di manakah pemimpin seperti ini hari ini? - ed)

Khalifah Abdul Hameed juga menyuruh mereka pergi dan jangan sekali-kali datang untuk berjumpa dengan beliau lagi. Dengan terlibatnya Yahudi dan Zionis di dalam konspirasi ini, maka lengkaplah 'peserta-peserta'nya. Kewangan Yahudilah yang membiayai kejatuhan Kerajaan Islam Uthmaniyyah. Mereka sanggup memberikan apa sahaja kerana mereka tahu selagi Khilafah Islam wujub di muka bumi ini, walau selemah mana, mereka tidak akan dapat menubuhkan sebuah 'Negara Yahudi' di bumi Palestin.

Yahudi tidak berputus asa dengan kegagalan mempengaruhi Khalifah Abdul Hameed. Pada akhir tahun yang sama, 1901, pengasas gerakan Zionis. Theodor Hertzil, melawat Istanbul dan cuba bertemu dengan Khalifah Abdul Hameed. Khalifah Abdul Hameed enggan bertemu Hertzil dan mengarahkan Ketua Jemaah Menterinya,

"Nasihatkan Dr. Hertzil supaya tidak mengambil apa-apa langkah seterusnya dalam projeknya. Aku tidak boleh memberikan walau segenggam dari tanah ini kerana ia bukan milikku, ia untuk Ummah Islam seluruhnya. Ummah Islam yang telah berjihad demi bumi ini dan mereka telah membasahinya dengan darah-darah mereka. Yahudi boleh menyimpan wang dan jutaan mereka. Sekiranya Khilafah Islam ini dimusnahkan pada suatu hari, mereka boleh mengambil Palestin tanpa bayaran! Tetapi selagi aku masih hidup, aku lebih rela sebilah pedang merobek tubuhku daripada melihat bumi Palestin dipecah dan diberikan keluar dari Negara Islam. Ini ('penjualan Palestin') adalah sesuatu yang tidak akan berlaku, aku tidak akan memotong-motong tubuh kami selagi kami masih hidup." - (ini pendirian Khalifah di saat-saat kehancuran, bagaimanakah tindakannya sekiranya Khilafah Islam masih kuat ketika itu? Ya Allah, berikan kami peluang menyaksikannya atau berikan kami Shahid dalam usaha mendapatkannya, Amin -ed)

Dengan kegagalan ini, Yahudi mendapatkan bantuan British untuk mencapai impian mereka.Pihak British dan Perancis telah bersedia untuk menhancurkan Kerajaan Islam Uthmaniyyah. Tetapi perkataan JIHAD masih tetap ditakuti, masih membuatkan seluruh Eropah bergegar. Eropah masih takutkan 'Orang Sakit Eropah'. Maka British mengambil keputusan menggunakan polisi luarnya yang paling penting, 'Pecah dan Perintah'. British mula menyokong kumpulan-kumpulan baru seperti 'Turki Muda' dan 'Arab Muda'. Apabila 'Turki Muda' menjadi berpengaruh di dalam Negara Islam, Britain hanya perlu berpeluk tubuh, membiarkan 'Turki Muda' ini meneruskan usaha mereka. 'Turki Muda' memulakan aliran Kebangsaan dan Perjudis di kalangan penduduk bangsa turki di dalam Negara Islam. Kesannya, bangsa Arab, Amenia, Kurdish dan lain-lain (Melayu? - jauh selepas itu) juga mahukan aliran kebangsaan mereka sendiri. Mereka mula merasakan semangat sebagai sebahagian dari bangsa mereka, tidak lagi sebagai Umat Islam dan inilah titik mulanya kejatuhan Khilafah Islam.

Kemudiannya, ketika Perang Dunia Pertama, bangsa Arab telah bersekongkol dengan British dan Perancis dan melancarkan revolusi ke atas Khilafah Uthmaniyyah. Mereka kemudiannya 'bebas' dari Khilafah Islam dan dijajah oleh British dan Perancis yang belot ke atas mereka.

Khalifah Abdul Hameed tidak melupakan pembangunan Negaranya. Beliau membina banyak institusi dan perkhidmatan kepada rakyat. Tentera Uthmaniyyah bukanlah selemah yang dipropagandakan oleh musuh ('Orang Sakit Eropah'?). Artileri Kerajaan Islam Uthmaniyyah merupakan yang paling kuat di dunia. Tentera Lautnya pula tersusun rapi dan diakui yang ketiga terkuat selepas British dan Perancis. Banyak industri seperti persenjataan, penenunan dan sebagainya dimulakan. Sistem jalanraya diperbaharui dan pelabuhan-pelabuhan dibesarkan. Sebelum Perang Dunia Pertama, Mesir, Iraq dan Syria mempunyai leebih 1300 suratkhabar dan majalah.

Pada suatu ketika kelihatan seperti 'Orang Sakit Eropah' akan bangkit semula, tetapi kuasa-kuasa Barat tidak mungkin membiarkan kesatuan Ummah ini berterusan. Penduduk minoriti bukan Islam di dalam Kerajaan Islam digunakan oleh mereka untuk mencetuskan ketidaksatabilan dan kekecohan. Barat sentiasa mahu campur-tangan dalam urusan dalaman Kerajaan Islam atas alasan 'membela minorit Kristian'. Mereka juga memulakan kempen pendakyahan Kristian di dunia Islam dengan membina sekolah-sekolah Kristian dan gereja-gereja (buktinya ada di depan mata kita). Matlamat utama mereka adalah untuk menjauhkan umat Islam daripada Islam yang sebenar dan melibatkan mereka dengan tabiat sosial dan pemikiran yang tidak Islamik. Media-media cetak juga ditubuhkan untuk tujuan yang sama (kini dikenali sebagai URTV dan sebagainya), meracuni pemikiran umat Islam dan mengembangkan idea-idea songsang di kalangan mereka. Barat juga menyusahkan Kerajaan Islam dengan menggunakan penduduk minoriti. Mereka menggalakkan dan membiayai revolusi Armenia menentang Kerajaan Islam. England membantu puak Druze tang sesat manakala Perancis menolong 'Maronites' di Lebanon dan kedua pihat ini terlibat dalam peperangan yang terpaksa diselesaikan oleh tentera Islam. Pada satu ketika tentera Islam terpaksa menenangkan umat Islam di Damsyik dari membunuh seluruh penduduk Kristian. Era tersebut penuh dengan konspirasi dari pelbagai arah yang dirancang oleh Barat dan terpaksa dihadapi oleh Khalifah Abdul Hameed dan lain-lain umat Islam yang masih jelas pendirian mereka.

Adalah penting juga untuk kita lihat kedudukan kewangan Kerajaan Islam Uthmaniyyah ketika itu. Ketika Khalifah Abdul Hameed dilantik sebagai Khalifah, hutang Kerajaan Islam adalah 2.528 Juta Lira Emas Uthmaniyyah. Ketika beliau dijatuhkan, hutang tersebut hanya tinggal 106 Juta Lira. Beliau berjaya menurunkan hutang sehingga 1/20 daripada jumlah asalnya. 'Turki Muda' yang berkuasa selepas itu 'berjaya' menaikkan hutang Turki sebanyak 1300%. Melihatkan kejayaan Khalifah Abdul Hameed membayar hutang-hutang tersebut, jangan disangka beliau tidak membangunkan negara. Beliau membina talian-talian Fax di antara Yaman, Hijaz, Syria, Iraq dan Turki. Kemudian beliau menghubungkannya ke talian Fax Iran dan India. Beliau berjaya mendapatkan balik kos projek tersebut dalam masa 2 tahun kerana kemudahan yang disediakan itu mendapat sambutan hangat terutamanya oleh para jemaah haji.

Khalifah Abdul Hameed menyedari bahawa satu-satunya harapan bagi umat Islam adalah Kesatuan Ummah yang jitu. Khalifah Abdul Hameed menyedari bahawa kuasa-kuasa kuffar Barat cuba memecah-belahkan Negara Islam dan kemudiannya menguasai setiap satu secara berasingan. Kesatuan Ummah diperlukan. Beliau mula menyedarkan ummah tentang konsep Khalifah Uthmaniyyah sebagai pemimpin seluruh dunia Islam (ramai yang telah lupa ketika itu). Umat Islam di India berjaya difahamkan dan ini menimbulkan masalah kepada British. Kesan yang sama berjaya diwujudkan dengan umat Islam Rusia dan di selatan USSR. Rusia juga merasa tertekan. Pada ketika itu, Khalifah Abdul Hameed, menurut catatan hariannya, merasa tertekan. Beliau memulakan kerjasama dengan Jerman tetapi kemudian sedar bahawa Jerman juga mahukan sebahagian dari Negara Islam. Beliau merasakan 'Perang Besar' semakin hampir dan pihak yang berperang inginkan bahagian-bahagian Negara Islam.

Khalifah Abdul Hameed memerlukan sesuatu yang besar, yang kuat, sesuatu yang dapat membangkitkan Kesatuan Ummah di hati-hati umat Islam sedunia. Antara lain, usaha beliau adalah pembinaan Jalan Keretapi Hijaz (1900). Jalan Keretapi berkenaan adalah dari Damsyik ke Madinah dan dari Aqaba ke Maan. Ia menjadi simbol Kesatuan Islam. Setiap umat Islam yang pergi menunaikan haji merasai bagaimana Khalifah berusaha menyatukan mereka. Ia juga berfungsi sebagai cara yang pantas menghantar unit-unit tentera. Khalifah Abdul Hameed juga berusaha melancarkan kempen Kesatuan Ummah di selatan Rusia, India, Pakistan dan Afrika. Beliau mula menjemput ulama'-ulama' Islam dari Indonesia, Afrika dan India ke Negara Islam Uthmaniyyah. Beliau juga memulakan program pembinaan masjid dan institusi-instutsi Islam di serata dunia Islam.

Kuasa-kuasa Barat pula telah bertindak menghimpit dunia Islam. Tunisia melancarkan revolusi ke atas Khilafah Uthmaniyah pada 1877. Perancis menduduki Tunisia pada 1881 (lihat taktik mereka). Britain menduduki Mesir pada 1882. Belanda menduduki Indonesia. Rusia menduduki Asia tengah. Britain menguatkan kedudukannya di India dan Sudan (juga Tanah Melayu).

Akhirnya, pada hari Selasa, 27 April 1909, 240 ahli Senat Kerajaan Uthmaniyyah bersetuju atas tekanan kuat 'Turki Muda Kebangsaan' untuk menyingkirkan Khalifah Abdul Hameed. Senator Sheikh Hamdi Afandi Mali telah menulis fatwa menyingkiran tersebut. Pihat Senat meluluskannya. Terjemahan Fatwa tersebut adalah seperti berikut:

    "Sekiranya pemimpin umat Islam mengambil isu-isu agama yang penting dari buku-buku perundangan dan mengumpulkan buku-buku tersebut, membazirkan wang Negara dan terlibat dengan perjanjian yang bertentangan dengan Hukum Islam, membunuh, menangkap, membuang negeri, rakyat tanpa apa-apa sebab, maka berjanjilah untuk tidak melakukannya lagi dan masih kelakukannya untuk memeritkan keadaan umat Islam di seluruh dunia Islam maka pemimpin ini hendaklah disingkirkan dari jawatannya. Sekiranya penyingkirannya akan membawa keadaan yang lebih baik daripada beliau terus kekal, maka beliau mempunyai pilihan samada meletakkan jawatan ataupun disingkirkan dari jawatan"

    Sheikhul Islam Muhammad Dia' Aldin Afandi

Fatwa ini sangat aneh dan sesiapapun boleh melihat bahawa syarat-syarat yang dinyatakan di dalamnya tidak berkaitan dengan perbuatan dan tindakan Khalifah Abdul Hameed langsung. Selepas itu Ketua Jemaah Menteri, Tawfiq Pasha telah diminta menyampai keputusan itu kepada Khalifah Abdul Hameed. Beliau enggan. Maka mereka menghantar sekumpulan 4 orang; Aref Hikmat, Aram Afandi (bangsa Armenia), As'ad Tobatani dan Emanuel Qrasow (Yahudi). Ketika memasuki pejabat beliau, mereka melihat beliau sedang berdiri dengan tenang. Aref Hikmat membacakan Fatwa tersebut kepadanya, kemudian As'ad Tobatani mara dan berkata, "Ummah ini telah menyingkirkan kau dari jawatan Khalifah." Khalifah Abdul Hameed berkata dengan kemarahan, "Ummah ini telah menyingkirkanku dari jawatanku, tidak mengapa...tetapi kenapa kamu membawa Yahudi ke dalam Pejabat Khalifah?" dan beliau menuding ke arah Qrasow. Jelas sekali Yahudi membalas dendam atas penolakan Khalifah Abdul Hameed untuk menjual Palestin kepada mereka dan mereka mahu menunjukkan bahawa mereka terlibat menjatuhkannya. Satu cabaran kepada maruah Khalifah Abdul Hameed dan cabaran kepada maruah Ummah ini, saya dan anda.

Setelah penyingkirannya, ramai penulis-penulis yang menyerang beliau dari sudut rasmi dan peribadi. Salah seorang dari mereka adalah John Haslib, bukunya "The Red Sultan" menjadi terkenal dan telah diterjemahkan kepada beberapa bahasa termasuk bahasa Arab dan Turki. Sebuah buku bahasa Turki "iki me vrin perde arkasi - yazan : nafiz tansu" oleh Ararat Yayinevi juga merupakan sebahagian dari propaganda yang cuba menunjukkan bahawa 'Turki Muda' telah menyelamatkan Kerajaan Islam Uthmaniyyah daripada kehancuran. Sebuah lagi oleh penulis Arab-Kristian yang terkenal, Georgy Zaydan, "Stories of the Islamic History - The Ottoman Revolution." Kesemua buku-buku ini adalah penipuan-penipuan yang ditulis oleh musuh-musuh Islam. Buku-buku ini menggambarkan Khalifah Abdul Hameed sebagai seorang yang tenggelam dalam kemewahan dunia seperti wanita dan arak, dan juga seorang pemerintah yang zalim ke atas musuh-musuh politiknya dan rakyatnya. Penipuan-penipuan ini tidak mungkin tertegak kerana kebenaran akan sentiasa terbukti.

Selepas Khalifah Abdul Hameed, muncullah beberapa pemimpin yang lemah. Mereka tidak mampu memerintah dan hilang kuasa mereka dengan mudah. Seperti yang dijangkakan oleh Khalifah Abdul Hameed, Peperangan Dunia Pertama meletus dan Bumi Islam Kerajaan Uthmaniyyah dipecahkan. Orang-orang Arab bangkit menentang Khalifah di Hijaz dengan bantuan Bristish dan Perancis untuk 'bebas' dibawah penjajahan 'penolong-penolong' mereka. Bumi Islam Palestin diserahkan kepada Yahudi. Kalaulah mereka mendengar nasihat Khalifah Abdul Hameed.

'Turki Muda Kebangsaan' mengambil-alih kuasa dan Mustafa Kamal Ataturk membatalkan Khilafah Islam pada 1924. Buat pertama kalinya dalam sejarah umat Islam, kepimpinan Islam yang bersatu sejak zaman Rasulullah SAW dan para Sahabat, hilang. Perang Salib berakhir dengan kemenangan bagi Barat.

Ayuh bangunlah wahai anak muda Islam, jangan biarkan diri terus dibelengu nafsu dan membiarkan Islam dipijak di depan mata..

ana ambik dari link: http://www.geocities.com/PicketFence/3131/ahameed.htm

Wednesday, April 8, 2009

Semakin Kejam

Bismillahirahmanirrahim...

Kita sering melihat tentang kejadian kejam yang berlaku diluar negara, lebih-lebih lagi dengan terjadinya pelbagai peristiwa yang berdarah di negara yang berlaku peperangan. Kita sering mengungkapkan tentang perikamanusiaan dan toleransi. Tetapi sedar atau tidak, perkara yang sama juga telah berlaku disekeliling kita. Buktinya, sudah 4 kes pembunuhan yang disiarkan di televisyen sepanjang minggu ini dan entah berapa lagi yang belum dilaporkan pada pihak berkuasa. Ini jelas membuktikan manusia kini sudah semakin rakus dan ganas dalam mengejar apa yang dikehendakinya.

Lihat sahaja kepada kes-kes yang melibatkan bunuh, liwat, rogol dan macam-macam lagi kes yang tiada hentinya. Apakah kita sudah kehilangan sifat kemanusiaan yang sentiasa kita laungkan selama ini, atau adakah kuasa dan pengaruh dapat membeli harga nyawa yang dilihat begitu murah sekali? Tidak cukupkah lagi dengan apa yang ada sehingga sanggup mengambil tugas malaikat maut sebagai pencabut nyawa? tidak sedarkah mereka tentang azab yang akan menimpa kepada mereka kerana mencabut nyawa yang haram dari sisi agama? dan dimanakah keadilan yang dicanang oleh pihak berkuasa selama ini?

Melihatkan kepada keadaan ini akan membuatkan kita terfikir tentang suruhan dan tuntutan agama yang menjadi pedoman kepada semua insan yang beriman. Kalulah kita fikirkan secara logik, kita akan dapat mengesan faktor terjadinya perkara ini dan semua ini berkaitan dengan pegangan agama yang tulen iaitu Islam

HILANG PERTIMBANGAN

Memang manusia dilahirkan bersama nafsu yang sering berlegar menyesatkan kita. tetapi, nafsu adalah sesuatu perasaan yang boleh dikawal dengan adanya nilai iman dan taqwa kepada Allah swt. Pertimbangan yang waras serta tindakan yang tidak terburu-buru dalam menyelesaikan masalah mestilah menjadi priority kita dalam setiap permasalahan yang dihadapi. Bukankah Rasulullah telah memperlihatkan kita dengan akhlak Baginda yang bersinar apabila menghadapi sesuatu masalah? Rasulullah sentiasa tenang dan pastinya sentiasa meminta pertolongan dari Rabb yang Maha Kuasa. Ayuh manusia, ikutlah contoh insan tauladan ini, buangkan ego yang membusuk dihati, jangan biarkan emosi menguasai rasional kita.

MENOLAK HUKUM ALLAH

Setuju ataupun tidak, inilah faktor yang paling penting mengapa sikap ganas ini berlaku. Kita sering mengatakan hukum Allah ketinggalan zaman sedangkan Dialah yang menjadikan kita. Ada pula yang lebih jahil menyatakan hukum Allah itu kejam dan kuno,kononnya seperti berada dalam puak karnibal dan sebagainya. Belbagai tohmahan dan kritikan yang dilemparkan kepada hukuman Allah ini. tetapi mungkin kita sudah lupa bahawa hukuman ini asalnya daripada Allah dan ia dizahirkan dalam Al-Quran yang rata-rata bersetuju Al-Quran itu ikutan kita. Jadi siapakah yang kejam dan kuno kini? Kita hanya hambaNya yang serba lemah dan sentiasa kurang, jadi mengapa kita sering sombong dan sentiasa ego dengan undang-undang yang ireka sendiri oleh manusia? Inilah keputusan dan bencana yang diturunkan oleh Allah kepada ummatNya yang sentiasa lupa dan alpha kepada rahmatNya. So, apa tunggu lagi? jom kita pastikan hukum Allah ini tetegak diatas muka bumi ini.

Igatlah wahai manusia, Allah tidak akan melepaskan sesiapa walau sebesar zarah sekalipun dosa yang pernah dilakukan kerana Allah itu maha adil lagi maha mengetahui. Tetapi kita juga perlu tahu yang Allah juga maha pengampun kepada orang yang mahu bertaubat. Jadi pintu taubat tidak pernah tertutup dan masih terbuka spenuhnya. Marilah kita kembali kepada rahmat dan redha Allah untuk mendapat hidup yang sejahtera didunia dan diakhirat...

Wallahualam...

Friday, March 13, 2009

Melebihi batas

Ketika ada tetamu datang ke rumahnya, baginda sendiri yang melayan tetamu itu, meskipun sahabat memohon memberi pertolongan kepadanya, baginda bersabda "aku ingin menhormati tetamuku sendiri"

dalam majlis yang diadakan baginda duduk di tempat kosong , tidak mengambil tempat yang perlu diistimewakan. Baginda bersabda:"wahai kalian semua, janganlah kalian mengangkat aku mlebihi batas kedudukanku, Allah telah mengambil aku sebagai hambaNya sebelum mengambil aku sebagai nabi dan rasulNya.

apabila baginda berjalan bersama sahabatnya sering baginda dibelakang mereka, tidak minta untuk diiringi. Baginda bersabda:"biarlah dibelakangku ada malaikat yang mengikuti".

baginda selalu memenuhi undangan orang dari pelbagai macam suku, tidak pernah menolak atau berasa hina bila diundang oleh orang miskin, orang lemah atau orang kuat. Baginda memakai pakaian biasa yang dipakai para shabatnya. Baginda selalu membalas hadiah yang diterimanya sebagai terima kasih meskipun hanya ada seteguk air dan sebiji kurma.

apabila bergurau senda, baginda selalu menggunakan kata-kata yang benar dan ketawa dengan senyuman.

baginda dengan teliti mendengar pengaduan umum dan menyelesaikan perkara mereka. Baginda sangat penyayang kepada setiap orang muslim dan sangat lembut hati.

DIMANA KITA???

setelah membaca perkara diatas sudah tentu kita terfikir begitu indahnya akhlak manusia termulia Nabi Muhammad saw. Tetapi adakah kita terfikir dimanakah letaknya Akhlak kita selama ini? adakah selandasan dengan sunnah yang ditunjukkan oleh Allah ataupun hanya sekadar berpuas hati dengan akhlak yang ala kadar..

Nabi Muhammad saw telah meniggalkan kita semua cara dan sunnah untuk kita ikuti supaya menjadi ummah yang terbaik dikalangan yang terbaik. Jadi seharusnya kita semue mesti berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah..

contohilah Akhlak Rasulullah yang sentiasa besederhana dan meraikan seua orang walaupun Baginda seorang pemimpin yang disegani semua. itulah yang perlu kita semua ikuti walaupun kita seorang pemimpin tertinggi mahupunseorang pengikut, kerana semua manusia sama disisi Allah dan yang membezakan mereka adalah tingkatan darjat taqwa kepada ALLAH..

wallahualam....