Pages

Sunday, January 10, 2010

Penggunaan kalimah "Allah"

Penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja Katholik menggunapakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al-Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al-Quran.

Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Apa yang perlu difahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab? Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini? Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat Islam di serata dunia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (Surah az-Zumar: 38)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui". (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (Surah az-Zukhruf: 87)

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).

Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu "berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An'am: 108)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Wallahua’alam.

7 Januari 2010

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=24114:penggunaan-kalimah-allah&catid=83:presiden&Itemid=127

Wednesday, January 6, 2010

Aduh, Lemahnya diri!!!

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”(Al-Baqarah:214)

Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah kepada insan yang sanggup menggadaikan harta dan jiwa mereka seluruhnya kedalam jalan Allah ini. Sesungguhnya ujian dan halangan yang disediakan oleh Allah ini menjadi satu keuntungan yang hanya diberikan kepada hambanya yang beriman dan sentiasa istiqamah dijalanNya.

Tetapi sebagai seorang manusia yang lemah dan memerlukan pertolongan dariNya, iman kita akan sentiasa berada dalam keadaan menaik dan menurun, jesteru kita juga pasti akan merasa lemah dengan perbuatan diri sendiri, sentiasa terasa ingin berputus asa dan ingin meloloskan diri daripada terjahan berat amanah yang tidak akan berhenti menerjah kita sehingga roh kita meninggalkan jasad.

Namun, percayalah wahai sahabatku sekalian, Allah tidak pernah mempersiakan usaha dan pengorbanan hambaNya yang ikhlas beriman dan berjihad pada jalanNya. Walaupun mungkin kita tidak akan melihat hasilnya ketika masih berjuang didunia ini tetapi diakhirat kelak pastinya kita akan dinanti dengan seribu macam nikmat yang telah dijanjikan oleh Allah kepada para pejuang agamaNya. Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah Telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu Telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang Telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar”(Al-Taubah:111).

Dan ingatlah, bahawa didalam ujian Allah itu terselindung bermacam-macam hikmah yang perlu kita terokai untuk mewujudkan rasa syukur dan tawaddu’ ketika berhadapan dengan Allah. Firman Allah:

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui”(Al-Baqarah:216)

Ayuhlah sahabatku sekalian, kita rapatkan saff, luruskan tujuan dan pautkanlah ukhuwah dengan hati yang bersandarkan satu aqidah. Semoga penat lelah dan kesakitan yang telah dan akan kita hadapi ini mengiringi kita ketika berjumpa dengan Allah nanti dan seterusnya menjadi bukti untuk melayakkan kita menerima syurga Allah swt. INSYAALLAH

Monday, January 4, 2010

Elokkan hubungan dengan Al-Quran

“Kalau sekiranya kami turunkan Al-Quran Ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. dan perumpamaan-perumpamaan itu kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.”
(surah Al-Hasyr:21)

Al-Quran adalah kitab suci yang turun daripada Allah swt. Al-Quran juga wajib dijadikan petunjuk dan ikutan buat kita umat Islam. Didalam ayat diatas Allah menceritakan tentang kehebatan dan keagungan Al-Quran disisi makhluk yang diciptakan oleh Allah swt.

Tetapi kini, Al-Quran semakin dilupakan. Kitab ini hanya dijadikan bacaan pada majlis-majlis rasmi yang tertentu sahaja. Ia juga hanyalah dimiliki untuk mencukupkan syarat sebagai umat Islam dan seterusnya disimpan didalam almari atau dibungkus didalam kain untuk disimpan atau dipamerkan menjadi hiasan. Jarang sudah kita mendengar alunan ayat suci ini berkumandang dirumah-rumah ataupun ditempat-tempat awam. Seperti suatu kepelikkan sekiranya melihat orang yang memegang Al-Quran ditampat awam, apatah lagi mengalunkan bacaannya.

NADI KEKUATAN

Sedangkan Al-Quran adalah nadi kekuatan umat Islam. Didalamnya terdapat pelbagai ayat yang memberikan ransangan dan semangat kepada umat Islam khususnya. Banyak pengajaran dan tauladan yang terkandung didalam setiap ayat suci tersebut.

Ia juga menceritakan tentang kesusahan dan cabaran yang sentiasa dihadapi oleh umat terdahulu agar umat Islam kini lebih berhati-hati dalam melakukan apa jua perbuatan dan tindakkan.

Kitab ini juga mampu menambahkan keimanan diri kita kepada Allah swt. Firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan Hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal”.(Al-Anfaal:2)

Sekiranya kita membaca Al-Quran dan memberikan sepenuh penghayatan, nescaya akan meningkatlah iman kita dan pasti hati kita akan gementar pada setiap kali disebutkan nama Allah.

PEMBERSIH HATI

Al-Quran boleh diibaratkan seperti air yang dituangkan kedalam bekas kotor yang berlubang. Walaupun air tersebut tidak akan memenuhi bekas yang berlubang itu, tetapi ia pasti akan membersihkan kotoran didalam bekas tersebut.

Begitulah Al-Quran, walaupun ada dikalangan kita yang hanya membaca tanpa mengetahui intipatinya yang sebenar, tetapi ia akan tetap mengalir kedalam hati dan membersihkannya. Jadi tiada ruginya menjadikan bacaan Al-Quran sebagai rutin harian kita.

Jesteru sahabat semua, ayuh kita meneruskan dakwah ini dengan berbekalkan AlQuran sebagai panduan. Rapatkan diri kita dengan Al-Quran, nescaya Allah akan memudahkan setiap perbuatan yang akan kita lakukan…



.

Sunday, January 3, 2010

Amanah dalam dakwah



Dalam melahirkan insan dakwah yang unggul dan sempurna, kita tidak akan lari dari membincangkan perihal amanah yang perlu digalas oleh setiap pendakwah. Amanah Seperti didalam Al-quran yang mengisahkan gunung yang hancur apabila diberikan amanah, tetapi manusia mengambil aia sebagai suatu yang sambil lewa dan tidak penting.

SIFAT WAJIB SETIAP PENDAKWAH

Para pendakwah wajib mempunyai sifat amanah ini. Ini kerana beban tanggungan yang berat terhadap tanggungjawab untuk menyebarkan agama Islam ini tergalas diatas bahu mereka. Selaku insan yang dipilih oleh Allah untuk menjadi duta dalam menyebarkan ajaran Islam, mahu atau tidak amanah yang ditaklifkan oleh Allah haruslah dipikul dan dilaksanakan dengan baik.

Jangan mengambil ringan tentang kepentingan menjaga amanah ketika melaksanakan dakwah. Lihat sahaja berapa ramai pendakwah yang sentisa leka dalam menjalankan dakwah. Mereka bukan sahaja tidak melaksanakan dakwah, tetapi menceritakan keburukan kepada ajaran Islam.

jangan berhenti menyebarkan dakwah, kerana amanah ini masih belum selesai, dan seharusnya dakwah ini berterusan menjadi agenda utama dalam hidup supaya pendakwah tidak akan leka dan merasakan tanggungjawab dakwah itu sesuatu yang wajib dan perlu dilaksanakan sebaik yang mungkin.

Ingatlah, walaupun kita akan merasa terbeban dengan amanah ini, tetapi ia akan menjadi keseronokan didalam jiwa kita kerana amal dan amanah yang kita lakukan dengan ikhlas ini hanya layak dibalas oleh Allah swt.

Pohonlah kepada Allah untuk memberikan kita kekuatan dan sahabat yang baik untuk memastikan diri kita sentiasa istiqamah dalam melakukan amanah yang cukup berat ini. InsyaAllah jika redha Allah yang kita inginkan, nescaya Allah akan meredhai diri kita dan memberikan ganjaran untuk kita mengecapi nikmat syurga yang kekal abadi..

Friday, January 1, 2010

INDAHNYA

INDAHNYA HATI

Indahnya hati jika ia sentiasa diisi dengan zikrullah,
Indahnya hati jika sentiasa mendamba cinta ilahi.
Indahnya hati jika sentiasa dekat dengan Allah,
Bertambah indahnya hati jika sentiasa mengingati MATI.

Hati adalah perkara pokok yang tidak dapat dipisahkan daripada diri setiap manusia. Hati adalah cerminan batin yang akan mempengaruhi keadaan zahir seseorang itu. Rasulullah bersabda:

“Didalam tubuh manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuh, jika buruk daging itu maka buruklah seluruhnya, ketahuilah ia adalah hati”

Didalam hadith tersebut Rasulullah menjelaskan tentang peranan dan kepentingan hati dalam membentuk seorang insan yang kamil.

MENJAGA HATI

Hati boleh diibaratkan seperti barang yang cantik dan berharga, walaupun barang itu mempunyai harga yang mahal, jika si pemilik tidak mampu untuk istiqamah menjaga kecantikannya, maka ia akan beransur-ansur menjadi buruk dan lama kelamaan semakin tidak bernilai. Tetapi jika pemiliknya seorang yang istiqamah, nescaya barangan itu akan semakin cantik dan kemungkinan harganya juga akan melambung tinggi.

Begitulah hati, ia perlu digilap dengan taqwa, disuap dengan zikrullah dan dididik dengan sifat-sifat mahmudah. Bukan mudah untuk mendapat hati yang indah dan manis, tetapi ianya bukanlah sesuatu yang mustahil.

Buangkan segala sifat dengki, khianat, hasad, sombong, takjub dan segala jenis perasaan yang akan memanah hati sendiri. Tanamkan sifat-sifat mahmudah yang mendorong kita mendidik hati.

“Mintalah Allah membersihkan hatimu, jika tidak berkesan, maka mintalah Allah menukarkan hatimu dengan yang baru dan bermulalah semula”

Wednesday, December 30, 2009

SYUKUR

Bismillahirahmanirrahim..

Firman Allah:

Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, Maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudharatan, Maka Hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan.Kemudian apabila dia Telah menghilangkan kemudharatan itu dari pada kamu, tiba-tiba sebahagian dari pada kamu mempersekutukan Tuhannya dengan (yang lain), (Surah Al-Nahl: 53-54)

Maha suci Allah, yang sangat berkuasa memberikan mudharat dan menghilangkan mudharat itu dari diri makhluknya. Didalam ayat diatas Allah menceritakan keindahan kekuasaan Allah yang berhak secara TOTAL” ke atas makhluk ciptaaNya. Allah berhak memberikan ni’mat , tetapi Allah juga berhak menarik kembali ni’mat yg telah dikurniakanNya.

Tetapi sangat malang keadaan manusia zaman ini, mereka telah hilang satu perkara yang sangat berharga dan bernilai disisi Allah iaitu sifat syukur dan menyerah diri kepada ketentuan Allah.

SYUKUR

Mungkin mudah untuk menuturkan lafaz syukur dibibir tetapi hakikat yang perlu dihadapi untuk kalmah syukur itu suatu perkara yang cukup berbeza. Betullah kata-kata “medan bercakap tidak akan sama dengan medan beramal”.

Andai kita diberi hadiah atau anugerah dari seseorang, nescaya kita akan menghormati mereka dan berterima kasih diatas pemberian mereka. Tetapi mengapa dengan Allah, tuhan yang telah mencipta kita, dan memberikan segala nikmat yang tidak terhitung kira oleh akal, kita tidak pernah bersyukur kepada pemberianNya.

Syukur kepada Allah menuntut kita untuk mengabdikan diri kepadaNya, menyerahkan segala yang ada untuk agamaNya. Dan sanggup berkorban kerana membuktikan syukur yang tinggi kepada nikmat Allah. Ketahuilah bahawa nafas yang masih mampu untuk kita sedut ini adalah nikmat yang diberikan oleh Allah tanpa henti-henti.

Lihatlah kisah Rasulullah ketika mana ditanya tentang kakinya yang lebam kerana beribadat, walaupun sudah dijanjikan syurga oleh Allah, baginda menjawab “salahkah aku ingin menjadi hamba yang bersyukur?”

Ada juga diantara kita yang bersyukur hanya kerana diberikan ni’mat tetapi setelah ditimpa musibah, hilang keupayaan untuk bangkit semula dan makin jauh dari Allah. Sebenarnya musibah yang melanda juga satu ni’mat yang hanya dikurniakan kepada hambaNya yang terpilih sahaja. Sebab itu kita lihat ulama’ dulu cukup resah apabila tidak ditimpa ujian atau musibah kerana bagi mereka apabila ditimpa ujian, itu membuktikan bahawa Allah masih menyayangi mereka.

Lalu sahabat-sahabat yang mulia, mari kita lihat kembali tentang nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Apakah kita masih tidak mahu bersyukur lagi? Cuba fikirkan dan bermulalah untuk berubah.

Tuesday, December 1, 2009

PENGORBANAN

Pengorbanan adalah satu kewajipan yang perlu ada dalam diri seorang pejuang. Tidak akan lahir jihad tanpa diiringi oleh pengorbanan yang menuntut para pejuang menggadaikan seluruh kehendak duniawi untuk mencapai tingkatan jual beli yang dinyatakan oleh Allah dalam Al-quran:

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?, (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui.(surah as-saff:10-11)

Inilah diantara ayat yang menganjurkan kita berjuang dengan berkorban segala-galanya demi untuk memenuhi tanggungjawab jihad untuk menegakkan kalimah tauhid di muka bumi ini.

PENGORBANAN NABI IBRAHIM DAN NABI ISMAIL


Mari kita renung kembali sirah pengorbanan nabi Allah Ibrahim a.s. semasa diperintahkan oleh Allah melalui mimpi untuk menyembelih anak kandung baginda nabi Allah Ismail a.s.

Ketaatan serta kepatuhan mereka ini wajar dijadikan contoh tauladan kepada para pendokong dakwah diseluruh dunia agar jiwa yang cintakan pengorbanan terbit dari hati yang dahagakan kasih sayang dan ganjaran yang baik dari Allah s.w.t.


PENGORBANAN YANG DITUNTUT

Setiap orang yang meredhai Allah menjadi Tuhan mereka dan Islam menjadi agama mereka, maka mereka dituntut untuk memberi sumbangan dan pengorbanan.

Setiap orang yang bernazar kepada dirinya dan berjanji kepada tuhannya untuk bekerja dan berjihad kejalan Allah perlulah memahami hakikat pengorbanan yang diperlukan untuk mereliasasikan perjuangan ini.

Abu Bakar membelanjakan kesemua hartanya sehingga Rasulullah bertanya kepadanya: “apa yang kamu tinggalkan untuk anak kamu?” Beliau menjawab : “aku tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya”

Mus’ab seorang pemuda yang hartawan dan agak manj, menyumbangkan segala apa yang dimiliki dan terus menerus menjadi model pengorbanan bagi golongan remaja masakini.

JANGAN TAKUT BERKORBAN

Firman Allah:

Sesungguhnya Allah Telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu Telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang Telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar.(surah Al-Taubah:111)

Inilah janji yang telah Allah berikan kepada semua pemuda yang mencintai perjuangan ini. Jangan takut untuk bekorban kerana Allahlah yang akan membalas semua pengorbanan yang kita curahkan kepada perjuangan ini. Kalau kita menang itulah rahmat yang palling besar dan jika kita tumbang didalam perjuangan, nescaya itulah kemenangan untuk kita selamanya.

Bayangkan jika pengorbanan kita ini diterima oleh Allah walaupun sekecil zarah. Nescaya beruntunglah kita ketika berada dihadapan Allah kelak. Jangan hanya berbicara tentang pengorbanan tetapi ianya perlulah seiring dengan perbuatan yang kita lakukan.