Pages

Thursday, April 22, 2010

Ayuh Bersatu


Ketika Saidina Ali mengetuai kerajaan Islam, ramai kumpulan-kumpulan orang Islam yang keluar dari pemerintahannya kerana merasakan kepimpinan beliau tidak betul dan salah. Suatu hari seorang sahabatnya bertanyakan soalan tentang golongan tersebut.

“ya Amirul Mukminin kafirkah mereka?”

“tidak, kerana mereka mengucap kalimah tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah, sedangkan orang kafir mendustakannya”

“munafikkah mereka?”

“tidak, kerana mereka mendirikan solat, sedangkan orang yang munafik mendirikan solat dalam keadaan yang malas”

“maka siapakah mereka?”

“mereka itu saudara kita, Cuma mereka bukan sekumpulan dengan kita. Hadapilah mereka jika mereka menyerang kita, tetapi berpalinglah dari mereka jika mereka tidak mengganggu kita.

MasyaAllah sangat indah kata-kata yang dilafazkan oleh Khulafa’ Al-Rasyidin yang terakhir ini. Kata-kata ini bagaikan satu penyelesaian diatas perbalahan yang berlaku didalam dunia Islam sekarang.

Berbilang-bilang Jamaah

Realiti perjuangan Islam di Malaysia ini banyak mendedahkan kita dengan situasi taadud jamaah,, jika dibilang, lebih dari sepuluh yang sudah didaftarkan samaada menjadi NGO ataupun parti politik. Itu belum termasuk jamaah yang tidak didaftarkan secara sah dengan kerajaan dan hanya bergerak dibawah tanah sahaja.

Biarlah banyak manapun jamaah yang ada hakikatnya kita semua mempunyai satu tujuan yang sangat besar, iaitu untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam diatas muka bumi ini.

Tetapi, kebelakangan ini kita sering terdengar tentang banyak berlaku pertelingkahan diantara jamaah sehingga fokus yang ditetapkan oleh setiap jamaah ditinggalkan kerana lebih banyak masa dan tenaga digunakan untuk memenangkan jamaah masing-masing dan bukannya memenangkan Islam.

Akhlak kita yang ditarbiyyah

Sebagai seorang ahli gerakan yang ditarbiyyah dengan sistematik dan mempunyai manhaj yang jelas, kita seharusnya faham dengan realiti ini dan seharusnya lebih matang dalam mengendalikan isu-isu sedemikian.

Bukankah Imam Hasan Al-Banna sudahpun berpesan kepada kita tentang perkara ini didalam arkanul baiah yang pertama iaitu al-fahmu (faham). Didalam penjelasannya, beliau banyak menyatukan hati-hati orang mukmin ini agar sentiasa berada pada landasan yang benar supaya pembaziran tenaga tidak berlaku kerana perbalahan yang timbul dek kerana hal-hal yang furu’ dan tidak meningkatkan amal.

Ukhuwah

Sesungguhnya darjat ukhuwah yang paling rendah adalah berlapang dada terhadap shabat lain dan tingkatan tertinggi adalah ithar, iaitu mengutamakan sahabat lebih dari diri sendiri.

Nah, cuba tanya kembali dimanakah darjat ukhuwah kita sesama Islam? Adakah masih ada didalam lingkungan ukhuwah yang dimaksudkan, ataupun sudah jauh lari kerana kepura-puraan.

Sikap taksub

Kadang-kadang kerana taksub terhadap jamaah menjadikan kita hilang punca dan arah tuju yang sebenarnya, adakah kita berintima’ didalam jamaah ini semata-mata kerana jamaah atau kerana ingin menegakkan agama Allah?

Betul, memilih jamaah yang terbaik perlu untuk kita merasa yakin didalam perjuangan ini, tetapi itu tidak bermaksud kita boleh sewenang-wenangnya mengatakan jamaah lain salah dan hanya jamaah kita sahaja yang betul.

Sebaliknya kita perlulah menyedari tentang peranan jamaah yang berbeza-beza. Hiduplah seperti satu tubuh yang saling lengkap melengkapi diantara satu dengan yang lain. Andai anggota lain hilang, maka ia akan menyulitkan pergerakan anggota yang lain.

Dalam naungan Mahabbah

Islam menganjurkan kita bersederhana didalam melakukan setiap perbuatan. Jangan terlalu melampau dan jangan pula terlalu sedikit melakukan amalan. Marilah bersatu didalam naungan rasa mahabbah dan kasih sayang. Andai kata ada yang silap, perlulah ditegur dengan penuh hikmah dan perlulah sentiasa siap untuk ditegur semula.

Jalan perjuangan ini memerlukan orang yang benar-benar ikhlas dan kita pasti tidak terlepas daripada tapisan Allah. Berjuanglah dimedan masing-masing, andaikata seorang rebah, maka papahlah ia bersama menuju ke destinasi.

Monday, April 19, 2010

Adab Memberi Nasihat

Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.”

Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Didalam hadith ke-7 dalam kitab hadith 40 yang telah disusun oleh Imam Nawawi ini, jelas telah digambarkan oleh Rasulullah tentang perihal pentingnya nasihat menasihati didalam perkara kebaikan. Nasihat juga digambarkan besarnya seperti sebuah agama Islam, menunjukkan bahawa Islam ini melingkari seluruh aspek kehidupan seharian kita.

Pengertian nasihat

Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut Rasulullah adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam bahasa arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.

Adab-adab memberi nasihat

1. Meluruskan niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan keatas nasihat yang ingin diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.

2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati. Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat

3. Bersih hati semasa menasihati. Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah,nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.

4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.

5. Memberi waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa diatas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.


Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain, adakah kita sudah melaksanakan amanah ini? Jangan jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati

Saturday, April 17, 2010

SYUKUR + SABAR

Bismillahirrahmanirahim

Dalam kesibukan diri melayani bahtera kehidupan ini, banyak dugaan dan cabaran yang telah kita temui, mungkin ada cabaran yang berjaya kita harungi, dan mungkin masih ada yang sebaliknya. Cuma hakikatnya, kita sebagai manusia memang tidak lepas dari menghadapi dugaan ini.

Para ulama’ dan ahli ibadah zaman dahulu mengklasifikasikan ujian yang diterima oleh seseorang itu adalah mahar yang akan dijadikan saksi ketika hari yang tiada saksi melainkan amalan yang soleh, ia juga dianggap sebagai sebuah nikmat kerana bagi mereka Allah masih menerima amalan dan masih melihat mereka.

Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?

SIFAT SYUKUR

Syukur adalah satu sifat yang sangat penting didalam diri seseorang, tanpa syukur, seorang manusia itu akan lupa daratan dan sentiasa merasakan diri merekalah yang sebenarnya sempurna dan berkuasa.

Lihat sahaja kepada contoh golongan yang tidak bersyukur yang telah dinukilkan oleh ALLAH dalam Al-Quran sebagai iktibar kepada hambanya,

Firaun dan pengikutnya

Firaun adalah seorang raja yang telah diberikan keistimewaan oleh Allah dengan tidak pernah jatuh sakit sepanjang hidupnya. Disamping itu juga, dia diberikan sebuah kerajaan yang sagat besar dan kuat iaitu kerajaan mesir ketika itu.

Tetapi malangnya, firaun menjadi sombong dan lupa diri. Olah kerana keistimewaanya itu, dia merasakan dirinyalah tuhan yang patut disembah, dia menyuruh, seluruh rakyatnya menyembah dirinya. Sehinggakan Allah mengutuskan nabi Musa a.s. untuk menjadi petunjuk keatas rakyat yang telah dizalimi tadi, dan Allah juga memberi balasan yang setimpal keatas perbuatan angkuh firaun itu dengan meneggelamkan dia di laut merah semasa cuba membunuh nabi Musa a.s.

Begitu juga yang terjadi keatas haman, perdana menteri yang dilantik ketika pemerintahan firaun, orang yang banyak menghabiskan duit rakyat dan sentiasa mengampu firaun dengan kata-kata manis untuk mengekalkan kedudukannya selaku perdana menteri orang yang kedua tertinggi dalam kerajaan firaun laknatullah.

Kisah Raja Namrud

Raja Namrud juga salah satu contoh manusia yang tidak bersyukur atas pemberian ilahi, bukan sahaja bersifat angkuh, tetapi mahu dibakarnya hidup-hidup batang tubuh nabi Ibrahima.s. yang diutuskan oleh Allah keatas kaum mereka. Namun dengan sifat kasih sayang Allah, api yang sepatutnya bersifat panas dan membakar menjadi dingin dan selamat untuk Ibrahim a.s. dan namrud pula akhirnya dimusnahkan dengan dihantar seekor nyamuk yang masuk kedalam kepalanya untuk memakan otaknya.

Nabi Ayub a.s. manusia yang paling sabar

Nabi Ayub dikurniakan kesempurnaan kehidupan oleh Allah. Beliau dikurniakan harta yang banyak dan keluarga yang bahagia, tetapi kuasa Allah lebih hebat apabila menguji beliau dengan menarik sedikit demi sedikit nikmat yang telah dikurniakanNya kepada nabi Ayub, bermula dengan harta yang semakin berkurangan, anak-anak yang meninggal dunia dan seterusnya dengan penyakit sopak yang menjijikkan.

Mengenai pelbagai ujian itu, Allah berfirman, maksudnya: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, ‘sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali’.”

Walaupun diuji dangan begitu hebat sekali, beliau masih tetap percaya Allah ada menyelitkan hikmah disebalik kedukaan ujian yang melandanya. Akhirnya dengan sifat kesempurnaan Allah, segala ujian yang diberikan digantikan semula dengan kegembiraan dan lebuh beruntung lagi nabi Ayub dinaikkan darjat sebagai orang yang bersabar diatas ujian yang menimpa.

Jesteru ayuh sahabat sekalian, majulah didalam menempuh ujian hidup ini, kerana ada sesuatu yang manis sedang menunggu kita. Ingatkan teman yang lain dan ingatkan diri kita sendiri. Moga Allah memberi taufiq keatas diri kita dan dikurniakan kejayaan diatas amalan yang dilakukan.

“ya Allah jangan Kau uji kami dangan ujian yang tidak tertanggung oleh kami, sesungguhnya kami hambaMu yang daif dan lemah”