Pages

Tuesday, September 27, 2011

Cahaya mata dalam kaca mata Islam: Kuliah Maghrib

Tempat : Surau Kg Beruas

Kitab : Keperibadian Muslim

Penceramah : Muhammad Irsyad Syafiq bin Burhanuddin

Dalam agama Islam, anak-anak atau cahaya mata diberi tempat yang istimewa dihati seorang ibu dan ayah yang soleh. Dalam Islam, cahaya mata ketika hidup digelar sebagai penyejuk mata seorang ayah dan ibu. Bagaimana mungkin tidak, bayangkan seseorang yang dalam keadaan yang tertekan dengan ujian yang melanda kehidupan pada hari-hari yang mendatang apabila melihat cahaya mata mereka bermain dengan penuh girang seolah-olah masalah yang menimpa mereka itu hilang dengan serta merta dan yang lebih menakjubkan timbul sebuah semangat yang mampu memotivasikan semula diri mereka sendiri.

Itulah nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada insan-insan yang terpilih untuk merasai lembutnya belaian dan bermanja dengan cahaya mata mereka yang menjadi penyejuk dimata dan penawar duka dihati mereka. Ketika dialam perhitungan nanti cahaya mata juga memainkan peranan penting kepada nasib seorang ibu dan bapa. Islam menyifatkan kehadiran anak-anak juga sebagai salah satu sebab untuk kita masuk ke syurga Allah atau mereka akan menjadi sebab untuk kita disiksa dineraka Allah kelak. sabda baginda Rasulullah:

“4 golongan yang akan menarik seseorang itu dari masuk kedalam syurga ialah:

1. Ibunya
2. Isteri-isterinya
3. Saudara perempuannya
4. Anak-anak perempuannya

Begitu jelas bahawa Islam sebagai agama fitrah sangat menitikberatkan persoalan mendidik cahaya mata dengan betul dan penuh kasih sayang.

Tanggungjawab pendidikan anak-anak

Seorang muslim yang sedar perlu menyediakan diri mereka untuk menunaikan hak yang paling utama kepada cahaya mata mereka iaitu memberikan mereka didikan yang sewajarnya agar mereka menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan agama kelak. Firman Allah

“wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah daripada manusia dan batu (At-Tahrim:6)

Ini adalah tanggungjawab kepada semua lapisan masyarakat yang dikurniakan kepada mereka rezeki zuriat supaya tidak meninggalkan mereka dari tanggungjawab yang telah diarahkan didalam Islam. Rasulullah juga diutuskan untuk memperbetulkan akhlak dan membimbing generasi seterusnya menjadi generasi yang mulia disisi Allah. Sabda Baginda:

“ hanyasanya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”

Salah satu dalil yang kuat yang menunjukkan besarnya tanggungjawab ibu dan bapa dalam mendidik anak mereka dan membentuk mereka menurut Islam, supaya mereka taat setia kepada Allah dan mengikuti segala perintah dari Allah baik dalam keadaan senang atau susah.

Sabda Rasulullah:

“suruhlah anakmu bersembahyang tatkala mereka sampai umur tujuh tahun dan pukullah miereka yang berumur sepuluh tahun sekiranya mereka tdak mahu sembahyang.”

Jika mereka tidak mahu mendengarkan saranan yang telah diajar oleh junjungan besar kita ini, maka diakhirat kelak semua yang terlibat akan ditanya tentang kecuaian mereka meninggalkan solat. Biasanya rumahtangga yang tidak menjaga solat akan mudah dimasuki oleh syaitan dan mereka akan menghasut anak-anak untuk menjadi generasi yang lupa akan Tuhannya.

Didiklah dengan kasih sayang

Ibu bapa Islam yang bijaksana mampu memahami jiwa anak-anak kecil dan seterusnya menyelami isi hati mereka dan berusaha untuk membentuk mereka melalui kaedah yang paling halus dan bejaya.

Menangilah kasih sayang mereka dengan menghampiri dan memerhatikan taraf akal dan umur mereka. Bersenda guraulah dengan mereka, perdengarkan kepada mereka kata-kata manis yang penuh dengan luahan cinta dan kasih sayang terhadap mereka, sehinggakan mereka rasa dikasihi, diutamakan dan diharapkan, kerana semua itu cukup menggembirakan jiwa mereka.
Dengan itu, mereka akan membalas cinta ibu bapa mereka dengan mendengar kata dan mentaati ibu bapa mereka dengan rela hati dan tidak berpura-pura kerana timbul dari hati yang dipupuk dengan belaian keikhlasan. Sangatlah jauh bezanya ketaatan yang menerpa jiwa anak-anak yang didorong oleh cinta hormat penuh penghargaan dengan percaya dan hormat yang dipupuk dengan kongkongan, herdikan, paksaan dan kekerasan. Yang pertama adalah taat yang kekal dan kukuh sebalinya yang kedua adalah taat semasa dan sementara yang akan segera
hilang apabila mereka tidak bersam ibu dan bapa mereka.

Ada kelompok manusia yang tidak bersetuju dengan kaedah bermesra-mesra dengan anak-anak dan bergaul dengan mereka kerana perbuatan itu akan menjatuhkan martabat seorang dewasa dan akan mencemarkan kehormatan yang sepatutnya dijaga oleh mereka. Pandangan ini adalah salah semata-mata kerana melayani karenah anak-anak dan berakhlak baik itulah cara pendidikan yang paling berjaya. Sabda Baginda:

“barang siapa yang mempunyai anak kecil, hendaklah menjadi anak kecil terhadapnya”

Maksudnya hendaklah pandai menyesuaikan diri dengan mereka seolah-olah seperti anak kecil yang mampu bermain dengan anak-anaknya.

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh At-Tabarani dari Jabir(r.a.) dia berkata:

“aku masuk kepada Rasulullah (saw) sedang baginda berjalan diatas empat anggota(merangkak) manakala Hassan dan Hussin (r.a.) diatas belakang baginda dan Rasulullah berkata kepada keduanya: ‘sebaik-baik unta ialah untamu dan sebaik-baik orang yang menunggang ialah kamu’”

Nyata dan terang jiwa baginda dalam mendidik dan melayan karenah kanak kanak seolah-olah baginda adalah sebahagian daripada mereka.

Beginilah sepatutnya seorang muslim yang terbaik disisi Allah tatkala bersama dengan anak-anaknya. Mereka mencampuri anak-anak, bergaul dengan penuh kasih sayang bermain-main dan menyenangkan hati mereka selahi ada jalan untuk berbuat demikian dan selagi ada kesempatan dan kemampuan.

Monday, September 19, 2011

Khutbah Jumaat: Merdeka jiwa dan negara rayakan kemenangan

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 123 surah al-Baqarah :

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَّا تَجْزِي نَفْسٌ عَن نَّفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا تَنفَعُهَا شَفَاعَةٌ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

Maksudnya : Dan takutlah kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).

Suasana sambutan hari raya masih begitu terasa dengan pelbagai cara sambutannya termasuk rumah terbuka silih berganti bagi meraikan anugerah hari raya oleh Allah setelah sebulan melalui ujian hawa nafsu dalam tarbiah Ramadhan. Ketika menyambut ketibaan Syawal maka marilah kita sama-sama menghitung diri samada tarbiah sebulan Ramadhan telah mampu menundukkan hawa nafsu atau kita yang semakin tunduk pada hawa nafsu dan syaitan. Bagaimana dengan solat jemaah dan masjid semakin meriah atau kembali lengang kosong. Bagaimana dengan zikrullah dan amalan sunat yang lain semakin bertambah atau ditinggal terus. Bagaimana kita dengan al-Quran samada semakin rapat atau sudah disimpan dan dilupakan. Bagaimana dengan makan minum kita samada berhati-hati dengan menjaga halal haram dan tidak berlebihan atau lebih suka melempias nafsu makan hingga melebihi had dan membazir. Adakah kita layak melaungkan takbir kemenangan dengan kedatangan Syawal sedangkan kita tewas pada hawa nafsu dan syaitan terutama ketika menyambut hari raya. Ini jauh bezanya dengan pejuang Islam dahulu yang bukan sahaja berjaya menewaskan hawa nafsu malah berjaya mengalahkan musuh di medan perang seperti dalam peperangan Ahzab, Hunain yang berlaku dalam bulan Syawal.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sebagai meneruskan usaha dalam melahirkan kita sebagai hamba Allah yang taat sepanjang tahun bukan setakat menjadi hamba Ramadhan yang baik pada bulan Ramadhan sahaja maka marilah kita sama-sama menunaikan puasa sunat 6 hari bulan Syawal. Sama-samalah kita merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ – رواه مسلم

Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا – رواه البخاري.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka sejauh 70 tahun perjalanan”

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Maksudnya : Raja perempuan itu ( Ratu Balqis) berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan

Sesuai dengan sambutan hari raya pada tahun ini dalam susana sambutan hari Kemerdekaan negara kali ke-54 maka marilah kita sama-sama melihat perbezaan ketara antara 2 golongan yang menyambut 2 perayaan ini di mana orang yang berjaya dalam tarbiah Ramadhan akan menyambut hari raya penuh kesyukuran dengan memperbanyakkan amal ibadat sedangkan golongan yang gagal dalam tarbiah Ramadhan biasanya akan memenuhi hari raya mereka dengan maksiat. Golongan yang betul-betul menghayati erti kemerdekaan maka mereka terus bersemangat untuk mengisikan kemerdekaan dengan Islam sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Rub’i bin Umair ketika menjawab pertanyaan Rustam panglima Parsi ketika berlakunya peperangan al-Qadisiah : “ Allah telah mengutuskan kami untuk memerdekakan sesiapa yang dikehendaki dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah yang Esa. Dan memerdekakan manusia daripada kesempitan dunia kepada lapang dan luasnya akhirat dan daripada belenggu kezaliman agama lain yang sesat kepada keadilan Islam”. Manakala golongan yang kedua dan gagal dalam menyambut kemerdekaan ialah golongan yang hanya mendabik dada seronok sambut merdeka dengan cara hiburan penjajah, berpakaian dan bergaul bebas seperti penjajah, mengagungkan pemikiran dan sistem perundangan penjajah. Golongan ini hanya tahu melaungkan kalimah merdeka sedangkan dirinya terus dijajah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Penjajahan sesebuah bangsa dan negara kebanyakannya membawa suatu perubahan yang besar kepada rakyat dan keadaan negara yang terjajah. Kebiasaannya setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3G yang menjadi matlamat utama penjajahan iaitu [1] God iaitu Tuhan atau agama penjajah, [2] Glory iaitu kemasyhuran dengan kejayaan penjajahan yang dilakukan dan [3] Gold iaitu mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan. Kedatangan Portugis ke Tanah Melayu dengan runtuhnya Empayar Kesultanan Melayu memulakan era penjajahan di negara kita. Penjahan kuffar ini bukan sahaja mengubah system politik, sosial dan ekonomi Islam kepada system ciptaan manusia malah penjajah turut berjaya melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah melalui system pendidikan yang begitu memberi kesan besar hingga hari ini. Penulisan sejarah yang diajar di sekolah dan universiti tidak banyak menyentuh berkenaan matlamat menghancurkan Islam melalui penjajahan sebaliknya lebih banyak disentuh hanya untuk mengaut emas dan rempah sahaja. Malah peranan ulama’ dan pejuang kemerdekaan yang betul-betul melawan penjajah digelapkan sebaliknya anak buah penjajah Bristish diagung-agungkan. Malah akhir-akhir ini suara marah kepada komunis begitu kuat bergema sedangkan cara pemikiran komunis terus subur antaranya menganggap agama sebagai candu masyarakat iaitu merbahaya dan boleh memundurkan negara jika agama dipegang kemas oleh rakyat. Golongan ini begitu takut jika rakyat kembali kepada Islam yang boleh menggugat kuasa mereka.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Kebanyakan Negara umat Islam yang sudah merdeka tetapi terus dipenjara. Mereka bangun melaungkan bahawa mereka telah bebas sedangkan mereka terus diberkas. Benarlah kata-kata seorang tokoh Islam bahawa kita tidak sepatutnya bergembira dengan kembalinya penjajah ke Negara mereka sebaliknya kita sepatutnya bergembira bila pemikiran, roh dan undang-undang penjajah hilang daripada terus membelenggu umat Islam dan Negara kita. Kita dapat saksi sendiri walau pun sudah 54 tahun kita merdeka namun penjajahan musuh Islam terus berlangsung tanpa tentangan malah dialu-alukan terutama melalui Propaganda Yahudi yang dinamakan senjata 5S. Senjata 5S yang dimaksudkan ialah [1] Song iaitu hiburan yang melalaikan yang menghancurkan akhlak umat Islam termasuk ketika menyambut hari raya dan merdeka. Cara hidup bebas daripada pegangan agama merupakan antara senjata paling licik sebagaimana yang pernah disebut oleh Zwimmer : Kita telah berjaya melahirkan di Negara Islam generasi belia yang tidak mengetahui hubungannya dengan Allah malah tidak ingin untuk mengetahuinya. Kita berjaya mengeluarkan orang Islam daripada Islam walau pun tidak memeluk Kristian seterusnya kita akan lahirkan generasi yang diingini oleh penjajah iaitu tidak lagi mempedulikan isu besar sekeliling mereka sebaliknya lebih suka berehat dan malas serta matlamat hidup mereka hanya untuk memenuhi nafsu syahwat semata-mata

[2] Spirit iaitu mabuk arak dan dadah sehingga Negara kita sampai hari ini gagal membersihkan nama sebagai Negara pengguna arak nombor 10 paling tinggi di dunia malah apa yang terbaru bila cadangan penjualan Esso Malaysia Berhad (ESSO) dan syarikat-syarikat berkaitannya kepada sebuah syarikat arak dari Filipina [3] Sex iaitu meluasnya zina sehingga baru-baru ini akhbar memuatkan berita bagaimana sekolah mengandung di Melaka perlu tambah bangunan kerana semakin ramai mereka yang mengandung luar nikah ingin memasukinya. Islam sentiasa mengarahkan umatnya agar menutup pintu zina termasuk melalui pergaulan bebas

Amaran nabi e dalam suatu hadis yang diriwayat oleh Tirmizi:

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya : Lebih baik seorang daripada kamu menikam kepalanya sendiri dengan jarum besi daripada dia menyentuh perempuan yang tiada halal baginya

[4] Sport iaitu sukan sehingga yang gila sukan tanpa rasa salah meninggalkan solat malah Negara mengiktiraf Israel kerana sukan. Senjata yahudi ke- [5] Smoke iaitu amalan merokok kerana kebanyakan syarikat rokok milik yahudi sedangkan yahudi begitu bersungguh melarang penganutnya daripada merokok ketika mereka menggalakkan orang lain untuk cepat mati dengan amalan merokok disamping menambah keuntungan dengan hasil jualan rokok.

Oleh itu sempena berada pada hari mulia dan bulan yang mulia marilah kita sama-sama memerdekakan diri kita daripada menjadi hamba kepada hawa nafsu dan syaitan serta musuh Islam. Biarlah takbir yang kita laungkan menyambut kemenangan menjadi hamba Allah bukan kembali menjadi hamba hawa nafsu dan syaitan. Biarlah laungkan merdeka yang kita laungkan menyambut kemenangan dalam menghalau system dan pemikiran penjajah keluar dari diri dan Negara tercinta bukan mulut kata benci penjajah sedangkan tindakan terus memuja penjajah. Islamkanlah sambutan hari raya kita. Islamkanlah sambutan hari merdeka Negara kita. Islamlah kita dalam semua cara hidup barulah kita Berjaya dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 97-98 surah al-A’araf :

أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ ﴿٩٧﴾أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ

Maksudnya : Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Tuesday, September 13, 2011

Naluri manusia mahu hidup merdeka



Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Kenyataan Sempena Hari Pembentukan Malaysia

Adalah menjadi naluri semua manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, bahasa dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad dan akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan.

Tidak akan ada orang yang waras akal fikiran mahu hidup di bawah belenggu mana-mana penjajahan, apatah lagi dikawal minda dan tindakannya.

PAS ingin menegaskan bahawa kami menentang semua penjajah, sama ada komunis atau bukan komunis, mahupun oleh blok timur atau barat.

PAS amat menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pihak dan tokoh seperti Sultan Abdul Samad, Sultan Zainal Abidin, Raja Abdullah serta Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lainnya (sekadar beberapa nama) yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini.

Mereka ini telah meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak bersetuju kerana wujud kelemahannya yang tersendiri.

Namun segala kelemahan orang lalu yang telah pun meninggal dunia ini tidak wajar untuk kita balas dengan kata nista. Apa yang wajar dilakukan ialah kita memohon agar kesilapan yang mereka lakukan mendapat keampunan dari Allah SWT.

Apa pun, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala di sisi Allah SWT. Kelemahan dan kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara yang bernama Malaysia pula perlulah diperbaiki oleh kita yang hidup di zaman ini dan berterusan menjadi tanggungjawab generasi akan datang.

Alangkah baiknya kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud dalam negara kita ini mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara Malaysia yang benar-benar melindungi kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang sama-sama melihat betapa kerajaan Umno BN yang ada ini sudah diberi amanah pemerintahan selama lebih 50 tahun dan semakin membawa negara kita kepada penyakit yang menyusahkan rakyat dengan daya saing negara yang makin merudum, kos hidup yang meningkat dan barang keperluan yang melambung harganya, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan beragama ditinggalkan dan seribu lagi macam kerosakan, maka tentulah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama melakukan perubahan.

Penipuan pilihan raya juga semakin berleluasa dan tidak lagi menjadi medan muhasabah sebenar kalangan rakyat terhadap kerajaan. Jangan kita membiarkan Malaysia menjadi semakin lemah di bawah kerajaan Umno BN, kerana generasi anak cucu kitalah nanti yang akan menerima sengsaranya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

13 September 2011

link: http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/presiden/5391-naluri-manusia-mahu-hidup-merdeka

Wednesday, September 7, 2011

DOME' 11- jom sertai ramai-ramai


Sunday, August 21, 2011

Bukan itu yg dilihat Allah




ana tak layak jadi pejuang Islam, ana sentiasa lemah, sentiasa buat maksiat, sentiasa lupa pada Allah, sentiasa derhaka pada orang tua. Kadang-kadang ana rasa nak keluar dari perjuangan ini.”

ana bukan orang yang berada, ilmu pon tak seberapa , gerak kerja pun ana tak pandai sangat, ana pun tak tahu kenapa Allah pilih ana terlibat dalam perjuangan ini.”

Itulah diantara rintihan dan keluhan sesetengah daripada pejuang Islam. Kita tidak boleh bulat-bulat menyalahkan mereka terhadap apa yang telah berlaku, mungkin inilah muhasabah yang diperlukan untuk seorang pimpinan dan ahli yang bergerak dalam landasan Islam untuk sama-sama tersedar dari lamunan kesenangan yang selama ini dikecapi.

Teringat sebuah lagu yang didendangkan oleh kumpulan hijaz:

Bukan intan permata,

Bukan harta benda,

Pandangan Tuhan pada manusia,

Beriman dan bertaqwa,

Berakhlak mulia,

Disisi tuhan itu yang utama,

Firman Allah juga menyebut:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)(Al-Hujurat:13)

Rupanya Allah tidak pernah melihat kebendaan yang bersifat fizikal terhadap makhluknya, tetapi apa yang Allah sentiasa tekankan untuk kita memperolehi tempat yang tinggi disisi Allah adalah dangan mempunyai iman yang teguh dan ketaqwaan yang mandalam terhadap Allah swt.

Jesteru sahabat-sahabat seperjuangan sekalian, jangan mudah berputus asa dan terasa lemah dengan ujian yang sentiasa melanda kita bila berada dalam perjuangan ini.

PENGAMPUNAN DOSA

Selaku seorang manusia yang banyak kelemahan, kita tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa terhadap Allah. Tidak terkecuali juga yang melibatkan diri dangan gerak kerja dakwah ini.

Sabda nabi:

“Sebaik-baik orang yang melakukan dosa adalah mereka yang apabila tersedar dari dosa mereka lantas meminta ampun dan bertaubat kepada Allah.”

Begitu mulia sekali sifat pengampun yang ada pada Allah yang dikurniakan kepada makhlukNya yang ingin diampuni diatas dosa-dosa mereka.

Mungkin Allah memilih kita berada dalam perjuangan ini kerana ingin mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan menggantikannya dengan pahala berjuang dijalan Allah. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah dan Dialah yang layak memberikan hidayah itu kepda sesiapa pun hambaNya.

Adakah kita sebagai seorang hamba yang apabila diberi hidayah seperti itu tidak bersyukur? Malah mempersoalkan tentang kurniaan hidayah tersebut? Mengapa kita bukan orang apabila diberikan hidayah oleh Allah, terus menerus berjuang dan memperbaiki diri agar menjadi orang yang bertaqwa dan beriman kepada Allah sebagai balasan hidayah yang dikurniakan itu?Ingatlah bahawa Islam tidak pernah memerlukan kita, tetapi kita yang perlukan Islam untuk mendapat redha Allah.

PEDULIKAN SEMUA ITU

Pedulikan siapa kita sebelum ini,

Pedulikan tohmahan orang kepada kita,

Pedulikan segala-galanaya yang telah berlaku.

Hilangkan kepentingan pandangan mata manusia yang tidak akan pernah berhenti. Biarkan mulut manusia berkata kerana kita tidak berkuasa membuatkan mereka berhenti.

Yang penting, teruslah fokus untuk menjadikan diri ummat yang terbaik disisi Allah. Biarlah harta yang sedikit itu menjadi asbab kita mulia disisi Allah, biarlah kesusahan yang sedikit itu menjadi mahar yang melayakkan kita menikmati syurga Allah kelak.

Berusahalah sahabatku, mahupun dalam keadaan senang atau susah, pasti disana aka nada sinar yang menunggu, sesungguhnya Allah tidak berlaku zalim terhadap hambaNya, apatah lagi yang sentiasa mengharap redhaNya

Saturday, August 13, 2011

Untukmu sahabat


Sahabat…

Aku tak tahu kenapa aku dipilih

Aku tak tahu kenapa aku disini

Tapi aku tetap besyukur

Kerana dipertemukan sahabat seperti kamu.

Sahabat..

Perjumpaan yang singkat selalu bermakna buatku

Senda yang sementara sentiasa teringat dimindaku

Perjalanan yang dekat terasa begitu indah buatku

Kerana sepanjang masa itu aku bersama kamu.

Sahabat…

Kadang-kadang aku terasa lemah derita

Seperti dunia menjadi sempit seketika

Tiba-tiba hadir sebuah cahaya

Yang menjadikan aku ingat semula

Itulah kamu yang sentiasa bersama dukaku

bila aku dikurniakan peluang

Aku sering lupa kepada Sang Pemberi Peluang

Akhirnya terpaanmu mendatang

Mengingatkan aku terhadap apa yang harus diperjuang

Kerana teguranmu padat dengan kasih dan sayang

Sahabat…

Aku bukan orang kaya yang boleh memberikan kepentingan harta

Aku bukan Rasul yang mampu memberikan syafaat di ahkirat sana

Aku bukan orang ternama yang akan membuat kamu terkenal

Aku cuma insan biasa yang sentiasa berdoa agar kamu bahagia

Sahabat…

Hari-hari yang telah kita lalui bersama

Banyak yang telah mematangkan kita

Aku doakan untuk kita semua

Agar sentiasa manis dalam perjuangan menuju redhaNya


Terima kasih sahabat, moga ikatan ini sentiasa kekal diatas landasan aqidah kepada Allah

Tuesday, April 19, 2011

Ada apa dengan perkahwinan?


"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan" (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.(Al-Ruum:21)

Perkahwinan didalam Islam adalah satu perasaan yang membawa kepada ketenteraman jiwa, kesenangan hati, kasih sayang, saling menghormati dan seterusnya yang paling besar sekali adalah redha dari Allah yang Maha Sempurna.

Dengan membangunkan sebuah rumah tangga muslim yang mulia, akan terbukalah kesempatan yang luas dan baik untuk membangunkan generasi baharu dan kemudiannya mampu membentuk mereka menjadi putera dan puteri Islam yang sejati dan selamat didalam pangkuan sebuah keluarga yang diredhai Allah.

Kalamullah diatas menujukkan bahawa Allah menjadikan manusia itu berpasangan sebagai tanda kekuasaanNya yang Maha Mengetahui segala apa yang dikehendaki oleh makhluk ciptaanNya dari segi emosi dan fizikal.

Inilah konsep membina rumah tangga yang bahagia dan diredhai Allah didalam Islam. Percantuman antara jiwa dengan jiwa didalam satu pencantuman yang paling kukuh dibawah rahmat dan kasih sayang dari Allah.

Isteri yang solehah didalam Islam adalah sebaik-baik hiasan yang disediakan untuk seorang lelaki atau suami yang beriman dan beramal soleh begitu juga sebaliknya kepada isteri yang solehah. Sabda Rasulullah:

“Dunia ini adalah kesenangan dan sebaik kesenangan ialah isteri yang solehah (isteri yang baik)”

Salah faham

Perkahwinan didalam Islam bukan sekadar untuk mehalalkan apa yang haram didalam perhubungan semata-mata, ia juga bukanlah sekadar pandangan nafsu yang akhirnya sentiasa terburu dalam membuat sebarang keputusan.

Perkahwinan adalah sesuatu ayng mulia dan mempunyai matlamat yang lebih daripada apa yang kita selalu fikirkan. Perkahwinan dalam Islam, tujuan akhirnya adalah mendapat keredhaan Allah setelah melakukan tangungjawab-tanggungjawab yang dibebankan setelah mendirikan rumah tangga.

Ada rezeki disediakan

Jangan terlalu senang untuk merasakan mudah apabila mendirikan rumah tangga, tetapi jangan merasa susah untuk mudah mendirikan rumah tangga, kerana Allah berfirman:

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui” (An-Nuur:32)

Walaupun begitu setiap pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga perlulah bersedia dengan Ilmu kekeluargaan kerana perkahwinan akan disertakan dengan tanggungjawab yang begitu berat.

Jauhi fitnah

Perkahwinan juga dapat mengelak umat Islam dari terjebak dalam fitnah yang melibatkan maruah kerana Islam sentiasa menjaga maruah penganutnya. Sabda Rasulullah:

“Barangsiapa yang mampu untuk berumahtangga, maka hendaklah ia berkahwin kerana yang demikian itu dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah dapat menahan keinginan (hawa nafsu).”

Rasulullah bersabda lagi:

“Jika yang datang meminang kepada kamu orang yang kamu percaya tentang agamanya dan amanatnya, maka sebaik-baiknya kamu mengahwinkannya saja. Jika tidak dikhuatiri akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kecelakaan yang besar.”

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sebab digalakkan berkahwin itu supaya terhindar dari kecelakaan yang mungkin dilakukan oleh mata dan kemaluan. Sebab itulah bagi orang yang tidak mampu pula digalakkan supaya berpuasa, kerana puasa itu akan melemahkan anggota seks.

Zuriat yang menggembirakan

Bersabda Rasulullah s.a.w:

“Setiap amalan anak Adam akan terputus melainkan tiga saja (salah satunya) anak yang saleh mendoakannya.”

Masakan mungkin tanpa perkahwinan akan wujud anak-anak yang akan menyejukkan mata kedua ibu bapa dan yang paling utama untuk mendoakan mereka setelah mereka pergi bertemu Allah dialam barzakh nanti.

Alangkah bahagianya pasangan yang berjaya mendidik anak keturunan mereka untuk menjadi anak yang soleh/ah yang lebih baik dari mereka. Bukan sahaja anak ini akan berkhidmat untuk kedua ibu bapa, tetapi seluruh masyarakat juga akan merasakan kehadiran mereka dihati.

Masyarakat Muslim

Bayangkan sekiranya umat Islam berjaya menghasilkan rumahtangga muslim ini, ia akan membawa dunia ke sebuah alaf baru yang disana wujud sebuah masyarakat Islam yang hidup dan mati mereka hanyalah kerana Allah, dan suasana kehidupan yang terjaga oleh penduduknya yang soleh dan solehah. Akhirnya, ketika itulah rahmat dari Allah akan turun kepada dunia yang sangat mengharapkan kasih sayang dan pertolonganNya.

InsyaALLAH