Pages

Monday, June 8, 2009

SIFAT-SIFAT TARBIYYAH

Proses tarbiyyah yang dijalankan oleh Rasulullah saw adalah merupakan suatu proses yang Rabbani seperti firman Allah swt:

‘ Dan demi bintang ketika terbenam, kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru; dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).’

(An-Najm:1-4)

Oleh itu, segala perencanaan serta bahan tarbiyyah mestilah dirumuskan dari Al-Quran dan As-Sunnah.

Di sepanjang perjuangan baginda rasulullah saw, sistem tarbiyyah yang dibawanya sentiasa menekankan persoalan pokok iaitu Aqidah manusia. Kerap kali sifat-sifat Allah swt diterangkan di dalam Al-Quran untuk mengingatkan manusia tentang perhubungan mereka denganNya, kerana tanpa hubungan ini, sia-sialah amalan mereka.

a) Sistem tarbiyyah yang digariskan Allah swt dan Rasulullah saw adalah syumul iaitu bersifat menyeluruh, merangkumi segala aspek amalan-amalan yang membolehkan kita mencapai keredhaan Allah swt. Firman Allah swt:

‘Hai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.’

(Al-baqarah: 208)

Antara ciri tarbiyyah yang syumul ialah keseimbangan dalam mentarbiyyahkan manusia dan kemampuan jamaah Islam untuk meletakkan manusia di tempat mereka masing-masing serta membuat pengisian fikrah dan ilmu yang sepatutnya. Oleh kerana itu, jemaah Islam hendaklah melaksanakan pentarbiyyahan yang tersusun terhadap orang awam yang berada di luar jamaah. Dalam kesibukan Jemaah Islam membentuk ahli-ahli dan pendukungnya janganlah sampai mengabaikan pentarbiyyahan ummah keseluruhannya. Semasa Rasulullah saw telah berjaya membentuk saf yang padu di kalangan kaum Ansar dan Muhajirin di Madinah, baginda tidak mengabaikan aspek pentarbiyyahan bagi penduduk di luar M.adinah. Baginda telah menghantar para sahabat utk mewakili tugas pentarbiyyahan Rasulullah dgn menghantar mereka ke tempat-tempat yang jauh seperti Yaman dan Bahrin sehinggakan ada di kalangan mereka yang terbunuh dan dikhianati seperti di Biir Ma’unah dan di Raji’. Jemaah juga tidak boleh mengabaikan usaha-usaha untuk mentarbiyyah ahlinya dalam keghairahan untuk mendapatkan ahli-ahli baru (penyokong). Kesyumulan tarbiyyah dapat dilahirkan melalui kemampuan jamaah melahirkan ahli-ali yang dapat menjiwai kedua-dua sifat utama seorang daie iaitu mas’uliyah fardiyyah dan kemampuan untuk melakukan ‘amal jama’i.

Dengan mas’uliyyah fardiyyah ini seseorang ahli dapat berperanan sebagai seorang da’ie pada setiap masa dan dalam semua keadaan. Da’ie memiliki deria dakwah di mana walaupun dalam keadaan berseorangan beliau mampu melakukan dakwah. Kemampuannya untuk berdakwah tidak bergantung kepada tanzim malah setiap ahli mestilah mampu melaksanakan dakwah menurut inisiatifnya sendiri.

Dengan kemampuan ahli melakukan ‘amal jamai yang baik, mereka akan menjadi ahli-ahli yang tidak mengambil keputusan sendiri terhadap perkara-perkara yang menjejaskan tanzim, sentiasa bermusyawarah dengan qiyadah dan ahli-ahli yang lain, tidak membuat sesuatu di luar dasar-dasar tanzim serta dapat menyesuaikan ‘amalannya dengan amalan ikhwah lain dalam tanzim.

b) Proses perlaksanaan tarbiyyah mestilah dijalankan mengikut kemampuan para du’at dan mad’u. Al-Quran sendiri telah Allah turunkan peringkat-demi peringkat seperti firmanNya:

‘ Dan Al-Quran itu kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami turunkan bahagian demi bahagian.’

(Al-Isra’: 106)

c) Bahan tarbiyyah juga hendaklah mempunyai sifat tawazzun iaitu seimbang. Rasulullah lebih menyukai amalan yang sedikit yang dilakukan dengan istiqamah daripada amalan yang banyak tetapi dilakukan tidak secara konsisten. Tersebut di dalam sebuah hadis, Aisyah ra berkata: Ketika nabi masuk ke rumah kami, bertepatan ada seorang wanita. Nabi saw bertanya: Siapakah wanita ini? Jawab Aisyah ra: Ini Fulanah yang terkenal dengan ibadat sembahyang yang banyak sekali. Maka sabda Nabi saw: “ (Dgn kata yang kurang senang) Hendaklah kerjakan semampumu, dengan tidak memaksa diri, maka Allah tidak akan jemu menerima amalan sehingga kamu jemu beramal. Dan kelakuan agama yang lebih disukai Allah swt ialah yang dapat dikerjakan secara terus menerus.” (Bukhari dan Muslim)

Hasil dari sistem tarbiyyah yang rabbani inilah lahirnya para sahabat ra yang menghayati cara hidup Islam yang lengkap. Peribadi mereka yang agung serta amalan yang seimbang menjadikan mereka digelar “pejuang di siang hari dan rahib di malam hari” serta “jil al-Quran al-Farid” oleh Syed Qutb. Dalam pada itu, program tarbiyyah yang seimbang semestinya didorong oleh keimanan, maka amalan seperti rehlah, tahajjud, riyadah dan sebagainya tidak boleh lari dari mempunyai ciri-ciri keimanan.

0 comments: